Alhamdulillah..sudah lama Jalak berhajat untuk mengadakan majlis rumah terbuka buat kawan-kawan yang tinggal berdekatan terutamanya yang bertugas di bawah bumbung yang sama. Selepas ditilik dan dihitung, maka hari yang paling sesuai dibuat adalah pada Jumaat lepas bersamaan 29 SYAWAL 1431H. Ya, benar. Hari terakhir di dalam bulan Syawal untuk tahun tahun. Namun Jalak rasa tiada apa yang perlu dihairankan kerana pada hari minggu ini, masih terdapat lagi segelintir masyarakat yang mengadakan majlis rumah terbuka walaupun bulan Zulkaedah sudah pantas menerpa menggantikan Syawal yang telah lalu.
Semenjak Jalak berpindah ke Ayer Keroh, ada beberapa orang teman yang menyatakan hasrat mahu bertandang ke rumah Jalak. Memandangkan Jalak berpindah beberapa hari sahaja sebelum bulan puasa, jadi agak sukar juga untuk mengadakan housewarming dek aktiviti yang padat sepanjang bulan Ramadan. Maka hari rayalah masa yang sesuai, malah boleh disekalikan dengan rumah terbuka. Kira 2 dalam 1.
Jalak hanya mampu menempah makanan daripada caterer kerana senarai jemputan hampir mencecah 50 orang. Di rumah bujang Jalak tiada kuali atau periuk belanga yang besar-besar untuk menampung kuantiti masakan yang sebegitu banyak. Walaubagaimanapun, tidak semua pun yang hadir. Mungkin masing-masing ada hal lain yang perlu dielakkan. Tak mengapa, majlis tetap meriah ditambah pula dengan riuh rendah suara kanak-kanak bermain di pelosok bilik depan yang kosong lagi lapang itu. Cuma yang tak sedapnya, banyak makanan yang berlebihan. Menu utama pada malam itu adalah Mi Kari dan Bihun Goreng. Dek kerana petang yang sama fakulti Jalak turut mengadakan jamuan hari raya besar-besaran (Lemang, sate, rendang, soto, roti jala etc.), ramai yang dah penuh perut sampai ke malam.
Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada teman-teman yang sudi datang. Harapnya semua puas hati dan selesa maklumlah rumah bujang. Yang penting, semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.
Jalak: Terkejut dilabel 'kekwat' ketika mula-mula menjejakkan kaki ke fakulti beberapa bulan lalu..tak kenal maka tak cinta i tell u!
Sunday, October 10, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)