Saturday, February 27, 2010

Mencari Konklusi

Baru saja menjengah ke hari kedua terakhir dalam bulan Februari. Target Jalak untuk hantar final draft thesis report sebelum masuk bulan Mac bagaikan tak kesampaian. Namun tidaklah terlalu kronik kerana semua chapters sudah siap direncana. Alhamdulillah :)

Cuma Jalak sedang berfikir samada mahu disiapkan sekali Conclusions, ataupun dibiarkan saja dahulu sehingga selesai proof reading kesemua chapters tersebut oleh supervisor kehormat. Manalah tahu ada perkara yang perlu diubah ataupun ditokok-tambah. Oh ya, sebelum ini Jalak sudah menghantar chapter by chapter kepada supervisor untuk disemak, lalu dibetulkan oleh Jalak bahagian mana yang perlu diperbaiki.

Selalunya paling cepat pun, supervisor mengambil masa selama seminggu untuk siap menyemak satu chapter. Memandangkan yang bakal dihantar ini adalah chapter terakhir (sebelum Conclusions), sepanjang minggu hadapan bolehlah dikatakan sebagai waiting time (mengikut terma production, memang tak boleh buat apa la kan, kecuali aktiviti-aktiviti lain). Dengan harapan tiada penambahan yang berat-berat diminta oleh supervisor Jalak.

Sebenarnya nak cuba tulis-tulis Conclusions malam ini juga, tapi bak kata FT, masa sudah time! Mencari konklusi di alam lain lah jawabnya...
Photobucket


Jalak: Save files dalam laptop, netbook, thumbdrive dan juga emails..in case!!

Wednesday, February 24, 2010

Balas Dendam

Barangsiapa yang jarang terlepas membaca entri-entri Jalak sebelum ini mungkin sudah tahu tentang kunjungan pertama kali Jalak keThe Style Outlets, Zweibrucken pada cuti Krismas yang lalu. Pada hari itu, kedai kesemuanya tamat operasi pada jam 2.00 petang memandangkan keesokan harinya adalah Hari Natal. Bilangan kedai yang sempat Jalak kunjungi boleh dikira dengan jari. Lebih mendukacitakan lagi, impian membeli Bread Maker tidak kesampaian atas sebab kehabisan stok. Ketika itu, peluang untuk datang sekali lagi ke sini masih samar-samar lagi, memikirkan faktor jarak dan masa.

Ternyata pendekatan tunggu dan lihat atau "wait and see" (bak kata orang putih) ternyata berbaloi. Bak kata orang Melayu pula, "Kalau ada rezeki, ada lah. Kalau tak ada, nak buat macam mana". Terima kasih jugalah kepada orang-orang Homburg iaitu Arip dan Kak Iu kerana sudi memberi update tentang availabilty serta promosi harga yang ditawarkan di sana. Kebetulan juga, progres penulisan tesis Jalak berjalan agak lancar sebulan dua ini. Syukur alhamdulillah dapat supervisor yang agak sporting. Bolehlah curi-curi masa untuk hal-hal lain.

Dalam pada itu, sudah lama Jalak bercadang untuk menjemput warga Homburg datang ke Siegen sebelum kami semua di sini pulang ke tanahair pada bulan hadapan. Memandangkan Jalak bercadang untuk ke Zweibrucken pada hari Khamis lepas, selepas berbincang, kami bersetuju untuk sama-sama pulang ke Siegen pada hari Jumaat, yakni sehari selepasnya. Meriahlah sedikit perjalanan pulang Jalak kali ini. Seorang diri di atas tren dan bas selama 7 jam sangat membosankan. Sangap beb!!

Berbalik kepada The Style Outlets, kali ini Jalak mempunyai masa selama 5 jam untuk melaksanakan misi membalas dendam. Nampak macam lama, tapi sejujurnya Jalak terkejar-kejar juga kerana dalam kepala ini banyak juga items yang ingin dibeli. Ketika memilih-milih untuk membeli coklat berjenama Lindt, sukar untuk membaca ingredients kerana coklat-coklat di sini dibungkus secara pukal di dalam bungkusan yang lain. Untuk membeli tali leher pula, rambang mata Jalak apabila melihat lambakan tali leher yang beraneka warna dan rupa di butik Esprit yang berharga cuma €5! Bayangkan harga runcitnya adalah €30!

Ketika di butik Roy Robson pula, Jalak terjumpa kemeja yang berharga €19.95 sahaja di mana harga asalnya adalah €39.95. Designnya juga cukup menarik. Sangat menepati citarasa Jalak. Jurujual di butik tersebut mengukur ukur-lilit leher Jalak untuk mengenalpasti saiz yang sesuai dengan badan Jalak lalu memberi sehelai kemeja untuk Jalak cuba. Oh, begitu rupanya cara untuk memilih kemeja. Barulah Jalak faham apa yang dimaksudkan dengan saiz 38,39,40,41 etc yang tertulis pada kebanyakan kemeja di sini. Selepas ini, senanglah untuk membeli tanpa perlu mencuba :)
Photobucket
Tali leher Esprit dan kemeja Roy Robson

Untuk membeli Bread Maker pula, Jalak terpaksa berfikir berkali-kali untuk memilih antara model OW3001 (kapasiti 1kg) dan OW5001 (kapasiti 1.5kg). Yang menjadi masalah di sini, model OW5001 yang lebih besar itu tidak mempunyai pilihan bahasa Inggeris dalam sisipan manualnya. Meskipun kapasiti berbeza, kedua-duanya memiliki harga yang sama! Di kedai biasa, semamangnya model yang lebih besar itu lebih mahal sedikit harganya berbanding yang lebih kecil. Daripada membuang masa di situ, Jalak mengambil keputusan untuk ke kedai lain terlebih dahulu meskipun tujuan utama Jalak ke sini adalah untuk membeli Bread Maker tersebut. Oh ya, sehari sebelum Jalak ke sini, Jalak sudah menelefon kedai tersebut untuk memastikan bahawa masih ada stok yang available. Jika sudah habis, mungkin juga Jalak batalkan saja kunjungan kali ini.

Jalak sempat singgah di beberapa kedai yang menjual mens suits. Sempat juga Jalak mencuba sepasang suits bersama kemeja yang 'dipinjamkan' oleh jurujual untuk menampakkan gambaran ideal ketika memakai suits bersama kemeja. Masih tidak pasti samada berkenan atau tidak, Jalak meneruskan rondaan ke kedai lain pula. Lagipun ini kali pertama Jalak mencuba pakai suits lengkap di kedai, jadi sukar sedikit untuk membuat keputusan kerana tiada sumber rujukan.

Sedari awal lagi Jalak sudah diberitahu tentang sales yang sedang berlangsung di butik Levi's. Jalak sangkakan sales tersebut terdapat di butiknya yang asal, rupa-rupanya tidak! Ketika masuk ke butik itu, Jalak ingatkan sales nya sudah tamat. Sedikit kecewa jugalah. Al-kisahnya Levi's membuka sebuah lagiport sementara di mana terdapat LONGGOKAN jeans yang berharga €20 sahaja! Harga asal ada yang mencecah hingga €80 ke atas. Port tersebut rupa-rupanya terletak betul-betul bersebelahan dengan butik Tefal yang menjual Bread Maker itu tadi. Serius tak perasan! Aduhai, ketika itu sudah pukul 6.00 petang! Tinggal 1 jam sahaja lagi.

Makan masa juga untuk memilih saiz jeans yang sesuai dengan saiz pinggang dan panjang kaki Jalak. Sudahlah susunannya berterabur (tetapi berlipat) dan bercampur tanpa mengikut saiz. Puas Jalak menyelak satu persatu. Bilik persalinannya pula bagaikan hidup segan mati tak mahu saja. Maklumlah, port sementara. Hanya berlindungkan kain langsir serta tiada tempat (cangkuk) untuk menggantung seluar. Lebih teruk lagi, tiada cermin! Ta'aban..ta'aban!! Akhirnya Jalak berkesudahan dengan membeli 2 helai jeans 506. Menyesal pula tak borong lagi banyak tapi bolehlah daripada tak ada!
Photobucket
Kena jaga perut la kalau nak maintain pakai seluar ni HeHe

Kembali semula ke butik Tefal yang terletak bersebelahan, jurujual yang melayan Jalak sebelum ini hanya mampu tersenyum melihat muka Jalak yang stress sejak pertama kali menjejakkan kaki ke butik tersebut. Sememangnya beliau sendiri pun berasa pelik kenapa manual untuk model OW5001 tidak mempunyai pilihan bahasa Inggeris sedangkan barang-barang lain yang berjenama Tefal, ada pilihan bahasa Inggeris! Beliau sudah tidak tahu bagaimana mahu menolong Jalak lagi. Akhirnya Jalak tekad untuk membeli model OW3001 sahaja bagi mengelakkan sebarang risiko ketika menggunakannya kemudian hari. Manual yang difahami sangat penting kerana Jalak tidak pernah menggunakan Bread Maker sebelum ini. Jalak sempat juga mencapai penimbang gram,juga daripada Tefal kerana Jalak tahu, untuk membuat roti/kuih, kuantiti bahan yang digunakan mestilah accurate, bukan seperti masak kari atau lauk-pauk lain yang boleh main campak-campak.
Photobucket
Jemputlah makan roti dan pizza di rumah Jalak di Kesang Pajak HaHa!

Photobucket
Boleh timbang isipadu juga..centiliter/ deciliter

Ketika hendak pulang, barulah Jalak terjumpa butik Llyod yang menjual KASUT sahaja. Butik ini terletak di kawasan hujung sedikit. Jalak sebetulnya mencari kasut kulit hitam untuk dipakai ketika bekerja nanti. Mahu mencari yang tidak bertali sebab senang untuk buka dan sarung. Disebabkan kriteria itulah, agak sukar untuk mencari yang berkenan di hati kerana banyak kasut yang dijual adalah bertali. Tak mengapalah, masih ada lagi kedai-kedai kasut di tempat lain. Cadangnya mahu dibeli di sini (Jerman) sebagai kenangan juga.

Hmm, banyak lagi kedai atau butik yang Jalak sempat kunjungi tetapi hanya mampu mencuci mata saja. Duit kena simpan untuk beli yang penting atau betul-betul berbaloi dari segi harga juga. Jalak sudah siap membelek-belek pinggan Villeroy and Boch berbentuk segiempat berwarna hijau, tapi risau tidak cukup tangan pula. Lagipun boleh tahan berat juga pinggan-pinggannya. After all, it's not a big deal anyway. Yang penting misi membalas dendam...accomplished!!

Jalak: Liverpool..destinasi terkahir??

Monday, February 22, 2010

Lego & Igloo

Awal pagi Khamis yang lalu, sebelum matahari terbit mengikut kiraan hisab (realitinya matahari tak kelihatan saban hari musim begini), Jalak bertolak menaiki tren ke The Style Outlets, Zweibrucken semata-mata untuk membeli-belah. Perjalanan memakan masa selama 7 jam! Jalak tiba di sana sekitar jam 2.00 petang dan berjalan mengelilingi setiap pelusuk kawasan tersebut sehingga semua kedai bersedia untuk ditutup pada jam 7.00 malam. Maklumlah ketika kunjungan kali pertama ke sini sedikit masa dahulu, Jalak tidak sempat masuk ke semua kedai dek kerana kekangan masa.

Usai mendapatkan barang-barang yang dihajati, Jalak menaiki bas ke Homburg untuk tumpang bermalam di rumah Arip dan famili. Keesokan paginya kami disertai dengan Akim sekeluarga bertolak ke rumah Jalak di Siegen. Memandangkan perjalanan ke Siegen memakan masa yang agak panjang, kami singgah sebentar di Koblenz dan dibawa bersiar-siar sekitar bandar Koblenz oleh Izfa, seorang pelajar PhD di sana. Kami hanya tiba di rumah Jalak sekitar jam 8.30 malam, disambut dengan butiran-butiran salji putih lagi bersih yang gugur dari langit. A welcoming snowfall indeed! :)

Malam itu, walaupun tayangan filem My Name is Khan sedang dimainkan, Jalak terpaksa tidur sedikit awal sekitar jam 3.00 pagi (awal ke?)kerana keesokan paginya merupakan turn Jalak untuk menyediakan sarapan sebelum membawa para tetamu keluar berjalan-jalan. Dengar cerita orang-orang lain pun menonton sekerat sahaja filem tersebut. Jadi, esok malam masih ada! Pagi Sabtu itu, Jalak dibantu oleh Nazrin menggoreng bihun sebanyak 2 bungkus sebagai sarapan dan juga bekalan untuk dimakan ketika sedang berjalan-jalan.

Mengikut plan asal, kami mahu ke Cologne terlebih dahulu sebelum ke Duisburg untuk ke Legoland Discovery Centre. Malang sedikit kerana kami terlewat beberapa minit sebelum tren ke Cologne berlepas. Memandangkan tren ke Duisburg dari Siegen hanya beberapa minit sahaja selepas itu, kami terus ke Duisburg terlebih dahulu. Ada rahmat di sebalik ketinggalan tren itu tadi sebenarnya! Tiba sahaja di pintu masuk Legoland, kami semua telah diberi tiket masuk PERCUMA oleh seorang lelaki yang sangat pemurah lagi baik hati. Jadi tak perlulah kami beratur apatah lagi mengeluarkan dompet masing-masing untuk membeli tiket ^_^
Photobucket

Photobucket

Sebenarnya Legoland di sini lebih tertumpu kepada kanak-kanak. Untuk orang dewasa, sekadar can do sahaja. Namun, pendekatan yang digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak bolehlah diberikan kredit yang agak setimpal. Maklumlah, untuk dapat masuk ke tempat sebegini di tanahair tercinta, tak tahu bilakah akan ada? Kanak-kanak di sini cukup beruntung mendapat pendedahan seperti ini.

analogi kesibukan sebuah bandar yang sibuk dari pagi hingga ke malam..begitu prolifik!


konsert mini We Will Rock U Hehehh


LEGO funfair..siap bunyi jerit tu!

Kami sempat juga berkelah beramai-ramai di kafeteria yang terletak berhampiran pintu keluar Legoland. kebetulan ada seorang wanita Jerman yang duduk di sebelah Jalak bertanyakan tentang makanan yang sedang dimakan oleh Jalak ketika itu, yakni bihun goreng. Mujurlah Kak Azma yang duduk bertentangan dengannya sudi menerangkan apakah itu BIHUN GORENG dalam bahasa Jerman dan bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakannya. Walaupun ketika itu perut terasa agak lapar, Jalak tanpa segan silu mempelawa wanita itu untuk menjamah sedikit BIHUN GORENG yang sangat menarik perhatiannya itu. Biarpun pada mulanya beliau menolak, Jalak dengan selamba meletakkan sedikit bihun tersebut ke dalam pinggannya. "Lecker. Lecker" ujar wanita itu dan juga anaknya :D

Kami terpaksa bergegas ke perhentian bas berhampiran untuk mendapatkan bas menuju ke Duisburg Hbf. Ada yang terpaksa berlari menggendong anak. Cabaran pertama nampaknya berjaya kerana semuanya sampai ke bus stop tersebut tepat pada masa bas sampai. Setibanya di Duisburg Hbf pula, kami semua terpaksa berlari sekali lagi menuju ke platform yang terlibat selepas menyedari yang tren ke Cologne akan berlepas dalam masa 3 minit lagi!! Syabas sekali lagi, we've made it again, fuhh!

Kami tiba di Cologne sekitar jam 6 petang. Hari sudah semakin gelap. Gambar-gambar yang cantik kini bergantung kepada kecanggihan flash kamera sahaja. Seperti biasa, Jalak membawa mereka ke kedai souvenirs yang menjual key chains dan fridge magnets murah. Memandangkan cuaca sudah semakin sejuk, kami terus menuju ke KFC untuk makan malam sambil melepaskan lelah.
Photobucket
Membeli donut sebagai bekal untuk dibawa pulang..

Memandangkan tiada apa lagi yang sesuai untuk dilawati ketika hari sudah gelap, kami pulang semula ke Siegen dan tiba di rumah sekitar jam 11.00 malam. Best betul tren ke Siegen pada waktu itu kerana banyak gerabak yang kelihatan kosong tidak berpenumpang. Bolehlah kami semua berburghak (bak kata orang nogori) hingga tren tiba ke destinasi :)

Malam itu meskipun dalam kepenatan dan kekurangan waktu tidur yang ideal, Jalak tetap bersemangat untuk mnonton filem My Name is Khan sampai habis. Mencabar jugalah sebenarnya untuk menghabiskan cerita ini kerana subtitle yang tidak berapa selari dengan visual, malah ada beberapa scene subtitlenya tidak dipaparkan langsung! Mujurlah Jalak sempat habiskan menonton sehingga ke akhir cerita, walaupun ada di kalangan penonton lain yang sudah selamat 'berlayar di lautan yang sepi' LOL
Photobucket
Penat sungguh budak-budak seharian merewang..

Keesokan harinya (Ahad), para tetamu tidak mempunyai plan untuk ke mana-mana selain menunggu waktu untuk pulang ke rumah masing-masing sekitar tengahari. Sekadar berjenaka pada malam sebelumnya, Jalak bercadang membuat solat hajat supaya snow turun keesokan paginya. Alhamdulillah, tak sangka pula pagi itu snow turut walaupun tidak selebat berbanding dahulu. Justeru misi untuk membuat igloo beramai-ramai adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan. Lagipun Arip selaku mastermind pada hari itu, pernah membuat igloo dan begitu arif tentang tatacara untuk membinanya. Selepas 2 jam, 28 minit dan 43 saat bergotong-royong, akhirnya sebuah igloo berjaya disiapkan. Cuma bumbung sahaja yang tidak sempat disiapkan kerana kesuntukan masa. Itupun tetamu-tetamu sudah pun menangguhkan niat untuk pulang sedikit awal demi merealisasikan cita-cita tuan rumah. Hmm, terima kasih banyak-banyak!! Seumur hidup tak mungkin rasa pengalaman sebegini (",)




Photobucket

Selepas siap membina igloo dalam kesejukan, para tetamu dihidangkan dengan nasi lemak panas sebelum bersiap-siap untuk pulang ke destinasi masing-masing.
Photobucket

Photobucket


Terima kasih sudi hadir untuk menziarahi kami, warga Siegen yang bakal pulang ke tanahair tidak lama lagi, insyaAllah. Segala kekurangan mahupun kesulitan amat dikesali. Semoga ukhuwwah yang terjalin bercambah menjadi lebih erat dan kita semua berjaya mencapai apa yang diimpi-impikan selama berjuang di bumi Jerman ini. Khatimah kata, Bis dann..ilal liqa'..until then..sampai bertemu lagi!


Jalak: Penat tapi puas!

Monday, February 15, 2010

Aksesori MyVi

Sejak belakangan ini, selain sibuk menyiapkan tesis, Jalak sedang dalam mood membeli-belah barang-barang untuk dibawa pulang ke Malaysia. Bukannya apa, Jalak baru sahaja diberikan sedikit kuota untuk dimuatkan ke dalam kontena teman-teman UTeM yang akan pulang tidak lama lagi. Jika dirujuk kepada entri yang lepas, boleh dikatakan hampir 70% barang-barang sudah pun Jalak shipping ke Malaysia pada Disember yang lalu. Jadinya sekarang, Jalak perlu membeli lebih banyak barang baru untuk mengisi ruang kontena yang ada, selagi termampu.

Semestinya Jalak utamakan barang-barang yang sukar didapati di Malaysia, ataupun jika ada, harganya lebih mahal dalam Ringgit Malaysia (RM). Sebagai muqaddimah, Jalak ingin paparkan dahulu aksesori yang dibeli untuk digunakan di dalam kereta ketika sedang memandu. (Maaflah entri-entri lepas ini semuanya pasal beli-belah!! Jika takut terpengaruh, jangan baca He He..)

Photobucket
Aksesori pertama adalah Garmin Nuvi yang dibeli sekitar bulan Disember tahun lepas. Jalak mengambil masa yang agak lama juga untuk install peta Malaysia ke dalamnya memandangkan model yang dibeli oleh Jalak itu adalah model baru. Ada sedikit perubahan dalam tatacara installation, berbeza dengan apa yang tercatat di forum. Selepas bertanya secara peribadi kepada moderator forum tersebut, akhirnya Jalak berjaya juga untuk install peta Malaysia. Teman Jalak, Paan yang sudah pulang ke tanahair serta sempat membeli model yang sama sebelum pulang tempoh hari, memberi komen yang sangat memberangsangkan tentang kepuasan menggunakan navigator tersebut ketika memandu di Malaysia. Jalak juga seakan tidak sabar untuk berbuat demikian!

Photobucket
Aksesori kedua yang dibeli oleh Jalak tidak kurang menariknya juga, iaitu seat cover massage. Jujurnya Jalak tidak terfikir pun untuk membelinya, semuanya berlaku secara spontan ketika membuang masa selama 2 jam berlegar-legar di dalam pasaraya REAL untuk mencari idea barang apa yang patut dibeli. Dengan harganya yang begitu affordable, Jalak akhirnya membuat keputusan untuk membelinya. Selepas mencubanya di KERUSI MAKAN yang Jalak gunakan ketika menghadap komputer saban hari, nikmat urutannya begitu terasa. Getarannya boleh dirasai sampai ke permukaan gigi!
Photobucket
Terdapat 3 motor di dalamnya, sekali dengan butang pemanas. Mantap!!

Photobucket
Jalak patut beli dan gunakannya sejak dulu lagi, barulah badan sentiasa segar dan rajin untuk membuat tesis! Perghh..memang layan!!

Jalak: Mampu pakai kereta MyVi saja..

Tuesday, February 9, 2010

Sayang

Tak sangka, O2 Xda yang Jalak beli ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Hitler ini punah begitu sahaja. Tak pernah diduga, begini akhirnya. Tamat sudah riwayatmu ketika di dalam mesin basuh. Aduh!! Ralat betul rasanya. Kecuaian yang boleh dianggap bodoh bagi orang yang mempunyai otak yang waras seperti Jalak. Namun, tak semua benda kita boleh kawal. Manusia tak lari dari melakukan kesilapan..

Sedih sebenarnya memikirkan kenangan 2 tahun bersamamu. Banyak sungguh jasa yang dikau taburkan kepadaku sebagai seorang pelajar, pengembara dan juga manusia biasa, amnya. Bersemadilah kau dengan aman tanpa bunyi deringan mahupun cahaya dari skrinmu yang sudah malap itu. Izinkanku untuk mencari 'cinta' yang baru untuk terus melengkapkap hidupku di dunia yang penuh pancaroba ini. Ya, benar. Apalah erti hidup manusia tanpa sesuatu sepertimu?
Photobucket
Sayang seribu kali sayang, rupamu masih cantik, badanmu masih solid, namun jantungmu tidak berfungsi lagi..Isk!! Sekurang-kurangnya dirimu masih boleh dibuat cermin..

Jalak:
Perlukan masa untuk melupakan semuanya..

Saturday, February 6, 2010

Aina 3 Tahun

Rabu lepas merupakan hari lahir si kecil Aina yang ke-3 tahun. Selama kurang lebih 2 tahun Aina di sini, seronok dapat tengok dia membesar daripada bertatih hingga boleh berlari dan juga daripada mengomel dalam bahasa yang tidak difahami hinggalah boleh bercakap.

Kebetulan pada tengahari tersebut, Aina datang ke bilik Jalak bersama bapanya untuk bermain snow di tingkap. Gigih sungguh melihat Aina bermain tanpa menghiraukan tangan yang sejuk. Jalak yang cuba sebentar pun sudah rasa kebas-kebas tangan. Kalau tak disogok dengan bermain belon, alamatnya sampai ke sudahlah dia bermain. Jalak pula menunggu masa untuk tutup tingkap kerana sudah kesejukan.
Photobucket

Selepas penat bermain belon (Jalak yang penat), Aina membawa turun beberapa set puzzle pula sebagai hiburan seterusnya. Mula-mula macam malas juga untuk menyusunnya tetapi melihatkan Aina yang bersemangat mahu melihat Jalak mencuba, akhirnya digagahi jua. Susah juga sebenarnya sebab ada 3 gambar yang berbeza dalam 1 set puzzle. Akhirnya Jalak pula yang frust sebab ada kepingan puzzle yang dah hilang. Rasanya Aina dah tahu pasal ini, mungkin dia sengaja nak buli Jalak. Memang dah terkena la jawabnya! HaHaHa..

Petang itu Jalak ke Toys 'R' Us berhampiran rumah untuk membeli hadiah hari lahir Aina. Puaslah juga tawaf satu kedai sebab ada conflict of interest di sini. Maklumlah masa Jalak kecil dahulu mana ada peluang masuk ke kedai macam ini. Mujur akhirnya Jalak tersedar untuk berpijak di bumi yang nyata. Mengenangkan Aina budak perempuan, sama seperti tahun lepas Jalak berkeputusan untuk membeli patung mainan. Cuma kali ini Jalak tergerak untuk membeli penguin kerana Aina sangat gilakan siri animasi Pingu. Malangnya cuma ada 'seekor' saja yang tinggal. Kalau ada anak dan bapa Pingu baru gempak! Sebagai ganti, Jalak membeli patung katak kerana tertarik dengan bulunya yang cantik dan gebu.
Photobucket
kredit foto: FB Nazrin

Setibanya di rumah, Aina sedang berada di dapur melihat ibunya menghias kek. Jalak berasa seronok melihat Aina begitu teruja menerima hadiah pemberian Jalak walaupun pada mulanya dia agak malu-malu. Ibu bapa Aina kemudiannya mengadakan acara meniup lilin dan memotong kek di bilik Jalak.
Photobucket

Photobucket
Alahai sopannya..anak sapa la nih?



Lalu berakhirlah sudah sambutan hari lahir si kecil Aina untuk kali ini. Tahun depan mesti bertambah gempak di rumah baru pula ya!


Jalak: Gemar melayan kanak-kanak
Blog Widget by LinkWithin