Saturday, June 18, 2011

0.5 Tahun Yang Indah

Perjalanan menyusuri 'fasha' pertama untuk tahun 2011 begitu indah di sebalik bait-bait kesibukan yang melanda hampir setiap hari. Hari ini sudah masuk hari ke 18 dalam bulan Jun. Maka di sini suka untuk Jalak rangkumkan apa jua yang telah berlaku dalam tempoh enam bulan yang pertama ini. AMARAN! Semuanya yang manis-manis saja. Yang pahit biarkan saja terbang pergi dibawa angin yang berlalu.

Dimulakan dengan rentetan pertandingan yang Jalak sempat sertai bersama kumpulan "the best team I've ever had". Terima kasih kerana turut sama membawa Jalak untuk berkongsi secebis pengalaman dalam menyertai Malaysia Teknology Expo (MTE) dan International Invention Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2011). Aduhhh..bila dikenang kembali saat-saat ketika memberikan komitmen terhadap dua penyertaan ini, ada ketikanya terbit rasa kesal di hati dan mahu saja berhenti di separuh jalan. Namun dengan semangat yang kuat untuk menghabiskan saja hingga ke titik akhir, tidak kira siang atau pun malam, berkat usaha serta doa daripada semua yang terlibat, kedua-dua produk yang kami pertandingkan ("WiND" untuk MTE, "INFORM" untuk ITEX) telah berjaya menggondol Silver Award. Memikirkan pelbagai jenis halangan dan masalah yang berlaku di saat akhir, tiada yang lebih indah daripada apa yang telah kami perolehi.
Photobucket
Bersama "the best team i've ever had" di ITEX

Photobucket
Senyuman kepuasan ketika di MTE

Oh ya, selain daripada ITEX dan MTE, Jalak sempat juga mencuri masa di celah-celah kesibukan untuk menyertai satu lagi pertandingan rekacipta iaitu International Engineering Invention Innovation & Exhibition (i-ENVEX 2011). Bezanya pertandingan ini adalah, ia melibatkan penyertaan projek-projek rekacipta di kalangan pelajar-pelajar IPT dari seluruh negara. Jadi, penyertaan Jalak untuk kali ini hanyalah sebagai Penyelia. Alang-alang projek tahun akhir pelajar di bawah seliaan Jalak sudah hampir siap ketika itu, tak salah untuk mencuba dan keputusannya produk tersebut hanya membawa pulang Bronze Award. Tak mengapalah, cukup untuk menambah koleksi pingat bagi tahun ini serta memberi pendedahan awal kepada pelajar-pelajar tersebut cara untuk 'mempromosikan' produk ciptaan sendiri.

Video tentang produk serta sesi demo bersama Pengarah MARDI cawangan Melaka

Kebetulan pada hari yang sama i-Envex berlangsung, Jalak turut terlibat dengan kejohanan bola tampar Sukan Antara Jabatan (SAJ 2011), UTeM. Setelah berfikir panjang dan membuat proses timbal balik, akhirnya Jalak terpaksa melupakan hasrat untuk mengiringi pelajar ke i-Envex di Perlis bagi memberi laluan kepada bola tampar. Masakan tidak, sejak awal tahun lagi Jalak sudah giat berlatih bersama ahli-ahli pasukan FKE yang lain. Tambahan pula tahun lepas Jalak tidak dapat menyertai sukan ini kerana terlibat dengan pembedahan. Alhamdulillah, nampaknya tidak silaplah percaturan yang Jalak buat kerana pasukan FKE telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sebagai pasukan underdog seterusnya berjaya meraih tempat ketiga! Hmmm..i-envex dan bola tampar, 2 pingat gangsa dalam hari yang sama ya.. ^^
Photobucket
Ketika beraksi berhempas pulas berhabis-habisan hingga ke titisan darah terakhir..##kredit Gambar FB Aziah Khamis

Terdahulu sebelum berlangsungnya sukan bola tampar, Jalak turut menyertai Temasya Olahrage Tahunan (TOT 2011) yang diadakan di stadium UTeM. Secara dasarnya, Jalak hanya menyertai acara larian 1500 meter. Alhamdulillah, berkat usaha berlatih membina stamina dari hari ke hari, Jalak berjaya mendapat tempat pertama. Memang di luar jangkaan betul! Sudah menjadi lumrah, sebelum acara bermula, nampak macam setiap daripada peserta yang lain hebat-hebat belaka. Namun itu semua psikologi. Yang penting semangat untuk menghabiskan larian. Menang no. 1 tu Jalak anggap sebagai bonus. Satu lagi acara yang Jalak sertai (menggantikan tempat orang lain) adalah lari berganti-hanti 4x400 meter. Walaupun hanya TIGA pasukan sahaja yang masuk, namun saingan tetap sengit untuk merangkul tempat pertama. Malang sedikit, pasukan FKE hanya mampu meraih tempat kedua. Jadilah daripada tak ada. Tahun depan boleh cuba lagi untuk tempat yang lebih baik :)
Photobucket
Dah lama tak naik menda alah ni..##kredit gambar FB Hafiz Salim

Aduhh..bowling pun kena masuk juga ke Jalak? Hmm sebenarnya untuk sukan bowling ini Jalak terpaksa menggantikan seorang staf FKE yang tidak dapat turut serta dalam sukan tersebut. Lagipun tahun ini Jalak baru saja membeli sebiji bola khas untuk digunakan bagi tujuan peribadi dalam meningkatkan prestasi diri sendiri. Susah juga pada mulanya untuk mencari keserasian dengan bola tersebut. Tapi untuk sukan bowling ini, tiada sebarang tempat pun yang pasukan lelaki FKE kecapi. Kalau ada pun tempat, mungkin di bahagian-bahagian belakang nun hehehe. Jadi Jalak terpaksa akui bahawa sukan bowling ini bukanlah forte Jalak, buat masa ini. Setakat main untuk suka-suka bolehlah. Tapi seronoklah juga sebab dapat main 4 games percuma pada hari tersebut..Hak3x
Photobucket
Pasukan bowling lelaki FKE##kredit gambar Media Gallery UTeM

Begitulah serba sedikit cerita-ceriti menarik yang berlaku dalam tempoh separuh masa pertama dalam dahun 2011 ini. Syukur ke hadrat Ilahi atas segala limpah dan kurnia yang diberikan setakat ini. Untuk separuh masa kedua ini, azam Jalak adalah untuk menghasilkan sebuah buku (karya asli dari tesis ke buku) dan juga kertas kerja persidangan untuk melengkapkan profil Jalak sebagai pensyarah sepanjang tahun ini. Mengajar itu sudah tentulah, tugas hakiki. In fact, ketika semester khas sedang berlangsung sekarang ini, Jalak mempunyai seramai 65 orang pelajar tahun akhir yang akan grad selepas raya nanti. Belajar, mengajar dan terus belajar...

Jalak: Jika benar itu mimpi, paling tidak..sesudah aku bangun, mimpi itu akan tetap menjadi milikku..

Sunday, February 27, 2011

Hadiah atau Pinjaman ??

Mungkin ada yang tak tahu, yuran pengajian di Jerman hanyalah 500 Euro per semester. Sangat murahlah jika mahu dibandingkan dengan yuran pengajian di UK mahupun di Australia. Seperti biasa, sebagai pelajar di bawah tajaan KPT, semua perbelanjaan termasuk yuran ditanggung sepenuhnya oleh pihak KPT. Yuran pengajian perlu dibayar sebelum bermulanya semester baru.

Tahun lepas, Jalak sempat menamatkan pengajian 2 minggu sebelum Winter Semester berakhir. Sebagai sebuah negara yang sangat mementingkan kebajikan penduduk terutamanya pelajar, ada beberapa universiti di Jerman termasuklah Univ. of Siegen akan memulangkan kembali yuran pengajian 500 Euro kepada pelajar yang berjaya graduate pada semester akhir pengajian. Tak kisahlah, semester ke berapa sekalipun asalkan namanya semester akhir untuk pelajar terbabit, maka yuran akan dipulangkan. Baik kan?

Macam kes Jalak ini, Jalak sudah pun melunaskan pembayaran yuran untuk semester akhir itu (bayar guna duit sendiri dulu) dan sudah pun mendapat pembayaran balik (claim) daripada KPT. Alih-alih pihak universiti pula baik hati memulangkan balik yuran tersebut walaupun tinggal hanya 2 minggu saja lagi sebelum semester berakhir. Untung bukan? Yelah, dah guna pakai segala kemudahan sepanjang semester terbabit. Pemulangan itu sebagai 'hadiah' katanya kerana telah berjaya bergelar graduan di universiti tersebut. So sweeeet! Jujurnya Jalak hanya dapat tahu tentang 'sistem hadiah' ini menjelang hari-hari terakhir sebelum menamatkan pengajian. Kalau tahu dari awal lagi tak akan claim, so that tiada la rasa berhutang dengan KPT.

Usai pulang ke Malaysia, Jalak terus memaklumkan tentang perkara ini kepada pihak KPT. Nampak seperti mereka pun tidak tahu-menahu pasal hal ini. Pelik! Takkan tak pernah berlaku kes seperti ini sebelumnya? Ada juga kawan-kawan Jalak yang tahu pasal hal ini berseloroh sambil menyuruh Jalak tutup mulut buat-buat tak tahu saja. Tapi ini soal duit, bukan sikit lebih-lebih lagi jika ditukarkan kepada ringgit. Jalak tak berani maa..

Berbalik kepada perbualan telefon dengan pegawai KPT tadi, Jalak bertanya macam mana mahu pulangkan balik duit 500 Euro ini? Perlu bayar dalam Euro atau dalam RM? Maklumlah ketika itu Jalak banyak juga membawa kepingan Euro dalam tangan. Kalau boleh mahu saja dibayar dalam Euro. Cuma Jalak berasa sedikit ralat apabila pegawai itu meninggikan suara sambil mengatakan yang duit itu adalah hak milik KPT, selepas Jalak bertanyakan kepadanya samada duit itu boleh dikira sebagai bonus dari universiti Jalak belajar atau pun tak..Well, tanya pun tak tak boleh ke? Kalau Jalak betul-betul nak, dah lama buat dek je ngan duit itu tanpa memaklumkan kepada mereka!

Sebelum berakhirnya perbualan telefon, pegawai itu berkata yang dia perlu semak balik dengan pihak Jabatannya dan akan menghubungi Jalak semula selepas kata putus dicapai. Sudahnya, sampai sekarang dah nak hampir setahun satu cerita pun tak dengar. Jalak sampai langsung terlupa akan perkara ini dek kesibukan harian. Lagipun duit itu dah disimpan di dalam bank. Dah 'tak nampak' duitnya, mana lah nak ingat. Patutnya dah jadi kerja pihak di sebelah sanalah yang kena uruskan.

Since dah kembali ingat pasal hal ini (siap tulis lagi dalam blog sebagai peringatan), Jalak akan cuba menghubungi pegawai tersebut sekali lagi. Hai..jenuh lah nak kena terangkan balik pokok pangkal cerita. Masa mula-mula call dulu pun, agak susah juga kes ini untuk diinterpretasikan. Tapi naluri Jalak kuat mengatakan yang satu hari nanti duit ini pasti akan dipulangkan sebab selepas dihitung-hitung, ya memang benar duit itu bukan milik Jalak. Lainlah jika Jalak ni pelajar self-sponsored, maka duit yang dipulangkan oleh pihak universiti itu adalah 100% menjadi hak mutlak Jalak seorang.

Apa pula pendapat kalian? Mesti rasa sangat sayang bukan dengan duit itu? Maklumlah kalau di negara lain tak dapat ganjaran macam ini. Tapi manalah tahu kalau pihak KPT bermurah hati mahu anggap itu sebagai 'hadiah' juga, Jalak on aje..HeHeHe!

Jalak: Tak rugi apa-apa pun kalau tak dapat..

Sunday, October 10, 2010

Khatimah Syawal 1431H

Alhamdulillah..sudah lama Jalak berhajat untuk mengadakan majlis rumah terbuka buat kawan-kawan yang tinggal berdekatan terutamanya yang bertugas di bawah bumbung yang sama. Selepas ditilik dan dihitung, maka hari yang paling sesuai dibuat adalah pada Jumaat lepas bersamaan 29 SYAWAL 1431H. Ya, benar. Hari terakhir di dalam bulan Syawal untuk tahun tahun. Namun Jalak rasa tiada apa yang perlu dihairankan kerana pada hari minggu ini, masih terdapat lagi segelintir masyarakat yang mengadakan majlis rumah terbuka walaupun bulan Zulkaedah sudah pantas menerpa menggantikan Syawal yang telah lalu.

Semenjak Jalak berpindah ke Ayer Keroh, ada beberapa orang teman yang menyatakan hasrat mahu bertandang ke rumah Jalak. Memandangkan Jalak berpindah beberapa hari sahaja sebelum bulan puasa, jadi agak sukar juga untuk mengadakan housewarming dek aktiviti yang padat sepanjang bulan Ramadan. Maka hari rayalah masa yang sesuai, malah boleh disekalikan dengan rumah terbuka. Kira 2 dalam 1.

Jalak hanya mampu menempah makanan daripada caterer kerana senarai jemputan hampir mencecah 50 orang. Di rumah bujang Jalak tiada kuali atau periuk belanga yang besar-besar untuk menampung kuantiti masakan yang sebegitu banyak. Walaubagaimanapun, tidak semua pun yang hadir. Mungkin masing-masing ada hal lain yang perlu dielakkan. Tak mengapa, majlis tetap meriah ditambah pula dengan riuh rendah suara kanak-kanak bermain di pelosok bilik depan yang kosong lagi lapang itu. Cuma yang tak sedapnya, banyak makanan yang berlebihan. Menu utama pada malam itu adalah Mi Kari dan Bihun Goreng. Dek kerana petang yang sama fakulti Jalak turut mengadakan jamuan hari raya besar-besaran (Lemang, sate, rendang, soto, roti jala etc.), ramai yang dah penuh perut sampai ke malam.

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada teman-teman yang sudi datang. Harapnya semua puas hati dan selesa maklumlah rumah bujang. Yang penting, semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

Jalak: Terkejut dilabel 'kekwat' ketika mula-mula menjejakkan kaki ke fakulti beberapa bulan lalu..tak kenal maka tak cinta i tell u!

Monday, September 13, 2010

Maaf Tak Terucap

Hmm..entah kenapa raya tahun ini Jalak terasa sangat sebak, begitu sebak sampai teresak-esak tatkala bersalam dan berpelukan dengan Abah dan Mak pada petang 1 Syawal. Ya, petang kerana menunggu semua ahli kerabat datang berkumpul memandangkan kaum lelaki perlu menghadiri solat Jumaat pada tengaharinya. Kebiasaannya sesi begini dilakukan pada waktu pagi sejurus selepas masing-masing berkumpul di rumah uwan usai solat sunat Aidilfitri.

Berbalik kepada persoalan kenapa Jalak begitu sebak yang datangnya secara tiba-tiba..mungkinkah kerana hari sudah petang dan Jalak pun sudah kepenatan dan kekenyangan menikmati aneka juadah sejak dari paginya? Macam tak logik pula. Setelah difikir-fikirkan, Jalak tahu kenapa. Jika 2 tahun lepas, Jalak sentiasa berjauhan dengan Mak dan Abah. Dari segi rasionalnya, tak banyak kesalahan atau dosa yang Jalak dah lakukan terhadap mereka. Tahun ini cukup berbeza kerana Jalak sudah pulang menetap kembali di Malaysia. Dalam waktu untuk memulakan hidup baru selepas tamat pengajian, Mak dan Abah lah yang paling banyak membantu Jalak terutamanya dalam urusan pindah rumah dan yang paling dapat dirasakan, ketika Jalak sedang berpantang selepas menjalani pembedahan padi bulan Mei yang lalu. Dek terkenangkan itu semualah, Jalak sampai teresak-esak sampaikan begitu susah sekali untuk menzahirkan pengucapan dari mulut untuk meminta maaf pada ketika itu. Air mata berlinang laju. Huhh...

Oh ya, tentang sambutan raya tahun ini, Jalak sangat bersederhana. Persiapan pun macam tiada apa yang menarik untuk diperkatakan melainkan tradisi tiap-tiap tahun memasak lemang dan rendang beramai-ramai. Mak Jalak pula sangat galak membuat kuih raya tahun ini. Baju Melayu Jalak pula cukup sekadar memakai baju Melayu merah ketika menjadi pengapit kepada Matnur dan Dila 3 tahun yang lalu, dipasangkan dengan sampin rasmi Soksek yang masih tersimpan kemas di dalam almari walaupun sudah lebih 10 tahun lamanya. Nostalgia sungguh!
Photobucket

Photobucket
Kuih raya home made..sikit-sikit tapi banyak jenis :D

Photobucket

Photobucket


Erm..hari ini sudah hari raya ke-4 dan Jalak sudah pun kembali ke UTeM untuk bekerja. Semester pertama sebagai pensyarah benar-benar menguji kesabaran Jalak dalam menguruskan masa. Tak mengapalah, inshaAllah lama-lama nanti dah boleh biasakan diri dan stabil dengan kerja. Come on Jalak, u can do it!!

Jalak: Makin tua makin sensitip??

Wednesday, September 8, 2010

Sesuci Lebaran

Cepat benar masa berlalu. Pejam celik pejam celik sudah bulan September! Pejik celik juga, sudah berkurun blog ini tidak dibelai dan dimanja, tidak seperti zaman Jalak bergelar pelajar. Kesimpulannya di sini, usai pulang ke Malaysia, banyak saja kerja yang sedia menanti dan tentunya ia tidak akan pernah habis. Namun tidaklah pula sampai tiada masa untuk menulis, cuma malas atau rajin sahaja sebenarnya!

Oh ya, Ramadan pula seperti cepat juga berlalu. Dek kesibukan kerja hari-hari, masakan tidak masa dirasakan berlalu dengan laju. Namun syukur ke hadrat Ilahi kerana Jalak masih diberikan kudrat dan kekuatan serta nikmat kelapangan untuk menunaikan ibadah tarawikh. Memang tak boleh dinafikan, semakin menjelangnya akhir Ramadhan, semakin banyak dugaan dan halangan melanda di hati.

Jalak juga bersyukur kerana diberi peluang melakukan qiamulail di masjid pada malam 23 Ramadhan yang lalu. Itu pun selepas 'diarahkan' oleh Ketua Jabatan merangkap sahabat Jalak. Beliau berfirasat malam tersebut mungkin berlakunya Lailatulqadar kerana petang itu hujan renyai-renyai setelah agak lama tidak hujan. Kemudian selepas pulang dari tarawikh, kami ternampak pula 'cahaya berkelip-kelip' di atas langit. Setelah disiasat rupanya itu cahaya dari lampu funfair...Alkisahnya HeHeHe. Kelakar pula kalau difikirkan..

Lusa raya bakal menjelma. Baju raya Jalak sehelai pun tak beli. Jalak rasakan baju-baju Jalak sudah banyak sangat di dalam almari. Ada pula yang sangat jarang dipakai. Bolek dikira dengan jari berapa kali dipakai. T-shirt HRC saja sudah berapa. Jadi untuk tidak membazir, eloklah pakai saja appa yang ada. Sama juga dengan baju melayu dan samping, yang tahun 2008 punya masih cantik di mata Jalak.

Oklah, sebelum mengundurkan diri di sini Jalak ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lebaran buat semua kaum muslimin dan muslimat di luar sana. Semoga lebaran kali ini memberi seribu kemanisan buat kita semua..
Photobucket

Jalak: Tak sabar nak bakar lemang esok!

Wednesday, June 30, 2010

Sekapur Sireh

Sudah lama Jalak ingin post entri ini. Maka hari ini, hari terkahir untuk bulan Jun, di kala rakyat jelata di bumi Hitler sedang menikmati keindahan musim panas dan demam Piala Dunia, terpampanglah juga entri ini di blog yang sudah lama diabaikan ini. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana segala penat lelah Jalak selama 30 bulan berjuang untuk mencari segulung ijazah (walaupun sebenarnya takde lah digulung pun), sudah sampai ke titik nokhtahnya.
Photobucket
(sekadar gambar hiasan)..mueheheh

Pertama sekali, Jalak ingin kalungkan jutaan terima kasih buat mak dan abah yang selama ini tak pernah jemu mendoakan kesejahteraan dan juga kejayaan Jalak. Seringkali Jalak mengalami 'blessful and thankful feelings' tatkala dipermudahkan segala urusan Jalak berkaitan dengan kehidupan sebagai seorang yang mendambakan ilmu di negeri orang. Jalak yakin semunya berkat doa daripada mak dan juga abah. Sejuk hati Jalak apabila menelefon rumah, ada ketika abah sedang membaca al-Quran dan ada masanya juga abah tiada di rumah kerana ke masjid. Entahlah, sukar untuk Jalak tafsirkan perasaan sebagai seorang anak ketika itu kerana perasaan itu terlalu abstrak. Yang pasti, itu sedikit sebanyak memberi peringatan secara halus kepada Jalak agar tidak lalai dan alpa dalam kegelojohan mengejar cita-cita di dunia.

Juga kepada famili serta saudara-mara di kampung yang turut sama mengharapkan kejayaan Jalak agar dapat dijadikan motivasi serta dorongan terutamanya kepada mereka yang masih kecil mahupun yang sedang melalui fasa pendidikan normal. Jalak sedar, tanggungjawab dan peranan Jalak dalam ruang lingkup sebegini bukannya sembarangan. Namun Jalak bukanlah seorang yang perfect apatah lagi mahu mendabik dada dengan apa yang Jalak kecapi sekarang. Kejayaan Jalak adalah kejayaan kalian semua. Kejayaan kita bersama, ingat tu!

Tidak dilupakan teman-teman serumah iaitu Nazrin, Didie dan Dila yang sama-sama mengharungi liku hidup seorang pelajar dalam jurusan MSc in Mechatronics di universiti yang sama. Jalak bertuah kerana tidak keseorangan dalam hal ini. Jalak bukan seorang yang genius malah sudah terbiasa dengan konsep study dependency sejak belajar di UIA lagi. Dalam hidup ini, ada perkara yang kita mudah faham, ada yang orang lain lebih faham. Lebih menakutkan, perkara yang kita faham itu adakalanya difahami oleh orang dalam perspektif yang berbeza, malah paling menakutkan, yang berbeza itulah kebenaran! Mungkin ada yang pernah mendengar, "Perbezaan pendapat itu adalah sesuatu yang sihat". Benar sekali, kerana perbezaan inilah yang membuka ruang kepada manusia untuk explore maklumat baru dalam membentuk sesuatu resolusi. Selain daripada itu, sudah namanya pun teman serumah, kami ibarat sebuah keluarga. Jika dalam kesusahan, pasti ada yang sudi membantu terutamanya Matnur. Jalak tidak dapat bayangkan tekanan yang mungkin Jalak rasa sekiranya berdepan dengan sebarang kesulitan dalam keadaan tiada teman-teman di sisi, lebih-lebih lagi ketika di tempat orang.

Oh ya, sebut tentang kawan-kawan, turut tidak dilupakan sahabat-sahabat yang berada di luar sana terutamanya yang sama-sama terlibat dalam academic business ini, tak kiralah samada Bachelor, Diplome, Master mahupun PhD. Ketika berjumpa, kita tidak terlepas untuk berbincang tentang kerenah dan perihal universiti masing-masing. Sekurang-kurangnya dari situ Jalak sedar setiap tempat ataupun universiti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, tanpa perlu mengomel yang mana bagus, yang mana tidak. Special mention juga kepada saudara Arief dari Univ. Saarland kerana sudi membekalkan jurnal-jurnal yang berkaitan dengan tajuk tesis Jalak. Akses dari Univ. Siegen begitu terhad! Juga kepada Kak Dora yang sudi untuk membantu Jalak menggunakan Latex dalam penulisan tesis, meskipun akhirnya Jalak berkesudahan dengan menulisnya menggunakan Words 2007 sahaja atas kebenaran supervisor juga.

Doakanlah Jalak dapat menghadapi hari-hari yang mendatang dengan lebih gemilang dan cemerlang. Sesungguhnya pencarian ilmu tidak akan terhenti, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang bergelar pendidik seperti Jalak ini.


Jalak: Cemburu melihat teman-teman yang attend majlis konvo lepas habis Sarjana..

Thursday, May 20, 2010

Ikan Bakar Mania

Sejak menetap di Melaka mulai April lalu, sudah 2 kali Jalak ke Umbai untuk menikmati kelazatan ikan bakar yang segar di sana. Malah restoran yang Jalak kunjungi pun sama, iaitu restoran Parameswara. Abah Jalak yang cadangkan sebab restoran tersebut pernah dikunjungi oleh Farouq Hussin dalam rancangan Warung Kita di Astro. Ternyata hakikatnya bukan indah dari rupa, malah begitu tip top sekali. Tempat makannya betul-betul terletak di tepi sungai. Nyaman rasanya. Tapi jika anda berkunjung pada malam minggu, bersedialah untuk berebut tempat duduk yang terbaik dan beratur untuk memilih ikan atau menu yang mahu disediakan. Ops! Cukuplah rasanya publisiti percuma kepada restoran ini!

Pada hari Ahad yang lalu, famili serta saudara-mara yang lain telah mengadakan kenduri ikan bakar secara besar-besaran. Antara ikan-ikan yang menjadi 'mangsa' adalah seperti Ikan Rohu (paling besar), ikan Talapia dan juga ikan Pari. Selain itu terdapat juga sedikit udang sebagai penambah selera tapi malangnya Jalak tidak dibenarkan untuk menjamah udang tersebut kerana risau akan memberi kesan kegatalan. Masalahnya udang itu yang gatal, Jalak tak gatal! :P
Photobucket
Ikan Rohu..besar giler! 1st time rasanya makan ikan ni..

Photobucket
udang yang GATAL!

Photobucket
Oh ya, cendawan goreng tepung pun ada. BAPAK SODAP!

Acara ini sebenarnya dicadangkan oleh salah seorang makcik Jalak melalui akaun Facebooknya. Ternyata cadangan tersebut mendapat respon baik daripada semua yang terlibat. Baru-baru ini adik beradik sebelah Abah Jalak telah mendapat sedikit habuan daripada nenek (uwan) Jalak yang berupa sejumlah wang. Bagi meraikan tanda kesyukuran atas perkara tersebut, maka terhasillah acara sebegini yang nyata menjadi wadah untuk kami saling mengeratkan silaturrahim sesama sendiri. Paling penting, sebagai tanda terima kasih kepada uwan yang bermurah hati. Sekali-sekala buat event seperti ini menarik juga sebenarnya. Jika makan di kedai, mesti rasa tak cukup. Kalau nak betul-betul kenyang, kenalah spend ongkos yang lebih besar. Tapi jika ikan-ikan dibeli dan dibakar sendiri, sampai berlebih-lebihan pula jadinya. Namun alhadulillah, menjelang malam, nampak macam habis juga ikan-ikan yang dibakar. Jalak pula bersemangat untuk membantu apa-yang patut semasa membakar ikan walaupun beberapa kali ditegah oleh mak dan makcik-makcik Jalak yang lain.

Photobucket
Kek hari lahir Pakwi, Mak Y dan Pakteh..licin!

Dalam pada itu, kami turut meraikan hari lahir pakcik dan makcik Jalak serta hari ibu buat uwan oleh anak-anaknya. Ada yang memberi hadiah itu dan ini. Meriah betul rasanya. Lepas juga rindu Jalak untuk menikmati kemeriahan seperti ini. Oh ya, Jalak juga tidak lupa untuk menghadiahkan makcik dan pakcik Jalak yang sudi menjadi penjamin kepada Jalak semasa Jalak belajar dahulu. Hadiahnya berupa electric egg boiler yang dibeli di Media Markt. Murah saja, yang penting mereka rasa dihargai. Kebetulan pada minggu lepas barang-barang yang dipos melalui kontena sudahpun selamat sampai. Memang kenalah pada masanya. Cuma Jalak berasa sedikit ralat kerana tidak dapat turun padang sama-sama membantu teman-teman yang lain memunggah turun barang di Alor Gajah kerana keadaan fizikal yang tak mengizinkan. Apa boleh buat, barang-barang itu sampai sehari selepas Jalak menjalani pembedahan. Terima kasihlah kepada Nik yang sudi menghantar barang-barang kepunyaan Jalak terus ke rumah pada hari berikutnya.

Nampaknya cuti panjang Jalak bakal berakhir tidak lama lagi. Ada juga rasa sedikit gusar kerana takut ketinggalan dalam hal-hal di pejabat. Jalak dah bersedia untuk kembali sibuk kerana sudah pasti nanti banyak kerja yang perlu dibuat. Kalau 2 minggu itu satu universiti turut bercuti tak apalah, ini Jalak seorang saja yang cuti. Jadi..."paham-pahamlah" (gaya gedik Adibah Noor dalam iklan Libresse) :P


Jalak:
Pedihnya mulut dek kerana ulser. Nak makan pun kena fikir banyak kali :(a
Blog Widget by LinkWithin