Thursday, July 30, 2009

Air Mata Azizah

Fuhh..sekian lama menanti drama ini ditayangkan, Isnin lepas barulah Jalak berpeluang menontonnya! Lama betul RTM memerap drama yang berkualiti ini. Tidak silap, pada Februari lepas lagi penggambaran dijalankan. Ditambah pula dengan isu boikot pelakon utama drama ini oleh wartawan yang tidak profesional, sukar juga mendapatkan info mendalam tentang drama tersebut.

Ya, jalan ceritanya agak klise. Seorang anak yang melupakan jasa dan pengorbanan seorang ibu. Namun cerita ini lebih memfokuskan kesilapan ibu yang terlalu memanjakan si anak sehingga sanggup menebalkan muka mengemis wang daripada orang lain. Lebih dasyat lagi, apabila si ibu sentiasa melebih-lebihkan anak kesayangannya, Azizah berbanding anaknya yang paling bongsu. Mengapa? Hanya kerana Azizah itu cantik serta bijak dalam pelajaran manakala adiknya pula agak lembap namun berhati mulia. Malangnya sisi positif pada si adik tidak pula si ibu itu nampak. Sikit-sikit Azizah, sikit-sikit Azizah! Kononnya Azizah lah satu-satunya harapan untuk mengubah nasib keluarga pada masa hadapan.

Kesudahannya apa yang si ibu dapat? Jangankan sesen, habuk pon tidak! Ketika itu barulah si ibu tersedar akan kesilapannya selama ini.
"Jangan terlalu mengharap atas sesuatu yang tak pasti, Ju" pujuk si ayah yang lumpuh berkerusi roda.

.
.
.

Setelah berhari-hari koma tidak sedarkan diri, Azizah dihantar pulang ke rumah ibu bapanya di kampung oleh si suami yang baru sahaja mengetahui akan kewujudan Mertuanya melalui sepucuk surat yang sempat dicoretkan oleh Azizah sebelum kemalangan. Akhirnya Azizah terpaksa pergi juga buat selama-lamanya selepas mendapat keampunan daripada kedua-dua orang tua serta adik yang selalu diherdiknya..

Oh ya, mari berhibur sebentar menonton video ini untuk mengetahui siapa sebenarnya yang memainkan watak Azizah. Kebetulan lagu di bawah ini pon tajuknya Azizah!



Jalak: Bukan mudah untuk membahagikan kasih sayang..

Tuesday, July 28, 2009

Titi Meniti

Abah Jalak dah reka jambatan baru. Maklumlah anaknya engineer..He He He!
Untuk kisah seterusnya, sila lintas melalui jambatan ini.

Ada berani?


Jalak: Tak sabar mahu main pukul-pukul bantal!

Sunday, July 26, 2009

Kerisauan Menggelikan Hati

Terfikir sejenak Jalak apabila mendengar cerita daripada Abah semasa kami berbual panjang melalui telefon petang tadi. Abah bercerita perihal Mak yang telah menghantar sms kepada seorang teman seperkolahan (bukan teman se-kolah!) yang bakal menaiki pelamin Ogos depan.

Kisahnya bermula begini. Sepanjang hampir 2 tahun Jalak berada di perantauan, tidak putus-putus kad jemputan perkahwinan telah sampai ke rumah Jalak. Semuanya daripada teman-teman Jalak yang sudi menghantar sebagai tanda ingatan waima mereka tahu Jalak tidak berada di tanahair pada ketika itu. Maklumlah semasa lingkuman umur 25 ke 27 tahun ini, ramai pula yang memilih untuk menamatkan zaman bujang. Terharu juga sebenarnya apabila masih lagi menerima kad jemputan daripada mereka.

Siapa lagi yang akan membuka serta membaca kad jemputan itu kalau bukan Mak dan juga Abah. Mereka kemudiannya akan memaklumkan serta membacakan isi kad tersebut kepada Jalak melalui telefon. Sesudah hampir 2 tahun lamanya, Jalak tidak sangka pula Mak boleh berasa risau sampai ke tahap mengirim sms kepada nombor yang tertera di dalam kad jemputan!

Sungguh menggelikan hati apabila Jalak mendapat tahu tentang motif sms tersebut dikrimkan.
Mak memberitahu teman Jalak itu,
"Rusdy masih lagi berada di Jerman dan tidak dapat hadir.".
Teman Jalak itu membalas lalu berkata,
"Tidak mengapalah makcik"
Mak pula membalas,
"Bukan apa, makcik risau kalau Rusdy kahwin nanti, kawan-kawan dia pula yang tak sudi datang!"

Aduh..Jalak tidak sangka Mak boleh berfikiran sedemikian rupa! Akan tetapi, memang ada betulnya. Bab hadir atau tidak ke majlis perkahwinan teman-teman ini, tidak boleh dipandang remeh. Tidak mustahil andai ada yang terasa hati apabila hari bahagia mereka tidak dapat dikongsi bersama teman-teman yang lain.

Jalak benar-benar berharap agar mereka dapat memahami situasi Jalak sekarang. Seandainya Laut China Selatan sekalipun boleh diangkat sebagai alasan, inikan pula BENUA yang tidak terduga!! Maafkan Jalak..

Jalak: Kalau kenduri kena boikot, siapa pula mahu beri hadiah?? HaHaHa!

Tuesday, July 21, 2009

Minah Drift

Hujung minggu lepas Jalak turut serta Nazrin dan Didie ke Frankfurt. Sampai saja di Frankfurt, kami terus dibawa oleh Zul ke restoran KFC yang menghidangkan ayam goreng HALAL. Siap guna logo HALAL Malaysia lagi! Lepas gian dapat menikmati kentang putar KFC yang tiada tolok bandingnya.

Sebenarnya hajat di hati pada mulanya kepingin juga untuk menonton Harry Porter di salah sebuah international screen di Frankfurt. Bukan kerana minat tetapi atas dasar mahu merasai pengalaman pertama menonton wayang di bumi asing ini. Sebenarnya di tempat tinggal Jalak ada juga peluang seperti ini, cuma Jalak tidak mahu berasa tertekan mendegar setiap pengucapan dialog pelakon-pelakon dibutirkan dalam bahasa JERMAN tanpa sarikata dalam bahasa Inggeris. Cukuplah hanya mendengar tuan rumah Jalak mengomel dalam bahasa Jerman.

Namun selepas membaca sepintas lalu komen-komen daripada teman-teman di laman sosial Facebook, Jalak mendapat sebuah konklusi di mana; penonton mesti mengingati setiap babak penting dalam siri-siri terdahulu filem ini. Ironinya, tiada satu pun antara siri-siri tersebut pernah Jalak tonton, apatah lagi membaca novelnya. Lalu, untuk tidak berasa tertekan, Jalak mengambil keputusan membatalkan niat menonton wayang untuk kali ini. Kali lain mungkin, namun entah bila dan filem apa pula ya? Hindustan barangkali ;P

Permainan badminton pula telah ditunda ke hari berikutnya memandangkan kaum bapa mithali dengan rela hati menjaga anak masing-masing selepas ditinggalkan oleh kaum ibu mithali yang pergi menonton Harry Porter.
Photobucket
Papa aina sedang melayan budak-budak

Jalak mengikuti rombongan kaum bapa mithali ke Russelsheim yang terletak tidak jauh dari Raunheim, tempat Jalak tumpang berteduh. Kami keluar agak lewat namun sempat juga Jalak bergegas ke kedai Asia di Russelsheim (10 minit sebelum kedai tutup) untuk mendapatkan 4 botol Ground Chili and Garlic in Oil yang sudah lama Jalak idam-idamkan.
Photobucket
Dua minggu lepas puas juga Jalak mencarinya bersama-sama Zul di kedai-kedai Asia sekitar bandar Frankfurt, namun tidak pula ketemu. MELETUP!! Itulah perkataan yang boleh Jalak berikan untuk menggambarkan betapa hebatnya penangan sambal tersebut apabila dimakan bersama nasi, bihun mahupun mi goreng. Walla~ :D,,,,

Sekiranya menjejakkan kaki ke Russelsheim, tidak sah rasanya kalau tidak mencemar duli di rumah Matt dan Liza. Di sini ada permainan Wii. Jalak tidaklah sampai tahap chempera untuk bermain permainan ini. Apa yang lebih mengujakan apabila melihat telatah pasangan kembar, Nabihah (Kakak) dan Nabilah (Adik) bermain Mario Cart. Terkekeh-kekeh Jalak dibuatnya, menahan ketawa melihat gelagat mereka ni. Gelak kuat-kuat nanti teralih pula perhatian mereka. Maklumlah kedua-duanya tengah naik sheikh.

Gaya Kakak memang terlebih sudah! Gaya memang tak ingat, persis minah drift. Adik pula macam sedang berada di alam lain. HaHaHa!! Nampak seperti dipaksa untuk main pun ya, tapi dia juga yang beriya-iya mahu bermain game ini sampai berebut turn dengan uncle Matt yang mahu mencuba game yang baru sahaja dimuaturun. HuHu~


Lama juga Adik dan Kakak layan game ni. Siap bertukar tempat duduk. Belum lagi tengok gelagat Adik bermain Wii sambil matanya menonton Pingu bersama Aina. Aiyaiyai!!

Petang itu kami dijamu dengan cucur udang tanpa udang oleh Puan Liza yang sedang sarat mengandung. Buat susah-susah saja! Kami turut menikmati makan malam di situ sebelum pulang ke Raunheim.

Keesokan paginya Jalak bersama bapa-bapa serta bakal bapa mithali keluar bermain badminton bersama teman-teman yang lain. Ramai juga yang turut serta kali ini. Lewat petang barulah Jalak pulang ke Siegen. Terima kasih diucapkan kepada Zul dan keluarga di atas hospitaliti yang disediakan. Semoga hidup kita dijauhi dengan puaka-puaka yang tidak sihat di luar sana!


Jalak: Baru lepas menonton Novelist Babysitter, slot cerekarama TV3

Tuesday, July 14, 2009

Khabar Gembira !!

Alhamdulillah...syukur ke hadrat Ilahi di atas limpah dan kurniaNya.

Petang tadi Jalak telah mendapat perkhabaran gembira tentang kes pencabulan kad kredit Jalak yang berlaku pada bulan lepas. Selama ini Jalak sering ternanti-nantikan berita daripada pihak Maybank melalui emel memandangkan selama ini Jalak berhubung dengan mereka melalui medium tersebut.

Mahu dijadikan cerita, petang tadi seorang teman yang bekerja di Bank Negara bertanyakan tentang perkembangan kes tersebut melalui Yahoo Messenger. Beliau memberitahu bahawa selalunya kes-kes yang berkaitan dengan pembelian tiket kapal terbang mempunyai harapan cerah untuk diselesaikan. Lantaran itu, terus terdetik di hati Jalak untuk mendaftar masuk ke akaun Maybank2u yang sudah lama tidak dikunjungi memandangkan akaun kad kredit Jalak telah pun dibekukan. Tiada apa yang boleh dilihat di situ lagi kecuali akaun simpanan yang masih aktif seperti biasa.

Terkesima Jalak apabila melihat sebuah akaun kad kredit baru telah dibuka tanpa pengetahuan Jalak. Nombornya juga sudah lain tetapi seperti biasa hanya 4 angka terakhir sahaja yang kelihatan. Ternyata tidak lagi sama dengan yang sebelumnya. Jalak terus terkesima tatkala melihat jumlah amaun yang tertera di ruangan Statement Balance. Tanpa membuang masa, Jalak terus menyemak Transaction History lalu mendapati sebuah transaksi seperti di bawah:

07-Jul-2009 DISPUTE AMOUNT REVERSAL RM6,090.51

Syukur Alhamdulillah! Pihak Maybank telah membatalkan caj perbelanjaan bagi pembelian tiket penerbangan Tukrish Airlines dan Gulf Air yang sampai sudah Jalak tidak ketahui, siapakah si polan yang terlibat itu.

Sebenarnya Jalak pernah menghubungi sendiri secara terus ke Turkish Airlines dan mereka telah pun berjaya mengenalpasti informasi si polan tersebut. Malangnya pada ketika itu tiket tersebut sudah pun digunakan. Menurut polisi, mereka tidak boleh memberikan sebarang maklumat tentang pelanggan mereka kepada orang lain dengan sewenang-wenangnya. Hanya pihak bank yang mengeluarkan kad kredit dan pihak bank yang dilantik oleh syarikat penerbangan sahaja yang boleh berurusan tentang perkara ini. Tidak mengapalah, Jalak terus sahaja forwardkan emel tersebut ke pihak Maybank dengan harapan ia dapat memudahkan lagi kerja mereka.

InsyaAllah esok Jalak akan telefon pihak Maybank untuk mendapatkan kepastian tentang kes ini. Pelik juga kerana tiada sebarang emel rasmi untuk memaklumkan Jalak tentang khabar gembira ini. Jalak juga ingin bertanya tentang akaun kad kredit baru yang mereka buka itu sedangkan Jalak belum pun lagi mengisi borang permohonan kad kredit baru yang dihantar oleh mereka tempoh hari. Walaupun masih terdapat beberapa tanda tanya, Jalak harap apa yang Jalak perolehi melalui akaun Maybank2u itu bukanlah khayalan semata-mata. InsyaAllah esok segala-galanya akan terungkai. Mudah-mudahan...

Jalak: Lapang rasanya dada!

Thursday, July 9, 2009

Mentor & Protege

Beriya-iya benar dua orang jejaka dalam video di bawah ini. Lihat saja apa yang berlaku di pertengahan rakaman. Persis seorang Mentor yang sedang mengajar protegenya.
Ingin tahu siapa Mentor, siapa pula protegenya? Layankan saja video ini..



HeHeHe! Sebenarnya ini cubaan kali pertama kami beraksi di hadapan kamera. Pemain gitar pun mengaku sedikit canggung untuk aksi jari-jemarinya dirakamkan. Apatah lagi si pelantun suara. Jika di pentas, wujud istilah stage-freight, ini pula boleh dikatakan sofa-freight barangkali. Mujur muka masing-masing tidak termasuk di dalam frame :P

Sebenarnya Jalak keliru antara versi studio dan juga akustik bagi lagu Sampai Syurga ini. Meskipun lagu ini merupakan lagu siulan Jalak sepanjang masa, namun masih juga tidak boleh lari daripada membaca lirik. Gementar! Bimbang bercampur-baur lirik atas dan bawah! Rupa-rupanya petikan gitar yang Zul mainkan adalah untuk versi akustik manakala lirik yang Jalak rujuk itu adalah untuk versi studio. Untuk versi akustik, sepatutnya Jalak terus masuk ke bridge, bukannya 2nd chorus!Tapi kira hebatlah gitaris ini sebab cepat cover pada permulaan muzik bridge tu. Mantop!!

Tambahan pula rakaman ini dibuat kurang 30 minit sebelum Jalak berkejar ke stesen keretapi untuk pulang ke Siegen. Aduh..macam-macam! Ada lagi cubaan kali ke-2. Boleh lah gamaknya. Gitaris pun sudah memberi thumb up di akhir rakaman.



Sebenarnya fokus utama rakaman ini adalah petikan gitarnya. Jalak cuma menjadi vocal guide sahaja. Tahu tak apa itu vocal guide? Jika seorang komposer ingin memberikan lagu ciptaannya kepada si penyanyi, orang yang menyumbangkan suara asal kepada lagu tersebut dipanggil vocal guide. Kebanyakan vocal guide tidaklah sesedap suara si penyanyi yang ditujukan. Asalkan mengikut melodi dan temponya sahaja. Jadi jika mahu mengkritik, sila tujukan kepada pemain gitar sahaja..HaHaHa!

Oh ya, sebenarnya ada lagi cubaan kali ke-3 versi berdiri, tetapi gagal pada peringkat permulaannya lagi. Kasihan gitaris, tangannya lenguh bermain badminton pada hari sebelumnya. Ditambah pula dengan kekalahan berturut-turut. Lagipun waktu sudah semakin suntuk untuk Jalak berkejar ke stesen keretapi. Tidak mengapa, kita sambung lagi pada lain masa!

Jalak: Siaran langsung Mentor (Akhir) Ahad ini di TV3

Monday, July 6, 2009

MCD Sommerfest

Semalam Jalak telah menghadiri sebuah parti barbeku anjuran Malaysian Club Deutschland (MCD) di Ostpark, Frankfurt. Acara berjalan dengan lancar, disapa pula oleh cuaca yang mesra. Tidak terlalu terik panasnya, tidak pula turun hujannya. Bak kata lagu dangdut, yang sedang-sedang saja..
Photobucket

Sebelum terlupa, Jalak mahu ucapkan terima kasih kepada Kak Faiza kerana sudi menjemput Jalak ke acara ini. Juga kerana sudi meminjamkan tikar mengalas punggung untuk Jalak, Zul dan juga Paan.
Photobucket

Pertama kali Jalak menyertai aktiviti anjuran MCD adalah pada November tahun lepas. Agak pahit untuk dikenang sebenarnya.(Barang yang lepas usah dikenang!). Ternyata acara kali ini berkali-kali ganda lebih berbaloi dengan bayaran yang dikenakan iaitu Euro 10. Mengapa? Ikuti kisah selanjutnya di bawah.

Pertama:

Makanan yang dihidangkan boleh dikatakan lebih daripada cukup! Jalak akui tidak semua hidangan terjamah oleh Jalak, bukan kerana kehabisan, tetapi kerana kapasiti perut yang tidak mengizinkan. Selain ayam serta kambing yang dibakar pada ketika itu, kebanyakan jemputan yang hadir turut membawa hidangan yang dimasak dari rumah masing-masing.
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Antara hidangan yang tersedia pada peringkat awal..

Malah ketika acara sedang giat dijalankan, tidak putus-putus hidangan baru diperkenalkan oleh jemputan yang hadir. Dalam keadaan yang terkesima, Jalak seakan-akan tidak boleh berhenti untuk merasai setiap satu daripadanya. Namun apakan daya, kena berhenti sebelum kenyang. (Ye lah tu!). Satu sahaja menu yang Jalak terlepas untuk jamah iaitu Mee Siam Berkuah. Berat sangat, tak mampu dah nak sumbat ke dalam mulut. Lain-lainya seperti desserts dan kuih-muih masih boleh Jalak gagahi. Lagipun Jalak merupakan seorang penggemar kuih!
Photobucket
The hottest stuffs!Sebentar saja sudah licin tray dibuatnya.. Dari jauh lagi Jalak dah boleh teka itu adalah kuih seri muka!One of my favourite!

Photobucket
popia goreng..

Photobucket
Samosa..

Photobucket
kuih bom! tergelak orang Jerman dengar nama kuih ini :D

Photobucket
Desserts..

Photobucket
Hot from the post office..hehehe


Kedua:

Acara sukaneka yang dijalankan juga sangat menarik. Salah satu sebab Jalak tidak berani untuk memaksimumkan kapasiti perut dengan kesemua makanan itu adalah kerana acara sukaneka ini. Risau pula kalau termuntah hijau di atas padang itu nanti. Lagipun acara sukaneka yang bagaimana, Jalak belum tahu lagi ketika itu.

Untuk acara sukaneka, para jemputan dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada 8 orang. Jalak menyertai kumpulan yang dikepalai oleh Encik Saiful, Consul General Malaysia di Frankfurt.
Photobucket

Photobucket
Sesi penerangan oleh saudari Michelle

Di checkpoint pertama, gegelang getah perlu dipindahkan sehingga sampai ke orang yang ke-6 dalam satu barisan menggunakan lidi yang diletakkan pada mulut. Sememangnya aktiviti ini memerlukan daya kosentrasi yang tinggi! Lihat saja dua orang ahli kumpulan Jalak di bawah ini..
Photobucket

Jalak ditempatkan sebagai orang terakhir untuk mencungkil gegelang getah dari lidi orang di hadapan Jalak, sebelum berlari ke checkpoint di mana seorang lagi ahli sekumpulan Jalak harus mengupas kulit sebiji buah oren.
Photobucket
Aksi mengupas buah oren oleh kumpulan yang lain.

Di checkpoint seterusnya pula, salah seorang daripada ahli kumpulan perlu memakan buah tersebut lalu berlari ke checkpoint yang satu lagi. Encik Saiful memang hebat! Walaupun kumpulan kami agak ketinggalan pada peringkat permulaan, dengan sekali ‘ngap’ sahaja terus beliau berlari ke arah Jalak yang sedang menunggu untuk mengutip gula-gula di dalam tepung pula.
Photobucket
Yang ini anak encik Saiful. Memang tak boleh lah nak challenge ayah dia..

Photobucket
The other group. Don't force yourself bro!

Sebelum acara bermula, Jalak mendapat idea untuk memakai sunglasses sebagai pelindung mata agar tidak dimasuki serbuk tepuk yang berterbangan apabila Jalak meniupnya nanti. Mujurlah Encik Saiful ada memakai sunglasses ketika itu lalu dipinjamkannya kepada Jalak.
Photobucket
Memang menjadi! Sekali sahaja tiup, terus kelihatan 5 biji gula-gula yang perlu dipindahkan ke luar pinggan menggunakan mulut. Dengan dua gigitan sahaja, Jalak berjaya memindahkan kesemua gula-gula tersebut.

Photobucket
Hati-hati, jangan sampai termasuk ke dalam mata!HeHeHe

Di checkpoint terakhir, 3 orang lagi ahli kumpulan harus memindahkan 5 biji belon berisi air ke dalam bekas yang disediakan. Mereka perlu membaling belon-belon tersebut untuk disambut oleh ahli kumpulan yang lain. Walaupun beberapa kali belon tersasar dari tangkapan, tiada belon yang pecah bagi kumpulan Jalak.
Photobucket

Kesudahannya, kumpulan kami berjaya memenangi permainan ini. Hooray hooray !!
Photobucket

Oh ya, sejurus selepas perlawanan tamat, maka bermulalah perang membaling belon sesama sendiri menggunakan belon-belon yang masih ada.
Photobucket
Serangan balas daripada Kak Khaty

Kemenangan ini sememangnya sangat berbaloi memandangkan hadiah yang ditawarkan bukannya calang-calang. Setiap ahli kumpulan Jalak menerima sebuah Picnic Set berlabelkan Sony Ericcson! Memang terbaik!!Jadi lepas ini bolehlah pergi picnic dengan bergayanya :D
Photobucket
Sempat lagi buat demo 'tiupan padu maut'

Photobucket
Bergambar bersama sponsor hadiah ini. (Yang satu-satunya muka tidak ditutup itu). Jalak yang suggest bergambar dengan beliau. Malu-malu pula sebab suami beliau yang sponsor sebenarnya tetapi tidak dapat hadir.

Photobucket
Ini dia juara yang kita cari! The so called 'Old Guys team' Hahaha! Apa yang penting...kerjasama!

Usai acara penyampaian hadiah, Jalak pulang kembali ke rumah Zul untuk beristirehat sebelum bertolak balik ke Siegen pada petang itu juga. Jutaan terima kasih Jalak ucapkan kepada Zul a.k.a Abang Gula-Gula kerana sudi menumpangkan Jalak di rumahnya buat kesekian kalinya (banyak sangat, tak terkira)! Juga kerana sudi menumpangkan Jalak menaiki pengangkutan awam di sekitar Frankfurt secara percuma menggunakan pas bulanannya.

**Kredit foto oleh Zul untuk acara sukaneka dan penyampaian hadiah. Sukar rasanya tulisan ini untuk berbicara tanpa hadirnya gambar-gambar di atas!


Jalak: Tak berkesempatan menonton wayang!

Persidangan di Bawah Pepohon

Bukan di negeri Perak sahaja pernah berlaku persidangan di bawah pokok, di Jerman juga pernah berlaku. Jalak sendiri dapat saksikan dengan mata kepala Jalak sendiri. Bahkan, sempat juga Jalak meluangkan masa merakam peristiwa tersebut!

Haha..jangan menggelabah! Sebenarnya apa yang Jalak maksudkan ialah sesi Annual General Meeting (AGM) bagi Malaysian Club Deutschland (MCD) yang berlangsung semalam. Jalak ini bukanlah ahli berdaftar sebenarnya, cuma menyertai parti barbeku yang dianjurkan oleh MCD usai berakhirnya AGM tersebut. Simpan dulu cerita tentang parti barbeku itu, di sini Jalak ingin titipkan antara sedutan video yang Jalak telah rakamkan.

Sesi pencalonan ahli jawatankuasa baru


Sesi buang undi serta kiraan undi untuk jawatan Bendahari


Sesi buang undi serta kiraan undi untuk jawatan Setiausaha

Tie vote!

Ini sahajalah yang Jalak sempat rakam kerana selepas itu hidangan di atas meja buffet seakan-akan memanggil-manggil Jalak supaya datang menghampirinya :P
Untuk maklumat lanjut tentang keputusan penuh berkenaan organisasi bagi tenure yang baru, silalah lawati laman web rasmi MCD.

Anyway, menarik kan buat AGM di bawah pokok atau pun di tempat terbuka seperti ini? Mungkin persidangan UMNO yang akan datang lebih sesuai diadakan di Taman Botani atau Wetland Putrajaya. Ada bran?!

Jalak: Seronok dapat hadiah berupa Picnic Set dari Sony Ericsson!

Sunday, July 5, 2009

Regu 'R' vs. Regu 'Z'

Sejak kelmarin lagi Jalak sudah berada di Frankfurt dan menginap di rumah Zul. Kebetulan Zul ada membuat sesi makan-makan sempena food testing resepi baru terus menerus dari dapur bersama Chef Liza. Dapatlah juga Jalak tumpang belajar cara memasak kari ayam dan masak lemak cili api menggunakan teknik yang lebih mudah dan cepat! Malangnya bukan itu yang mahu dikongsikan dengan anda di sini.

Semalam seharian puas Jalak bermain dan beriadhah bersama Matt atau nama betulnya, Razif, Zul Conti dan juga Zul Raunheim (susah betul ada dua nama yang sama ni!). Bermula dari tengahari kami bermain badminton di Sporthalle berhampiran Raunheim. Kami menyewa sebuah gelanggang dan memandangkan 4 orang sahaja yang bermain, jadi muka-muka yang sama sajalah yang beraksi. Hasil daripada lat tali lat lai li tam plom, Jalak diregukan bersama Matt yang sememangnya hebat. Dengan bantuan yang tidak seberapa (merendah diri), kelima-lima set diimenangi oleh regu 'R'!

Usai bermain kami berjalan kaki menuju ke pekan Rüsselsheim memandangkan bas yang sepatutnya kami naiki dijangka tiba agak lewat. Sedap pula menikmati ayam panggang di sebuah kedai yang Jalak kurang periksa namanya, sambil berbual-bual tentang itu dan ini. Kami ke rumah Matt sebentar untuk lepak-lepak sambil bermain Wii secara ringan.

Selepas berehat dan mandi menyegarkan badan di rumah Matt, kami keluar bermain pool selama sejam. Hasil daripada lat tali lat lai li tam plom, sekali lagi Jalak diregukan dengan Matt. Pasangan regu 'Z' memang hebat kali ini. Malangnya mereka menang gaya sajalah manakala regu 'R' sekali lagi menang bergaya dalam ketiga-tiga set! Sejujurnya Jalak memang tidak pandai bermain permainan ini, mujurlah dengan bantuan dan tunjuk ajar pasangan regu yang hebat dan superb, dapat juga Jalak menyumbat bola ke dalam lubang termasuk bola hitam sebagai penentu kemenangan di akhir perlawanan! Tidak ketinggalan, bersama bola putih sekali! Perlu ada teknik sebenarnya untuk menahan bola putih dari terus sama masuk ke dalam lubang. Really looking forward for this game again in future..

Kepada regu 'Z', usaha lagi ya! Cuba lagi tahun depan! :P
Oh ya, bagi Matt dan Zul Raunheim, ini boleh lah dikatakan Boys Day Out bersama orang-orang bujang! Terima kasih lah ya Puan Neny dan Puan Liza kerana memberi lampu hijau :D

Demikianlah berakhirnya aktiviti bersuka ria pada hari minggu. Jalak menginap lagi di Frankfurt untuk menghadiri sebuah parti barbeku anjuran Malaysian Club Deutschland (MCD).


Jalak: Cuaca yang sesuai untuk keluar bermain mengeluarkan peluh!

Friday, July 3, 2009

Apa Saja

Semalam Jalak keluar dari reban yang panas ini pergi berjalan-jalan ke Cologne semata-mata untuk menikmati beberapa ketul donut beraneka warna dan perisa. Sebenarnya sudah lama Jalak kepingin untuk memakan donut. Bukannya tiada dijual di kedai berhampiran rumah Jalak ini, cuma mahu mencari yang enak-enak serta variasi yang pelbagai. Sudahnya, Dunkin' Donuts la jawapannya. Terkejut juga apabila Jalak dapat tahu di Jerman ini cuma ada cawangannya di negeri tempat Jalak menetap sekarang ini, Nord-Rhein Westfalen dan juga Berlin. Tidak sukar pula mencari kedai tersebut di Cologne. Ia tereletak berdekatan dengan gedung SportSheck yang Jalak pernah hinggap beberapa kali.

Dari Cologne, Jalak menaiki StrasseBahn ke Bonn untuk mencari jus mangga yang enak lagi pekat! Pertama kali Jalak dapat merasa kesedapannya adalah ketika Jalak menziarahi teman Jalak yang baru menetap di Bonn tidak lama dulu. Mudah sahaja mencari kedai tersebut berbekalkan informasi yang diberikan oleh teman Jalak itu tadi. Dari Bonn Hbf, Jalak menaiki tram No.61 ke arah Coppenhagener Strasse lalu turun berhenti di Rosental. Kedai turki yang menjual jus mangga itu terletak berdekatan dengan perhentian berkenaan. Umit, nama kedainya!

Rezeki Jalak jugalah kerana masih banyak lagi stok jus mangga yang terdapat di dalam peti ais kedai tersebut. Menurut kata teman Jalak, sekiranya stok-stok itu kehabisan, berminggu-minggu jugalah harus ditunggu sebelum stok-stok baru kedapatan. Hot stuffs lah kiranya jus mangga ni. Patut pun sedap! Tambahan pula cuaca sekarang yang agak panas, dapat meneguk jus mangga yang sejuk bagaikan berada di awang-awangan! Apa lagi, tanpa mengambil kira beban yang harus dikendong sampai ke Siegen, Jalak mengaut 10 kotak kesemuanya! Itu pun masih ada lagi stok-stok yang masih berbaki. Teman Jalak itu ada pesan, jangan habiskan. Jadi Jalak tinggalkanlah sedikit untuk dia ;D
Photobucket

Begitulah kisahnya kalau dah terasa sengal duduk di rumah. Apa saja boleh dijadikan alasan untuk ke mana-mana!


Jalak: Terngiang-ngiang lagu KRU, Apa Saja...~
Blog Widget by LinkWithin