Monday, January 4, 2010

Sehati Beronggeng

Masa berlalu begitu pantas. Pejam celik pejam celik rupanya sudah sampai masa dan waktunya untuk dua orang teman Jalak ketika beronggeng, pulang ke tanahair. Alhamdulillah, mereka sudah pun selamat tiba di kampung halaman masing-masing. Jalak pertama kali terserempak dengan Zul dan Paan secara tidak sengaja di Triberg, sebuah perkampungan kecil yang menempatkan air terjun tertinggi di Jerman dan juga merupakan pusat pembuatan Kuckoo Clock yang terkenal. Ketika itu Jalak berada di dalam rombongan yang lain bersama-sama Yus dan Rahimah serta geng-geng UTeM dari Saarbrucken. Sudah menjadi adat di sini untuk berasa sedikit teruja apabila terjumpa dengan orang-orang Malaysia di tempat-tempat yang tak disangka. Kebetulan pula, Zul selaku bekas graduan UTeM sudah lama mengenali Kak Dora, Kak Yam serta Rafis sejak di bangku universiti lagi, di bawah fakulti yang sama. Kiranya seperti bekas anak murid bertemu cikgu-cikgunya ;-)
Photobucket
Meskipun terserempak secara tak sengaja, Zul tetap sudi offer diri untuk snap gambar ini dengan kameranya yang canggih itu..

Selang beberapa minggu kemudiannya, Jalak terserempak sekali lagi dengan Zul dan Paan di sebuah majlis sempena sambutan hari lahir Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung yang berlangsung di kediaman Konsulat General Frankfurt.
Photobucket

Seminggu selepas itu, kami sama-sama dijemput oleh warga Saarbrucken untuk menghadiri majlis barbeku di sana serta membuat rombongan beramai-ramai ke Trier, bandar tertua di Jerman. Pada malamnya pula kami sempat melepak sambil makan malam di rumah Kak Dora.
Photobucket
Photobucket
Photobucket

Bermula dari situlah Jalak menjadi kamceng dengan mereka dan sering berkunjung ke kediaman mereka persis Penthouse di Schwalbach. Jakun jugalah ketika pertama kali menjejakkan kaki ke rumah mereka. Rumah tajaan company, mestilah 1st class!
Photobucket
Acapkali juga aktiviti masak-masak dan makan-makan dilakukan di Penthouse ini..

Zul dan Paan merupakan rakan tidak rasmi Jalak semasa pergi makan angin ke luar negara, antaranya seperti Swiss, Sweden, Spain, Holland dan France. Itu belum lagi termasuk beberapa events berskala kecil di dalam negeri. Jalak berasa senang untuk melancong dengan mereka kerana masing-masing bersikap fleksibel dan easy-going. Tambahan pula ketika itu, Jalak memang sentiasa di dalam vacation mood. Ada saja proposal yang dibuat untuk ke sana dan ke sini.

Selain itu, mereka juga mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing yang berkaitan dengan aktiviti makan angin. Rasanya seantero Jerman cukup mengenali Zul sebagai seorang jurugambar yang tegar. Kebanyakan gambar-gambar menarik dalam simpanan Jalak sehingga sekarang adalah daripada DSLR Zul. Paan pula Jalak kenal sebagai seorang yang cukup teliti lagi arif dalam selok-belok membaca peta serta berpengetahuan luas tentang tempat-tempat yang kami ingin lawati. Sememangnya dua elemen ini sudah cukup untuk melengkapi keperluan dalam sesebuah percutian ;D

Justeru kenangan berjalan-jalan dengan mereka bukannya sedikit. Bermacam-macam peristiwa menarik dan juga mengerikan pernah berlaku. Yang menarik tak perlulah diceritakan kerana semua tempat yang kami pergi boleh dikategorikan sebagai menarik! Banyak yang menarik sebenarnya. Dalam banyak-banyak percutian, Swiss merupakan tempat yang meninggalkan peristiwa hitam lagi mencemaskan. Di Geneva misalnya, dompet Paan telah dicopek oleh dua EKOR mamat berkulit hitam. Kami sama-sama mengejar pencuri itu namun apakan daya, larian kami tidak sepantas mereka lalu tidak mampu untuk kami mendapatkan kembali dompet Paan yang telah dicuri itu tadi. Ketika itu perasaan terkejut, marah bercampur geram bagai membuak-buak di dalam dada. Lebih-lebih lagi Paan, yang menjadi mangsa. Malam itu juga kami membatalkan saja niat untuk meneruskan perjalanan mengelilingi bandar Geneva, lalu segera ke balai polis terdekat untuk membuat laporan serta menelefon call centre kad kredit di Malaysia supaya dibekukan segala transaksi. Raut muka Paan kelihatan begitu sugul sepanjang malam itu.
Photobucket
Hampir 5 minit sebelum tragedi rompakan berlaku. Perompak itu bertanya "What time is it?", ketika itu jam menunjukkan tepat pukul 6.00PM!

Photobucket
Gambar terakhir diambil sebelum tragedi itu berlaku. Kami dalam perjalanan menuju ke Water Jet untuk mendapatkan angle gambar yang lebih dekat dan jelas. Malangnya, malang tidak berbau..

Masih lagi di Swiss iaitu di sekitar Interlaken, juga berlaku pada malam yang sama. Zul secara tidak sengaja telah tertinggal beg galasnya di dalam train. Ketika itu, train sudah pun berlalu pergi. Tanpa berfikir panjang, Jalak segera mendapatkan teksi yang kebetulan sedang standby di luar stesen untuk mengejar train yang kami naiki itu tadi ke stesen yang berikutnya. Kebetulan stesen yang berikutnya itu merupakan stesen perhentian terakhir untuk train tersebut. Namun kami masih perlu berkejar pantas ke sana kerana bimbang jika train tersebut memulakan route yang lain pula. Jalak masih dapat membayangkan betapa cemasnya muka Zul ketika itu. Mujurlah beg yang ditinggalkannya itu berjaya dijumpai semula di dalam train yang sama di stesen terakhir itu. Selepas itu, kami tidak putus saling mengingati antara satu sama lain tentang bilangan beg yang dibawa masing-masing ketika berada di dalam train. Masing-masing seakan fobia untuk meletakkan beg di atas para yang disediakan kerana takut ´terlepas dari pandangan’. Jika dikenang kembali, rasa kelakar pun ada!
Photobucket
Wajah sugul Paan selepas kejadian ragut, menenangkan fikiran sambil bermain PSP yang dipinjamkan Zul. Turut kelihatan beg galas Zul yang tertinggal namun berjaya dijumpai semula.

Akhir sekali, selepas beberapa hari pulang dari Swiss, Jalak dikejutkan dengan sebuah emel berbaur ugutan yang dihantar oleh hostel tempat kami bermalam semasa di Zurich. Menurut emel berkenaan, pihak hostel mendakwa bahawa bilik yang kami bertiga diami telah ditinggalkan dalam keadaan yang begitu dasyat! Kipas siling pecah, langsir terkoyak, puntung rokok bergelimpangan dan sebagainya. Malah digelarnya kami seolah berperangai seperti rock star! Padahal semua dakwaan itu adalah palsu semata dan tidak berasas sama sekali. Tidak pula dikemukakan gambar-gambar sebagai bukti. Mereka meminta Jalak membayar sejumlah CHF1000 atas tujuan pembaikian kerosakan yang didakawa itu tadi. Menurutnya pihak polis pun sudah mengetahui akan perkara ini. Jika tidak, perkara ini akan diheret ke mahkamah! Jalaklah orang yang paling risau selepas membaca emel tersebut kerana hostel itu ditempah atas nama Jalak. Selepas berbincang, atas nasihat Zul yang agak arif dalam hal undang-undang, Jalak mengabaikan sahaja emel itu tanpa membalasnya walaupun sekali. Alhamdulillah, kini sudah lebih setahun kes ini berlalu. Tiada sebarang perkara buruk yang berlaku.

Begitulah serba sedikit pengalaman yang ingin Jalak kongsikan, melibatkan Zul dan Paan. Kalau diikutkan banyak lagi perkara yang berlaku melibatkan hal-hal yang terlalu peribadi namun Jalak bukanlah jenis orang yang suka mencampuri urusan peribadi orang lain, kecuali jika orang itu sendiri yang membuka mulut untuk mendapatkan pandangan serta respon daripada Jalak. Bagi Jalak, konsep friendship on the surface adalah lebih baik kerana, jika kita terlalu bercerita hal-hal peribadi kita kepada orang lain ataupun menyimpan terlalu banyak rahsia tentang orang lain, suatu hari nanti jika perkara yang tidak disangka-sangka berlaku, talian persahabatan itu akan menjadi goyah malah lebih teruk lagi, kepercayaan orang lain terhadap kita akan lenyap dengan sekelip mata!

Oleh kerana banyak aktiviti makan angin yang dilakukan bersama serta gambar-gambar yang menarik kebanyakannya datang daripada kamera Zul yang canggih itu, Jalak tidak keberatan untuk menghadiahkan photobook untuk Zul dan Paan sebagai bingkisan untuk dijadikan kenangan di hari tua. Cuma agak kesal sedikit, photobook untuk Zul sahaja yang sempat disiapkan dan sudah selamat diberikan kepadanya sebelum berangkat.
Photobucket
Sudah lama sebenarnya Jalak menyimpan hasrat untuk membukukan percutian Jalak semasa berada di sini. Dengan terhasilnya photobook yang pertama ini, dapatlah Jalak belajar serba banyak selok-belok serta prosedur untuk membuatnya. InsyaAllah andai ada kelapangan, harapnya dapatlah Jalak membuat photobook untuk diri sendiri pula sebelum berangkat pulang ke tanahair, buat tatapan orang-orang kampung terutamanya yang tiada akaun Facebook :P


Jalak:
Gusar menantikan hari ESOK!

2 comments:

  1. pahit manis kehidupan, susah senang bersama sahabat di perantauan...

    ReplyDelete
  2. tul tu Kak Azi, sahabat umpama keluarga di perantauan..

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin