Saturday, January 30, 2010

Semalam Yang Hangat

Mengikut rekod simpanan resit pembelian ubat di farmasi, kali terakhir Jalak demam panas adalah pada April 2009. Ya, Jalak akui agak susah untuk Jalak menghidap penyakit demam ini. Syukur Alhamdulillah. Namun, untuk orang-orang yang jarang sakit ini, bila sekali sudah sakit, macam-macam perkara yang boleh berlaku. Jalak masih ingat situasi paling teruk Jalak pernah hadapi ketika demam apabila tiba-tiba pitam di dalam tandas dan juga rebah sebelum sampai ke katil. Mujurlah kejadian itu berlaku di rumah mak dan abah.

Alkisahnya, selepas hampir setahun, virus demam kembali menyerang semalam. Kisahnya bermula dengan situasi terperangkap di dalam hujan salji yang lebat di Univerisiti ketika menunggu bas yang tak kunjung tiba pada hari Khamis yang lalu. Memandangkan hari sudah pun gelap, pilihan yang terbaik untuk dibuat adalah berjalan kaki ke rumah sambil meredah titisan-tisan salji yang acapkali menghentam kulit muka dan kadangkala bingkas masuk ke dalam mulut. Masin rasanya..betul! Disebabkan kasut kanvas yang dipakai pada hari itu, habis basah socks terutamanya di bahagian bawah.

Sampai saja di rumah, badan Jalak sudah berasa lain macam. Dengan tidur serta rehat yang cukup, Jalak berharap keesokan harinya keadaan menjadi seperti sediakala. Malangnya malam itu Jalak tidak boleh tidur dengan lena dek kerana kaki yang gatal-gatal kesan daripada memakai socks yang basah semasa pulang dari Uni.

Selepas sarapan pagi pada hari Jumaat, Jalak berkeras juga untuk ke Dusseldorf Airport untuk menghantar Oskar dan famili pulang ke tanahair. Lagipun Jalak sudah berjanji untuk memberi DVD yang berisi gambar-gambar serta video semasa sesi Viva tempoh hari. Sebelum bertolak, Jalak sempat telan 2 biji panadol yang dibeli dari Istanbul dan alhamdulillah rasa lega sikit. Semasa dalam perjalanan ke Dusselsdorf menaiki keretapi, Jalak dapati hanya kawasan Siegen sahaja yang diliputi salji sedangkan kawasan lain seperti Siegburg, Bonn dan Cologne, tanah pamah yang luas masih jelas kelihatan.

Sampai saja di airport, kelihatan ramai lagi rakan dari Aachen yang turut hadir untuk menghantar Oskar pulang. Memang meriah terutama dengan keletah kanak-kanak yang riang berlari-lari ke sana-sini. Sesudah sesi bergambar dan bye bye, semua yang hadir dijemput ke rumah Pak Rahim yang terletak tidak jauh dari airport. Jika diikutkan, awal-awal lagi Jalak sudah set untuk terus balik ke rumah selepas menghantar Oskar, tetapi undangan minum petang seperti ini susah pula untuk Jalak hampakan. Ketika itu kepala cuma pening-pening lalat sahaja. Kami tiba di rumah Pak Rahim sekitar jam 4.30 petang.

Di rumah Pak Rahim, kami semua dihidangkan mi rebus yang serius cakap, sangat sedap!! Walaupun kepala tengah pening, Jalak berjaya menghabiskan 2 pinggan! Terbukti memang sedap. Bila perut sudah kenyang, kepala menjadi semakin berat! Walaupun sedikit segan, Jalak terpaksa mengadu kepada Pak Rahim tentang situasi Jalak ketika itu. Pak Rahim lantas memberi Jalak sejenis pil, alhamdulillah selepas memakannya bersama cekodok pisang, pening kepala kembali reda. Usai berborak-borak di ruang tamu selepas makan, kami semua beransur pulang pada jam 10.00 malam. Orang-orang Aachen ada mengundang Jalak untuk lepak-lepak dan bermalam di Aacehn tapi sayang keadaan semasa Jalak tidak mengizinkan.

Tidak lama selepas menaiki keretapi dari Cologne ke Siegen, pening kepala serta demam datang menyerang secara tiba-tiba! Sarung tangan, jaket tetap dipakai namun badan Jalak terus menggigil kesejukan. Apa jua posisi duduk semuanya tidak kena. Mahu baring, keadaan kerusi pula tidak mengizinkan. Jalak hanya mampu bersabar sambil terus cuba mencari posisi terbaik untuk merehatkan badan. Terasa perjalanan 1 jam setengah bagaikan terlalu lama. Jalak terus menghitung stesen demi stesen untuk sampai ke Siegen. Sambil itu, Jalak terus menggoyangkan kedua-dua kaki untuk melawan kesejukan. Kelihatan salji masih turun di luar sana. Situasi sebegitu benar-benar menakutkan!

Akhirnya pada jam 1.00 PAGI, tiba juga di Siegen. Jalak sudah tak sanggup untuk menaiki kenderaan awam yang lain kecuali teksi sahaja untuk terus menghantar Jalak ke pintu rumah. Merasalah bayar 11 Euro. Namun dalam fikiran Jalak ketika itu hanyalah untuk sampai ke rumah secepat yang mungkin. Tiba sahaja di rumah, heater terus dipasangkan lalu dipindahkan kedudukannya hampir sedikit dengan katil. Sebelum tidur, Matnur mengetuk pintu dan mengajak Jalak ke Frankfurt pada keesokan harinya. Tanpa berfikir panjang, Jalak terus menggelengkan kepala. Uhh..tak mungkin! Selepas menelan 2 biji panadol dan melumur minyak cap kapak di kepala, Jalak terus masuk tidur. Jalak tetap menyarungkan stocking di kaki, memakai long john serta kain pelikat dan juga sweater bertutupkan kepala. Kemudian diikuti dengan selimut serta comforter yang melitupi keseluruhan badan from head to toe, bak kata orang putih.

Nafas berhaba yang terhembus dari hidung sedikit sebanyak memanaskan permukaan muka Jalak. Namun, susah juga sebenarnya untuk melelapkan mata memandangkan kepala dan badan berasa serba tidak kena. Selepas cuba beberapa kali mengubah-ubah posisi tidur, akhirnya mata berjaya juga dilelapkan. Cuma ada satu ketika selepas itu Jalak terjaga kerana seluruh badan terasa terlebih panas! Jalak terus menanggalkan stoking serta long john dan alhamdulillah, boleh sambung tidur. Selepas mendapat tidur yang cukup, kepala masih terasa berat. Namun Jalak tetap gagahkan diri untuk bangun kerana tidur yang terlalu lama pun tidak bagus untuk kesihatan. Selepas bersarapankan nasi bersama sambal tumis udang, Jalak telan lagi panadol. Habis sudah bekalan panadol. Selepas ini terpaksalah bergantung kepada pil buatan Jerman pula.

Sekarang, ketika entri ini ditulis, Jalak sedang beransur sihat namun masih belum pulih sepenuhnya lagi. Dengan keadaan cuaca di luar, sukar untuk ke klinik. Lagipun hari ini hari Sabtu, klinik-klinik di Jerman ini lain macam sedikit. Cukuplah bergantung kepada pil-pil yang ada. Sebentar lagi Jalak bercadang untuk memasak sup ayam halia khas untuk orang demam. Harap selepas itu Jalak kembali pulih seperti biasa. Banyak lagi agenda yang perlu dilakukan.

PS: Maaf tiada gambar, kepala pening tiada mood untuk mengeluarkan kamera dan menangkap gambar..

Jalak: Lately ini asyik hantar orang balik Malaysia je, turn sendiri bila lagi?

7 comments:

  1. panadol german pun murah..10 bijik singgit je =)

    ReplyDelete
  2. ade ke Panadol jerman?? ibuprofen axcount kot name dia..

    ReplyDelete
  3. org ckp, bisanye klu org jrg skit ni bile kena sakit mmg sangat sakiit lah... huhu..

    alhamdulillah.. da beransur sihat...
    syafakallah.. ;)

    p.s snow tu masin eh.. ?aritu pernah gk masuk snow lam mulut ms main slide.. x rase aper pun.. rase cam ais dlm peti ais tu.. ke bda len yg masinnn niii... ekekekeke..;p

    ReplyDelete
  4. ehehh..jap2. snow yg masuk mulut tu jatuh dari langit or terpercik masa main slide?? yg dari langit tu masin kot..kat siegen la hehehe

    ReplyDelete
  5. alahai, cik jalak demam ke? Ingat smlm cik jalak nak dtg frankfurt ngan matnur & dila, sekali semua pon x sampai!

    Kesian cik jalak nak kena masak sendiri sup org demam...cari mem cepat cik jalak oi...senang demam2 ada org jaga ;)

    ReplyDelete
  6. tu la pasal..time2 sakit ni kalo ade org picit2 kepale mesti best!
    kalo x ke dusseldorf, nak je ke franfurt jumaat tu sebab weekend ni mmg free.yg hari sabtu tu, not even in my plan pon.

    ReplyDelete
  7. ciannyer.... sakit sorang2 bahaya kan... ni kena cepat2 cr pasangan tolong jaga kan.. :)

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin