Saturday, January 30, 2010

Semalam Yang Hangat

Mengikut rekod simpanan resit pembelian ubat di farmasi, kali terakhir Jalak demam panas adalah pada April 2009. Ya, Jalak akui agak susah untuk Jalak menghidap penyakit demam ini. Syukur Alhamdulillah. Namun, untuk orang-orang yang jarang sakit ini, bila sekali sudah sakit, macam-macam perkara yang boleh berlaku. Jalak masih ingat situasi paling teruk Jalak pernah hadapi ketika demam apabila tiba-tiba pitam di dalam tandas dan juga rebah sebelum sampai ke katil. Mujurlah kejadian itu berlaku di rumah mak dan abah.

Alkisahnya, selepas hampir setahun, virus demam kembali menyerang semalam. Kisahnya bermula dengan situasi terperangkap di dalam hujan salji yang lebat di Univerisiti ketika menunggu bas yang tak kunjung tiba pada hari Khamis yang lalu. Memandangkan hari sudah pun gelap, pilihan yang terbaik untuk dibuat adalah berjalan kaki ke rumah sambil meredah titisan-tisan salji yang acapkali menghentam kulit muka dan kadangkala bingkas masuk ke dalam mulut. Masin rasanya..betul! Disebabkan kasut kanvas yang dipakai pada hari itu, habis basah socks terutamanya di bahagian bawah.

Sampai saja di rumah, badan Jalak sudah berasa lain macam. Dengan tidur serta rehat yang cukup, Jalak berharap keesokan harinya keadaan menjadi seperti sediakala. Malangnya malam itu Jalak tidak boleh tidur dengan lena dek kerana kaki yang gatal-gatal kesan daripada memakai socks yang basah semasa pulang dari Uni.

Selepas sarapan pagi pada hari Jumaat, Jalak berkeras juga untuk ke Dusseldorf Airport untuk menghantar Oskar dan famili pulang ke tanahair. Lagipun Jalak sudah berjanji untuk memberi DVD yang berisi gambar-gambar serta video semasa sesi Viva tempoh hari. Sebelum bertolak, Jalak sempat telan 2 biji panadol yang dibeli dari Istanbul dan alhamdulillah rasa lega sikit. Semasa dalam perjalanan ke Dusselsdorf menaiki keretapi, Jalak dapati hanya kawasan Siegen sahaja yang diliputi salji sedangkan kawasan lain seperti Siegburg, Bonn dan Cologne, tanah pamah yang luas masih jelas kelihatan.

Sampai saja di airport, kelihatan ramai lagi rakan dari Aachen yang turut hadir untuk menghantar Oskar pulang. Memang meriah terutama dengan keletah kanak-kanak yang riang berlari-lari ke sana-sini. Sesudah sesi bergambar dan bye bye, semua yang hadir dijemput ke rumah Pak Rahim yang terletak tidak jauh dari airport. Jika diikutkan, awal-awal lagi Jalak sudah set untuk terus balik ke rumah selepas menghantar Oskar, tetapi undangan minum petang seperti ini susah pula untuk Jalak hampakan. Ketika itu kepala cuma pening-pening lalat sahaja. Kami tiba di rumah Pak Rahim sekitar jam 4.30 petang.

Di rumah Pak Rahim, kami semua dihidangkan mi rebus yang serius cakap, sangat sedap!! Walaupun kepala tengah pening, Jalak berjaya menghabiskan 2 pinggan! Terbukti memang sedap. Bila perut sudah kenyang, kepala menjadi semakin berat! Walaupun sedikit segan, Jalak terpaksa mengadu kepada Pak Rahim tentang situasi Jalak ketika itu. Pak Rahim lantas memberi Jalak sejenis pil, alhamdulillah selepas memakannya bersama cekodok pisang, pening kepala kembali reda. Usai berborak-borak di ruang tamu selepas makan, kami semua beransur pulang pada jam 10.00 malam. Orang-orang Aachen ada mengundang Jalak untuk lepak-lepak dan bermalam di Aacehn tapi sayang keadaan semasa Jalak tidak mengizinkan.

Tidak lama selepas menaiki keretapi dari Cologne ke Siegen, pening kepala serta demam datang menyerang secara tiba-tiba! Sarung tangan, jaket tetap dipakai namun badan Jalak terus menggigil kesejukan. Apa jua posisi duduk semuanya tidak kena. Mahu baring, keadaan kerusi pula tidak mengizinkan. Jalak hanya mampu bersabar sambil terus cuba mencari posisi terbaik untuk merehatkan badan. Terasa perjalanan 1 jam setengah bagaikan terlalu lama. Jalak terus menghitung stesen demi stesen untuk sampai ke Siegen. Sambil itu, Jalak terus menggoyangkan kedua-dua kaki untuk melawan kesejukan. Kelihatan salji masih turun di luar sana. Situasi sebegitu benar-benar menakutkan!

Akhirnya pada jam 1.00 PAGI, tiba juga di Siegen. Jalak sudah tak sanggup untuk menaiki kenderaan awam yang lain kecuali teksi sahaja untuk terus menghantar Jalak ke pintu rumah. Merasalah bayar 11 Euro. Namun dalam fikiran Jalak ketika itu hanyalah untuk sampai ke rumah secepat yang mungkin. Tiba sahaja di rumah, heater terus dipasangkan lalu dipindahkan kedudukannya hampir sedikit dengan katil. Sebelum tidur, Matnur mengetuk pintu dan mengajak Jalak ke Frankfurt pada keesokan harinya. Tanpa berfikir panjang, Jalak terus menggelengkan kepala. Uhh..tak mungkin! Selepas menelan 2 biji panadol dan melumur minyak cap kapak di kepala, Jalak terus masuk tidur. Jalak tetap menyarungkan stocking di kaki, memakai long john serta kain pelikat dan juga sweater bertutupkan kepala. Kemudian diikuti dengan selimut serta comforter yang melitupi keseluruhan badan from head to toe, bak kata orang putih.

Nafas berhaba yang terhembus dari hidung sedikit sebanyak memanaskan permukaan muka Jalak. Namun, susah juga sebenarnya untuk melelapkan mata memandangkan kepala dan badan berasa serba tidak kena. Selepas cuba beberapa kali mengubah-ubah posisi tidur, akhirnya mata berjaya juga dilelapkan. Cuma ada satu ketika selepas itu Jalak terjaga kerana seluruh badan terasa terlebih panas! Jalak terus menanggalkan stoking serta long john dan alhamdulillah, boleh sambung tidur. Selepas mendapat tidur yang cukup, kepala masih terasa berat. Namun Jalak tetap gagahkan diri untuk bangun kerana tidur yang terlalu lama pun tidak bagus untuk kesihatan. Selepas bersarapankan nasi bersama sambal tumis udang, Jalak telan lagi panadol. Habis sudah bekalan panadol. Selepas ini terpaksalah bergantung kepada pil buatan Jerman pula.

Sekarang, ketika entri ini ditulis, Jalak sedang beransur sihat namun masih belum pulih sepenuhnya lagi. Dengan keadaan cuaca di luar, sukar untuk ke klinik. Lagipun hari ini hari Sabtu, klinik-klinik di Jerman ini lain macam sedikit. Cukuplah bergantung kepada pil-pil yang ada. Sebentar lagi Jalak bercadang untuk memasak sup ayam halia khas untuk orang demam. Harap selepas itu Jalak kembali pulih seperti biasa. Banyak lagi agenda yang perlu dilakukan.

PS: Maaf tiada gambar, kepala pening tiada mood untuk mengeluarkan kamera dan menangkap gambar..

Jalak: Lately ini asyik hantar orang balik Malaysia je, turn sendiri bila lagi?

Wednesday, January 20, 2010

Oh, Tuan Rumah!

Hmmm..sudah hampir 20 hari kita melangkah ke tahun 2010. Satu fakta yang Jalak baru perasan, dalam tempoh tersebut belum pernah lagi Jalak mendapat peluang untuk berjumpa mahupun TERSEREMPAK dengan tuan empunya rumah yang sedang Jalak sewa sekarang ini walaupun rumahnya hanya di ground floor sahaja. Malah rumah kami berkongsi pintu yang sama!

Kelmarin Jalak dikhabarkan oleh teman-teman serumah yang lain tentang kedatangan 3 atau 4 orang bakal penyewa yang berhajat untuk melihat-lihat rumah kami pada keesokan harinya (semalam). Berita itu disampaikan sendiri oleh tuan rumah kepada teman-teman Jalak, tidak pula kepada Jalak. Yelah,kan Jalak dah kata sejak masuk tahun baru tempoh hari, kami belum pernah berjumpa. Semasa kedatangan bakal-bakal penyewa baru itu pun, kelibat tuan rumah tidak kelihatan. Hanya isteri dan anaknya sahaja yang ada.

Jalak dapat tahu kereta tuan rumah telah terlibat dengan kemalangan. Tapi bukan dia yang memandu tetapi anak lelakinya itu. Bagaimana keadaan anaknya tidak pula Jalak ketahui. Cuma yang Jalak diberitahu, keretanya sedang tersadai di bengkel atas kerosakan yang agak teruk. Patutlah sudah lama tidak nampak kereta itu di halaman rumah. Jujurnya Jalak bersimpati dengan nasib yang menimpa tuan rumah. Semenjak berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun lepas, Jalak dapat merasakan sedikit perubahan. Salah satu contoh yang mudah; dahulunya setiap hujung bulan saja, isteri tuan rumah akan menghantar pizza untuk santapan kami semua. Selepas itu, tidak lagi sampai sekarang.

OK! Masa untuk memikirkan hal orang lain sudah habis. Tragedi yang menimpa tuan rumah yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu, sedikit sebanyak merisaukan Jalak. Pendek kata, situasi ekonomi yang sedang melanda dirinya. Pertama, insyaAllah bulan Mac nanti Jalak dan teman-teman serumah yang lain akan berambus dari sini. Mengikut polisi di sini, pemulangan semula deposit sewa rumah bergantung kepada budi bicara tuan rumah. Deposit yang bersamaan dengan 2 BULAN sewa masih berada di tangannya. Sebab kedua, lebih kepada hal peribadi. Tuan rumah masih berhutang 150 Euro dengan Jalak. Asal dipinjamnya 300 Euro tapi alhamdulillah separuh daripadanya sudah dibayar beberapa bulan lepas. Jadi faham-fahamlah ya kenapa Jalak harus TIDAK berasa risau?? Kalau boleh biarlah semuanya diselesaikan di sini. Senang cerita!

Photobucket
Kenangan bersama keluarga tuan rumah pada malam Tahun Baru 2008!

Apa-apapun Jalak tetap bersyukur kerana mempunyai tuan rumah yang baik hati sepertinya. Jika diikutkan, banyak juga jasanya kepada kami di sini. Namun biasalah, mana ada manusia yang sempurna di muka bumi ini..

Jalak:
Bukannya mengungkit tapi sekadar membangkit..

Saturday, January 16, 2010

Inspirasi

Semalam merupakan hari yang paling bersejarah buat sahabat Jalak yang bernama Oskar apabila beliau telah dinobatkan dengan gelaran Dr. Ing. selepas 4 tahun berjuang mengharungi liku-liku hidup sebagai pelajar PhD di bumi Jerman ini. Satu sesi VIVA telah berlangsung dengan jayanya semalam di Ruhr Universitat Bochum dan Jalak turut mengambil kesempatan untuk meraikan kejayaan Oskar bersama-sama rakan-rakan yang lain. Sayang sekali Jalak tidak berkesempatan untuk menyertai sesi presentation atas kelewatan yang tidak dapat dielakkan :(

Sebenarnya Jalak berasa amat teruja untuk menghadiri majlis sebegini kerana seumur hidup Jalak, belum pernah lagi menghadiri sesi VIVA, bukan sahaja di Jerman, malah di Malaysia sekalipun. Memikirkan bahawa mungkin suatu hari nanti Jalak akan berada juga di tempat Oskar (InsyaAllah..doa-doakan!), bagus juga jika Jalak dapat menimba serba sedikit pengalaman. Namun, bukan rezeki Jalak nampaknya kali ini. Setiba sahaja Jalak di bilik seminar yang telah ditetapkan, sesi presentation baru sahaja habis lalu disambung pula dengan sesi private antara Oskar dan external examiners yang hadir. Jalak serta yang lain-lain cuma tunggu di luar sahaja.
Photobucket
Bermain di ruang rehat tingkat bawah untuk mengelakkan kebisingan yang bisa mengganggu sesi penilaian yang sedang dilakukan.

Photobucket
Menu untuk para tetamu yang hadir.

Tidak lama selepas itu, kelibat Oskar pun kelihatan di luar bilik seminar. Sesi beliau bersama external examiners baru saja tamat. Oskar kelihatan berdebar-debar ketika menanti keputusan yang akan diumumkan tidak lama selepas itu. Huhh...kalau Jalak pun cuak dowh!!
Photobucket
Penilaian oleh external examiners sedang berlangsung di dalam. Anak-anak dah tak sabar bagi bunga ;)

Akhirnya masa yang dinanti-nantikan telah pun tiba. External examiners yang terlibat sudah habis membuat penilaian dan dengan senang hatinya mengumumkan gelaran Dr. Ing. kepada Oskar! TAHNIAH!!
Photobucket
Simple sangat pengumumannya. Tak sempat nak rakam huh~

Sesuatu yang menarik untuk dikongsi tentang upacara graduation pelajar-pelajar PhD di Jerman secara amnya, mereka akan dipakaikan Doktorhut yang dibuat khas oleh rakan-rakan seperjuangan yang lain, atas inisiatif mereka sendiri. Doktorhut tersebut direka mengikut personaliti dan latar belakang si empunya badan. Terdapat juga simbolik di sebalik design yang dibuat. Bagi Jalak ini merupakan sesuatu yang begitu unik dan tidak boleh didapati di negara lain. Kalau nak merasa pakai topi ini, mari ramai-ramai kita buat PhD di Jerman. Ayuh!
Photobucket
Saat yang ditunggu-tunggu! Terpancar cahaya kegembiraan bercampur terharu pada wajah Oskar ketika ini :D

Di sini Jalak sempat juga merakan video semasa sesi penyarungan doktorhut. Pemotongan 'rambut'itu sebenarnya simbolik kepada pengisytiharan seorang Jedi yang baru..Huhu macam-macam! Hanya Oskar dan reserach groupnya saja yang tahu..


Photobucket
"Behind a successful man there is a woman"

Photobucket
Tak lupa..ambil berkat! :)

Terima kasih kepada Oskar dan Kak Mazyan kerana sudi menjemput Jalak ke majlis bersejarah ini. Juga sekalung TAHNIAH diucapkan kepada Dr. Ing. Oskar Hasdinor Hassan atas penganugerahan serta 'mandat' yang diberikan! Selamat berangkat ke tanahair untuk menabur jasa dan bakti kepada AGAMA, BANGSA dan NEGARA!

Jalak: Peroleh semangat yang baru..

Tuesday, January 12, 2010

Berangan

Jalak tumpang gembira selepas mendapat tahu abang Jalak yang sulong (Abang Sandy) berjaya ditukarkan ke SK Seri Hartamas, Kuala Lumpur. Selama ini Abang Sandy mengajar di Gemas, Negeri Sembilan, jadi terpaksalah tinggal berasingan dengan isterinya, Kak Watie yang bekerja di Kuala Lumpur. Alhamdulillah sekarang mereka berdua bekerja di Kuala Lumpur, jadi bolehlah menjalani kehidupan normal sebagai suami isteri. Bila dah jadi macam ini, rasanya bukan mak dan abah sahaja, malah Jalak sendiri pun berangan untuk mendapat anak saudara sulong dalam keluarga kami..HeHeHe!

Semasa berborak-borak dengan Abang Sandy, rupa-rupanya dia bercadang untuk berpindah ke sebuah sekolah di Nilai pula selepas cukup setahun di sana. Sudah ada partner 'suka sama suka' untuk tujuan pertukaran itu katanya. Jalak menyambut baik cadangannya itu kerana mak abah tinggal di Nilai. Semakin hari semakin lanjut usia mereka. Berada berdekatan dengan anak-anak sudah pasti membuatkan hati mereka senang. Selain itu ada pula kolam ikan, kebun, dusun durian serta kaum kerabat yang turut tinggal di sekitar kawasan Nilai. Bila dah jadi macam ini, Jalak berangan juga untuk berpindah ke Nilai suatu hari nanti...Opss!!
Photobucket
photo credit: CT Zulaikha

Jalak sekadar berangan. Jangan ambil serius ya! Ke mana arah 'hala tuju' selepas ini pun masih samar-samar lagi sebenarnya. Ehem Ehem!!


Jalak: Beli rumah atau sewa rumah di Melaka nanti?

Wednesday, January 6, 2010

Cuai!

"Alamak, paspot aku!!" Begitulah bunyinya jeritan dari dalam hati usai menyedari bahawa paspot Jalak berada dalam 'keadaan bahaya'. Pagi itu, Jalak dalam keadaan tergesa-gesa bersiap untuk ke Frankfurt, menghantar Paan ke airport pada 31 Disember 2009. Jika dihitung rupa-rupanya sudah hampir seminggu paspot itu sudah tiada di sisi Jalak. Sungguh memalukan! Jalak sepatutnya mengambil berat tentang dokumen yang paling penting bagi seseorang yang bergelar perantau di tempat orang.

Namun apa yang lebih memalukan sebenarnya, Jalak begitu cuai hingga terlupa untuk mengeluarkan paspot dari dalam BEG YANG AKAN SHIPPED ke Malaysia, yang memakan masa 6 hingga 8 minggu untuk sampai ke tanahair. Kisahnya paspot itu sentiasa tersimpan rapi di dalam ruang poket beg yang agak tersembunyi dan tidak pernah dikeluarkan/digunakan sepanjang Xmas Trip yang lalu. Mungkin itulah sebabnya Jalak terus terlupa tentang kewujudan paspot itu di situ. Hmm, apa jua sebabnya, Jalaklah yang cuai sebenarnya!
Photobucket
Barang-barang Jalak yang dikirimkan untuk dihantar ke Malaysia. Kurang lebih 0.85 meter cubic sahaja, termasuk PASPOT huh!

Memandangkan barang-barang yang dilonggokkan di rumah Paan, diambil oleh shipping agency pada 30 Disember 2009 (Rabu), Jalak segera menelefon Paan pada pagi Khamis yang lalu, mohon agar dia menelefon pejabat agensi tersebut untuk memaklumkan tentang masalah yang berkaitan dengan paspot Jalak. Malangnya, panggilan ke pejabat tidak berjawab. Kebetulan hari itu merupakan Hari Silvester, berkemungkinan besar pekerja di agensi itu sedang bercuti. Hati Jalak sememangnya tidak tenteram pada hari itu. Namun Jalak tidak sampai hati untuk all out dalam menyelesaikan masalah yang sedang berlaku kerana tidak mahu merumitkan lagi keadaan pada hari itu, dengan kekalutan memunggah dan mengemas bagasi Paan seperti yang diceritakan pada entri lepas.

Hari Jumaat pula cuti tahun baru. Cuma pada hari Sabtu Jalak cuba beberapa kali menelefon ke nombor handphone pegawai yang berkenaan, namun sekali pun tidak dijawabnya. Yelah kan, hari Sabtu juga merupakan hari cuti. Jalak terpaksa akur sahaja dan menunggu dengan penuh gundah gulana sebelum tibanya hari Isnin. Pelik tapi benar, Jalak merasakan weekends begitu panjang, manakala tidak sabar pula menunggu hari Isnin untuk tiba. Sejujurnya Jalak sudah bersedia dengan takdir yang mungkin tertulis untuk Jalak membuat permohonan paspot baru, tanpa mengira apa jua caj mahupun penalti yang bakal dikenakan. Namun selepas Zul memaklumkan bahawa barang-barang mereka (Zul dan Paan) akan mula dihantar ke Malaysia pada 4 Januari 2010 (Isnin), Jalak cuba menaruh secebis harapan agar paspot itu dikembalikan.

Pada pagi Isnin, Jalak terus menelefon pegawai yang terlibat lalu menceritakan masalah yang Jalak hadapi. Pegawai wanita itu kedengarannya begitu peramah dan mesra! Jalak menghela nafas panjang selepas mengetahui bahawa barang-barang termasuk beg itu masih berada dalam warehouse mereka di Hattersheim (Frankfurt), dek kerana cuti tahun baru yang panjang! :D Tanpa perlu persetujuan daripada Paan sebagai penama kepada barang-barang tersebut (Jalak hanya menumpang), pegawai itu bersetuju untuk menghubungi warehouse manager dalam usaha mendapatkan semula paspot Jalak. Mereka hanya memerlukan butir-butir luaran tentang beg yang berisikan paspot serta warna paspot itu sendiri. Tidak berapa lama kemudian, pegawai itu menelefon Jalak sambil mengatakan bahawa paspot Jalak sudah berada di tangannya!! Wow, semudah itu! FYI, barang-barang yang dihantar Paan untuk shipping ada 36 kotak kesemuanya, termasuk barang-barang Jalak. Mungkin juga sistem pengkatalogan yang teratur telah memudahkan mereka mencari paspot Jalak.

Jalak terus bersiap ke Frankfurt untuk mendapatkan sendiri paspot dari tangan pegawai itu sejurus selepas menerima perkhabaran baik daripadanya. Dia sendiri mencadangkan agar lebih afdhal untuk Jalak mengambilnya sendiri, daripada dia mengirimkannya melalui pos kerana terlalu risky dan bahaya. Jalak 110% bersetuju dengan saranannya itu kerana tidak mahu menganggung sebarang risiko kehilangan dan yang sewaktu dengannya.

Setibanya di Hattersheim, Jalak perlu berjalan kaki sejauh 1.2KM ke pejabat Interdean AG. Sudahlah cuaca sejuk, Jalak tidak sempat mencapai hand gloves sewaktu tergesa-gesa meninggalkan rumah kerena mengejar train. GPS pula tidak berfungsi! Mujurlah Jalak sempat bertanya kepada orang tempatan dan akhirnya nampak juga kelibat kontena yang tertulis INTERDEAN. Fuhh, lega kerana waktu pejabat hampir tamat. Selepas melepasi pintu utama ruang pejabat, cik Sylvia yang melihat Jalak dari jauh terus datang menerpa ke arah Jalak. Semestinya dia mengecam wajah Jalak kerana paspot Jalak berada di tangannya. Hmm, cantik dan lemah lembut orangnya, tinggi persis Nasha Aziz! Jalak bertanya sekiranya ada sebarang caj dikenakan ke atas Jalak, namun cik Sylvia menyatakan itu hanyalah pertolongan berbentuk peribadi daripadanya. Mungkin dia faham akan kepentingan paspot ke atas foreigner seperti Jalak ini. Sebab lain, mungkin juga dia dapat merasakan kebimbangan di sebalik suara Jalak yang didengarinya di telefon (",)
Photobucket

Ketika paspot itu kembali berada di tangan, Jalak berasa begitu lega sekali. Terkial-kial juga untuk menyimpan paspot itu ke dalam beg yang Jalak bawa. Maklumlah masih lagi fobia dengan apa yang berlaku. Cuma kurang daripada 3 bulan sahaja lagi sebelum pulang ke tanahair buat selamanya. Jalak tidak boleh tolerate dengan kecuaian seperti ini lagi dalam masa yang terdekat kerana perkara sebegini sedikit sebanyak bisa mengganggu kosentrasi Jalak dari segi esosi, dalam menyiapkan Tesis Sarjana. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar selepas ini. :)

Jalak: Teringat waktu ketika kehilangan I/C beberapa hari sebelum ke Sabah. Mujurlah dapat 'permit khas' oleh Jabatan Imigresen Sabah atas dasar rombongan sekolah!

Monday, January 4, 2010

Sehati Beronggeng

Masa berlalu begitu pantas. Pejam celik pejam celik rupanya sudah sampai masa dan waktunya untuk dua orang teman Jalak ketika beronggeng, pulang ke tanahair. Alhamdulillah, mereka sudah pun selamat tiba di kampung halaman masing-masing. Jalak pertama kali terserempak dengan Zul dan Paan secara tidak sengaja di Triberg, sebuah perkampungan kecil yang menempatkan air terjun tertinggi di Jerman dan juga merupakan pusat pembuatan Kuckoo Clock yang terkenal. Ketika itu Jalak berada di dalam rombongan yang lain bersama-sama Yus dan Rahimah serta geng-geng UTeM dari Saarbrucken. Sudah menjadi adat di sini untuk berasa sedikit teruja apabila terjumpa dengan orang-orang Malaysia di tempat-tempat yang tak disangka. Kebetulan pula, Zul selaku bekas graduan UTeM sudah lama mengenali Kak Dora, Kak Yam serta Rafis sejak di bangku universiti lagi, di bawah fakulti yang sama. Kiranya seperti bekas anak murid bertemu cikgu-cikgunya ;-)
Photobucket
Meskipun terserempak secara tak sengaja, Zul tetap sudi offer diri untuk snap gambar ini dengan kameranya yang canggih itu..

Selang beberapa minggu kemudiannya, Jalak terserempak sekali lagi dengan Zul dan Paan di sebuah majlis sempena sambutan hari lahir Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung yang berlangsung di kediaman Konsulat General Frankfurt.
Photobucket

Seminggu selepas itu, kami sama-sama dijemput oleh warga Saarbrucken untuk menghadiri majlis barbeku di sana serta membuat rombongan beramai-ramai ke Trier, bandar tertua di Jerman. Pada malamnya pula kami sempat melepak sambil makan malam di rumah Kak Dora.
Photobucket
Photobucket
Photobucket

Bermula dari situlah Jalak menjadi kamceng dengan mereka dan sering berkunjung ke kediaman mereka persis Penthouse di Schwalbach. Jakun jugalah ketika pertama kali menjejakkan kaki ke rumah mereka. Rumah tajaan company, mestilah 1st class!
Photobucket
Acapkali juga aktiviti masak-masak dan makan-makan dilakukan di Penthouse ini..

Zul dan Paan merupakan rakan tidak rasmi Jalak semasa pergi makan angin ke luar negara, antaranya seperti Swiss, Sweden, Spain, Holland dan France. Itu belum lagi termasuk beberapa events berskala kecil di dalam negeri. Jalak berasa senang untuk melancong dengan mereka kerana masing-masing bersikap fleksibel dan easy-going. Tambahan pula ketika itu, Jalak memang sentiasa di dalam vacation mood. Ada saja proposal yang dibuat untuk ke sana dan ke sini.

Selain itu, mereka juga mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing yang berkaitan dengan aktiviti makan angin. Rasanya seantero Jerman cukup mengenali Zul sebagai seorang jurugambar yang tegar. Kebanyakan gambar-gambar menarik dalam simpanan Jalak sehingga sekarang adalah daripada DSLR Zul. Paan pula Jalak kenal sebagai seorang yang cukup teliti lagi arif dalam selok-belok membaca peta serta berpengetahuan luas tentang tempat-tempat yang kami ingin lawati. Sememangnya dua elemen ini sudah cukup untuk melengkapi keperluan dalam sesebuah percutian ;D

Justeru kenangan berjalan-jalan dengan mereka bukannya sedikit. Bermacam-macam peristiwa menarik dan juga mengerikan pernah berlaku. Yang menarik tak perlulah diceritakan kerana semua tempat yang kami pergi boleh dikategorikan sebagai menarik! Banyak yang menarik sebenarnya. Dalam banyak-banyak percutian, Swiss merupakan tempat yang meninggalkan peristiwa hitam lagi mencemaskan. Di Geneva misalnya, dompet Paan telah dicopek oleh dua EKOR mamat berkulit hitam. Kami sama-sama mengejar pencuri itu namun apakan daya, larian kami tidak sepantas mereka lalu tidak mampu untuk kami mendapatkan kembali dompet Paan yang telah dicuri itu tadi. Ketika itu perasaan terkejut, marah bercampur geram bagai membuak-buak di dalam dada. Lebih-lebih lagi Paan, yang menjadi mangsa. Malam itu juga kami membatalkan saja niat untuk meneruskan perjalanan mengelilingi bandar Geneva, lalu segera ke balai polis terdekat untuk membuat laporan serta menelefon call centre kad kredit di Malaysia supaya dibekukan segala transaksi. Raut muka Paan kelihatan begitu sugul sepanjang malam itu.
Photobucket
Hampir 5 minit sebelum tragedi rompakan berlaku. Perompak itu bertanya "What time is it?", ketika itu jam menunjukkan tepat pukul 6.00PM!

Photobucket
Gambar terakhir diambil sebelum tragedi itu berlaku. Kami dalam perjalanan menuju ke Water Jet untuk mendapatkan angle gambar yang lebih dekat dan jelas. Malangnya, malang tidak berbau..

Masih lagi di Swiss iaitu di sekitar Interlaken, juga berlaku pada malam yang sama. Zul secara tidak sengaja telah tertinggal beg galasnya di dalam train. Ketika itu, train sudah pun berlalu pergi. Tanpa berfikir panjang, Jalak segera mendapatkan teksi yang kebetulan sedang standby di luar stesen untuk mengejar train yang kami naiki itu tadi ke stesen yang berikutnya. Kebetulan stesen yang berikutnya itu merupakan stesen perhentian terakhir untuk train tersebut. Namun kami masih perlu berkejar pantas ke sana kerana bimbang jika train tersebut memulakan route yang lain pula. Jalak masih dapat membayangkan betapa cemasnya muka Zul ketika itu. Mujurlah beg yang ditinggalkannya itu berjaya dijumpai semula di dalam train yang sama di stesen terakhir itu. Selepas itu, kami tidak putus saling mengingati antara satu sama lain tentang bilangan beg yang dibawa masing-masing ketika berada di dalam train. Masing-masing seakan fobia untuk meletakkan beg di atas para yang disediakan kerana takut ´terlepas dari pandangan’. Jika dikenang kembali, rasa kelakar pun ada!
Photobucket
Wajah sugul Paan selepas kejadian ragut, menenangkan fikiran sambil bermain PSP yang dipinjamkan Zul. Turut kelihatan beg galas Zul yang tertinggal namun berjaya dijumpai semula.

Akhir sekali, selepas beberapa hari pulang dari Swiss, Jalak dikejutkan dengan sebuah emel berbaur ugutan yang dihantar oleh hostel tempat kami bermalam semasa di Zurich. Menurut emel berkenaan, pihak hostel mendakwa bahawa bilik yang kami bertiga diami telah ditinggalkan dalam keadaan yang begitu dasyat! Kipas siling pecah, langsir terkoyak, puntung rokok bergelimpangan dan sebagainya. Malah digelarnya kami seolah berperangai seperti rock star! Padahal semua dakwaan itu adalah palsu semata dan tidak berasas sama sekali. Tidak pula dikemukakan gambar-gambar sebagai bukti. Mereka meminta Jalak membayar sejumlah CHF1000 atas tujuan pembaikian kerosakan yang didakawa itu tadi. Menurutnya pihak polis pun sudah mengetahui akan perkara ini. Jika tidak, perkara ini akan diheret ke mahkamah! Jalaklah orang yang paling risau selepas membaca emel tersebut kerana hostel itu ditempah atas nama Jalak. Selepas berbincang, atas nasihat Zul yang agak arif dalam hal undang-undang, Jalak mengabaikan sahaja emel itu tanpa membalasnya walaupun sekali. Alhamdulillah, kini sudah lebih setahun kes ini berlalu. Tiada sebarang perkara buruk yang berlaku.

Begitulah serba sedikit pengalaman yang ingin Jalak kongsikan, melibatkan Zul dan Paan. Kalau diikutkan banyak lagi perkara yang berlaku melibatkan hal-hal yang terlalu peribadi namun Jalak bukanlah jenis orang yang suka mencampuri urusan peribadi orang lain, kecuali jika orang itu sendiri yang membuka mulut untuk mendapatkan pandangan serta respon daripada Jalak. Bagi Jalak, konsep friendship on the surface adalah lebih baik kerana, jika kita terlalu bercerita hal-hal peribadi kita kepada orang lain ataupun menyimpan terlalu banyak rahsia tentang orang lain, suatu hari nanti jika perkara yang tidak disangka-sangka berlaku, talian persahabatan itu akan menjadi goyah malah lebih teruk lagi, kepercayaan orang lain terhadap kita akan lenyap dengan sekelip mata!

Oleh kerana banyak aktiviti makan angin yang dilakukan bersama serta gambar-gambar yang menarik kebanyakannya datang daripada kamera Zul yang canggih itu, Jalak tidak keberatan untuk menghadiahkan photobook untuk Zul dan Paan sebagai bingkisan untuk dijadikan kenangan di hari tua. Cuma agak kesal sedikit, photobook untuk Zul sahaja yang sempat disiapkan dan sudah selamat diberikan kepadanya sebelum berangkat.
Photobucket
Sudah lama sebenarnya Jalak menyimpan hasrat untuk membukukan percutian Jalak semasa berada di sini. Dengan terhasilnya photobook yang pertama ini, dapatlah Jalak belajar serba banyak selok-belok serta prosedur untuk membuatnya. InsyaAllah andai ada kelapangan, harapnya dapatlah Jalak membuat photobook untuk diri sendiri pula sebelum berangkat pulang ke tanahair, buat tatapan orang-orang kampung terutamanya yang tiada akaun Facebook :P


Jalak:
Gusar menantikan hari ESOK!

Friday, January 1, 2010

Ceritera Akhir 2009

Tanggal 31 Disember 2009 boleh dikenang sebagai hari yg begitu padat! Bermula dari malam(petang) semalamnya dengan ketibaan tetamu dari Aachen, Nik sekeluarga serta Lan sekeluarga dari Luebeck. Setibanya mereka di bandar Siegen, Jalak sempat membawa mereka bersiar-siar sebentar di City Galerie memandangkan kedai-kedai yang terdapat di sana masih dibuka.
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket

Sudah menjadi adat di dalam rumah Jalak, sekiranya ada tetamu maka tidur lewat menjadi perkara biasa, tiada masalah. Namun dalam sekitar jam 2 pagi, Jalak terpaksa mengundur diri untuk masuk beradu terlebih dahulu. Keesokan paginya (pagi terakhir untuk tahun 2009), Jalak bergegas keluar seawal jam 9.30 pagi untuk ke Frankfurt dengan membawa troli boleh-lipat serta kotak OBI bersaiz L. Sebelum itu sempat juga perkena sekeping roti canai telur dimakan bersama seketul ayam yang sudah sedia dikarikan malam tadi.

Tiba sahaja di Frankfurt, Jalak terus ke rumah Paan utk membantunya memunggah kembali barang-barang dari beg ke dalam kotak. Semuanya gara-gara muatan bagasinya sudah melebihi had yang dibenarkan. Bayangkanlah berat beg (kosong) saja sudah hampir mencecah 5kg. Penat jugalah sebenarnya kerja memunggah serta menimbang tara dalam tempoh masa yang agak singkat sebelum penerbangan ini. Selepas beberapa jam bertungkus-lumus berusaha, akhirnya semua barang berjaya disusun ke dalam 3 buah kotak. Paan meminta Jalak untuk membawa pulang beg yang sudah tidak diperlukan itu lagi ke Siegen. Selain itu Jalak turut membantu dalam mengemas serta 'kasi bersih' barang-barang dapur untuk dibawa pulang ke Siegen. Serius, Jalak terasa seperti baru balik dari Giant Nilai dengan serai,beras,minyak, asam keping, ikan bilis dan macam-macam lagi. Mujurlah ada beg besar itu tadi, memang Jalak 'kasi clear' habislah barang-barang di dapur!

Jalak kemudiannya membantu Paan membawa kesemua barang-barangnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt dengan menaiki keretapi. Perjalanan tidaklah sejauh mana, cuma disebabkan jumlah serta beban barang-barang yang begitu banyak, terpaksalah kami keluar awal sedikit sebagai langkah berjaga-jaga. Mujurlah ada troli yang dipinjamkan oleh Matnur, maka ketiga-tiga kotak itu berjaya ditunda menggunakan satu tangan sahaja. Walaubagaimanapun perjalanan ke stesen keretapi begitu mencabar. Tangga bergerak menuju ke platform bawah (underground) tidak berfungsi! Kami terpaksa mengangkat kesemua beg serta kotak satu persatu dari atas ke bawah. Sudahlah tinggi tangganya, kena naik turun beberapa kali pula. Adehh..silap haribulan boleh patah pinggang dibuatnya.
Photobucket

Sampai sahaja di Airport, Kak Ina sudah tersedia berada di sana sambil beratur di kaunter Thai Airways yang sangat panjang! Jadi tidak perlulah Paan beratur mula dari belakang kerana Kak Ina sudah jadi wakil untuk beratur terlebih dahulu. Lama juga masa yang diambil oleh Paan untuk menyelesaikan urusan check-in di kaunter. Selesai saja urusan tersebut, boarding gate pun sudah hampir dibuka. Rushing jugalah ketika itu. Tak dapatlah Paan lepak lama sedikit di Airport sementara menunggu boarding gate dibuka.

Selepas selamat semua urusan di Airport, Jalak terus menaiki keretapi ke Frankfurt Main bersama-sama Kak Ina. Pada awalnya Kak Ina memberitahu Jalak bahawa Kak Rahmah yang tinggal di Friedberg, menjemput Jalak untuk singgah makan-makan di rumahnya. Selepas berfikir dua tiga kali, Jalak akhirnya bersetuju untuk mengikut Kak Ina ke rumah Kak Rahmah, daripada menunggu seorang diri keretapi ke Siegen yang hanya available selepas 1 jam 20 minit berikutnya. Lagipun sudah hampir seharian Jalak tidak menjamah nasi atau makanan berat. Teringat-ingat juga akan menu nasi kerabu untuk para tetamu di Siegen pada hari itu. Ditambah pula dengan tenaga yang sudah dihabiskan semasa membantu Paan mengemas dan mengangkut barang-barang ke airport. Kononnya bolehlah diibaratkan TRANSIT sebentar di rumah Kak Rahmah sejam dua untuk mengisi perut yang lapar. Kebetulan keretapi dari Frankfurt ke Siegen juga turut melalui stesen Friedberg.

Jalak tiba di Friedberg bersama Kak Ina sekitar jam 9.45PM. Perkhidmatan keretapi terakhir dari Friedberg ke Siegen adalah pada pukul 11.45PM. Jadi Jalak mempunyai masa kurang lebih 2 jam untuk TRANSIT di rumah Kak Rahmah. Setiba sahaja di rumah Kak Rahmah, Jalak begitu teruja melihat longgokan sate ayam bersaiz XL bersama kuah kacang dan hidangan nasi impit di atas meja. Wow, perut Jalak berbunga riang! Selain itu terdapat juga menu lain seperti nasi lemak, laksa, tiramisu serta kek sponge. Bak kata Kak Ina, ini sudah seperti transit di hotel mewah di Dubai! :D
Photobucket
Photobucket

Kebetulan ketika itu di rumah Kak Rahmah terdapat juga dua famili dari Malaysia yang datang untuk bercuti di Jerman. Jadi memang meriahlah satu pelosok rumah ketika itu. Dengan pelbagai aneka juadah serta aktiviti bermain mercunnya, terasa seperti suasana malam sebelum Hari Raya di tanahair pun ada! Layanan daripada tuan rumah juga memang 1st class! Tetamu-tetamu lain dari Malaysia juga ramah-tamah belaka. Memang unik sebenarnya cerita malam akhir untuk tahun 2009 ini. Jalak secara tidak sengaja berada dalam kelompok manusia yang baru Jalak kenali. Kekok juga rasa pada mulanya. Lama-kelamaan Jalak sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sampaikan Jalak terasa 'segan' pula untuk terus pulang ke Siegen pada malam itu,selepas Kak Rahmah dan Mr. Hailer mempelawa Jalak untuk tidur di rumahnya. Padahal rumah di Siegen juga ada tetamu yang perlu dilayan. Mujurlah warga Siegen yang lain ada saja di rumah.

Bukannya apa, Jalak berasa tidak sedap hati untuk pulang pada malam itu kerana Jalak hanya dijangka tiba di Siegen sekitar jam 1.30AM. Risau juga seorang diri apabila sampai di bandar Siegen pada malam sejurus selepas sambutan tahun baru. Macam-macam benda boleh berlaku. Perkhidmatan bas pun berkemungkinan besar sudah tiada lagi waktu itu. Satu lagi sebab utama yang mendorong Jalak untuk bermalam di Friedberg sahaja adalah kerana, JALAK TIDAK INGIN MENYAMBUT TAHUN BARU DENGAN HANYA MELIHAT PERCIKAN BUNGA API DARI DALAM KERETAPI SAHAJA! Ya, itu adalah fakta yang berlaku sekiranya Jalak menaiki keretapi pada pukul 11.45PM dari Friedberg ke Siegen. Oh, mungkin tidak! Ini saja peluang yang ada sebelum meninggalkan bumi Hitler yang gersang ini tidak lama lagi!



Malam itu Jalak hanya dapat masuk tidur sekitar jam 2.00AM. Sempat lagi makan laksa dan nasi lemak sebelum tidur. Gila! Esoknya pula tetamu-tetamu dari Malaysia berangkat pulang menuju ke Airport seawal jam 8.30AM. Jalak pun terpaksa bergegas pulang kerana Kak Rahmah dan suami serta anaknya juga turut menghantar tetamu mereka ke Airport. Mereka menghantar Jalak ke stesen Friedberg sebelum menuju ke Airport.
Aduh..penat! Berat juga beg yang Paan suruh bawa pulang ni selepas diisi dengan barang-barang dari dapurnya. Connection keretapi juga sangat memualkan pada hari tahun baru. Jalak terpaksa menunggu selama 1 JAM di stesen Dillenburg untuk mendapatkan keretapi ke Siegen. Jalak hanya berjaya tiba di rumah dengan selamatnya pada jam 12.00 tengahari. Ketika itu, tetamu dari Aachen dan Luebeck sedang bersiap-siap untuk pulang. Isk! Serba-salah Jalak dibuatnya. Tetapi jauh di sudut hati Jalak berharap mereka puas hati dengan layanan orang-orang di Siegen :)

Begitulah ceritera yang berlaku dalam hidup Jalak sepanjang hari pada penghujung tahun 2009 ini. Ada suka, ada duka yang bercampur-aduk antara satu sama lain. Yang baik itu datang daripada Allah, yang buruk itu berpunca daripada KECUAIAN Jalak sendiri :-I

Jalak: Tahun baru tanpa PENGENALAN DIRI...syabas!!!!!!!!!!
Blog Widget by LinkWithin