Tuesday, March 16, 2010

Separuh Bebanku Pergi

Sedar tak sedar, 2 minggu dari saat ini, Jalak bakal meninggalkan negara Jerman yang indah lagi permai ini sebelum memulakan satu lagi fasa kehidupan yang baru. Ternyata perasaan untuk kali ini sangatlah berbeza jika mahu dibandingkan dengan perasaan teruja lagi tidak sabar ketika mahu pulang bercuti ke tanahair sebelum ini. Masakan tidak, pulangnya Jalak pada kali ini adalah untuk selama-lamanya, tanpa mengetahui samada masihkah ada peluang untuk menjejakkan kaki lagi ke bumi bertuah yang begitu sinonim dengan pemerintahan Nazi ini, pada masa hadapan. Perasaannya bercampur-baur kali ini. Sukar untuk diterjemahkan dengan bait-bait ayat yang sempurna.

Keadaan dalam bilik Jalak sekarang sangat tidak terurus. Jalak masih belum memulakan misi mengemas barang untuk dimasukkan ke dalam kotak sedangkan lori kontena akan datang ke rumah mengambil barang-barang untuk tujuan shipment pada hari Isnin depan jam 8.00 pagi! InshaAllah esok Jalak akan mula membeli kotak-kotak kosong atas tujuan tersebut. Mujurlah kebanyakan barang-barang yang ada di bilik Jalak sekarang sudah sedia berada di dalam kotak masing-masing. Maklumlah barang-barang baru Hehehe :)

Hari ini Jalak rasa lebih separuh daripada beban yang ditanggung selama ini telahpun pergi. Tengahari tadi Jalak sudah pun berjumpa dengan supervisor Jalak dan beliau sangat berpuas hati dengan final draft yang Jalak hantar pada minggu lepas. Terus beliau printkan thesis report tersebut sebanyak 3 salinan lalu diserahkan kepada Jalak untuk tujuan binding. Esok pula Jalak perlu ke Examination Office dengan membawa 2 salinan report tersebut untuk mendapatkan cop pada muka hadapan. Kemudian barulah Jalak boleh menghantarnya kepada supervisor dan seorang lagi external examiner.

Ikutkan hati, mahu saja diselesaikan segalanya pada hari esok juga namun apakan daya, supervisor Jalak yang baik hati itu tiada di kampus selama 2 hari dan hanya akan berada di sini pada hari Khamis. Bukannya apa, lagi cepat hantar maka lagi cepatlah resultnya akan keluar. Jalak rasa sedikit berdebar kerana Jalak tidak kenal dengan external examiner tersebut. Namun supervisor Jalak tetap memberikan secebis harapan bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan, berdasarkan penelitian beliau selama ini. Lega jugalah hati Jalak pada waktu itu. Syukur alhamdulillah :) Namun penilaian setiap individu yang berbeza itu sangat subjektif. Bak kata orang Melayu, lain padang lain belalang.

Menurut supervisor Jalak lagi, untuk result dikeluarkan, kebiasaannya mengambil masa 1 minggu selepas tarikh hantar. Harapnya result tersebut dapatlah dikeluarkan pada ketika Jalak masih berada di sini. Jika tidak, suka atau tidak, terpaksalah juga pulang sambil bertawakkal saja kepada Allah selepas itu. Jalak sedar, dalam hal ini, Jalak perlu terapkan keyakinan pada diri sendiri. Walaubagaimanapun, masih ada lagi sekelumit rasa gusar yang berlegar-legar di ruang hati. Biasalah, itu realiti. Bak kata orang putih, expecting unexpected.

Oh ya, dalam kesibukan begini, Jalak juga baru habis pulun membuat photobook sebanyak 58 muka surat untuk dihantar ke DM. Kalut jugalah kerana sempena dengan cuti Easter yang bakal menjelang, tarikh akhir untuk membuat tempahan photobook adalah pada ESOK hari. Fuhh, andainya tak sempat, maka kempunanlah Jalak untuk berkongsi dengan orang-orang kampung, antara moment menarik ketika mengembara ke tempat-tempat menarik selama ini . Selain itu, hal-hal lain yang perlu diuruskan sebelum pulang pun masih panjang senarainya untuk dilaksanakan. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar, ameen.

Jalak: Teringin main ski serta berbasikal sebelum pulang..hmm!!

3 comments:

  1. Seronok mendapat khabar Jalak dah setel dengan Dissertationnya, moga "fit" untuk defense nanti lantas mendapat "natijah" yang cemerlang :-)

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah...
    lega rasanya kan bila kerja2 penting da selesai..
    tgl sket je tu..

    good luck yeh jalak..!!!
    selamat memulakan hidup baru nanti..:)

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin