Friday, November 13, 2009

Kembali Merindu

Lain benar rasanya apabila menonton sebuah filem yang bertajuk Ketika Cinta Bertasbih (KCB)! Jujurnya Jalak begitu tertarik untuk menonton filem ini apabila terbaca tulisan pada posternya yang berbunyi "DIJAMIN MESIR ASLI" berserta gambar piramid sebagai latarbelakang poster tersebut. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa lokasi filem Ayat-Ayat Cinta bukanlah dibuat di Mesir sebenarnya tetapi di India! Jadi filem KCB ini benar-benar menarik perhatian Jalak untuk menontonnya.
Photobucket

Banyak babak dalam filem ini yang menggamit memori ketika Jalak menziarahi bumi Mesir tidak lama dahulu. Antaranya seperti Piramid Giza, Masjid Al-Azhar, tebing Sungai Nil, NILE City serta teksi dan kesesakan lalutintas di bandar Kaherah. Manakala di Iskandariah pula seperti Al Montaza, Qait Bay, Bibliotheca Alexandrina dan Stanley Bridge. Jalak perhatikan hanya dua bandar ini sahaja yang menjadi pilihan lokasi penggambaran. Maklumlah masing-masing terletak tidak jauh antara satu sama lain. Lagipun majoriti penuntut Malaysia belajar di kedua-dua bandar ini.

Selain itu terdapat juga satu babak yang membuatkan Jalak tersentak iaitu babak yang melibatkan Furqan diperangkap melakukan zina di sebuah bilik hotel di Cairo lalu beliau diperas ugut jika tidak mahu gambarnya disebarkan di internet. Malah lebih teruk lagi apabila mendapati beliau telah dijangkiti HIV ekoran peristiwa tersebut. Furqan bukan sahaja pulang ke Indonesia dengan Ijazah Sarjana yang berjaya dikecapinya, tetapi turut sama membawa tubuhnya yang sudah dijangkiti virus HIV. Lebih menyedihkan, Anna Althafunnisa yang dilamarnya sudah pun menerima lamaran beliau. Ironinya, semasa kunjungan Jalak ke Kaherah dahulu, Jalak sudah diberitahu oleh sahabat Jalak di sana tentang risiko untuk menginap di hotel berseorangan. Benar katanya, banyak sindiket pelacuran yang tertumpu di hotel-hotel sekitar Kaherah. Lalu beliau mencadangkan Jalak untuk menginap di Malaysian Hall sahaja.

Jalak turut tertarik dengan kata-kata sahabat Jalak di Mesir yang berbunyi, "sekali kita minum air Nil, seumur hidup kita akan merindui Mesir". Memang benar, jika ada ruang dan peluang lagi pada masa hadapan, Jalak tidak teragak-agak untuk berkunjung ke Mesir buat kesekian kalinya. Kenangan berada di sana sangat indah dan sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.

Jalak: Tertarik dengan bisnes membuat dan menjual tempe yang diangkat menerusi filem ini

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin