Friday, January 1, 2010

Ceritera Akhir 2009

Tanggal 31 Disember 2009 boleh dikenang sebagai hari yg begitu padat! Bermula dari malam(petang) semalamnya dengan ketibaan tetamu dari Aachen, Nik sekeluarga serta Lan sekeluarga dari Luebeck. Setibanya mereka di bandar Siegen, Jalak sempat membawa mereka bersiar-siar sebentar di City Galerie memandangkan kedai-kedai yang terdapat di sana masih dibuka.
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket

Sudah menjadi adat di dalam rumah Jalak, sekiranya ada tetamu maka tidur lewat menjadi perkara biasa, tiada masalah. Namun dalam sekitar jam 2 pagi, Jalak terpaksa mengundur diri untuk masuk beradu terlebih dahulu. Keesokan paginya (pagi terakhir untuk tahun 2009), Jalak bergegas keluar seawal jam 9.30 pagi untuk ke Frankfurt dengan membawa troli boleh-lipat serta kotak OBI bersaiz L. Sebelum itu sempat juga perkena sekeping roti canai telur dimakan bersama seketul ayam yang sudah sedia dikarikan malam tadi.

Tiba sahaja di Frankfurt, Jalak terus ke rumah Paan utk membantunya memunggah kembali barang-barang dari beg ke dalam kotak. Semuanya gara-gara muatan bagasinya sudah melebihi had yang dibenarkan. Bayangkanlah berat beg (kosong) saja sudah hampir mencecah 5kg. Penat jugalah sebenarnya kerja memunggah serta menimbang tara dalam tempoh masa yang agak singkat sebelum penerbangan ini. Selepas beberapa jam bertungkus-lumus berusaha, akhirnya semua barang berjaya disusun ke dalam 3 buah kotak. Paan meminta Jalak untuk membawa pulang beg yang sudah tidak diperlukan itu lagi ke Siegen. Selain itu Jalak turut membantu dalam mengemas serta 'kasi bersih' barang-barang dapur untuk dibawa pulang ke Siegen. Serius, Jalak terasa seperti baru balik dari Giant Nilai dengan serai,beras,minyak, asam keping, ikan bilis dan macam-macam lagi. Mujurlah ada beg besar itu tadi, memang Jalak 'kasi clear' habislah barang-barang di dapur!

Jalak kemudiannya membantu Paan membawa kesemua barang-barangnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt dengan menaiki keretapi. Perjalanan tidaklah sejauh mana, cuma disebabkan jumlah serta beban barang-barang yang begitu banyak, terpaksalah kami keluar awal sedikit sebagai langkah berjaga-jaga. Mujurlah ada troli yang dipinjamkan oleh Matnur, maka ketiga-tiga kotak itu berjaya ditunda menggunakan satu tangan sahaja. Walaubagaimanapun perjalanan ke stesen keretapi begitu mencabar. Tangga bergerak menuju ke platform bawah (underground) tidak berfungsi! Kami terpaksa mengangkat kesemua beg serta kotak satu persatu dari atas ke bawah. Sudahlah tinggi tangganya, kena naik turun beberapa kali pula. Adehh..silap haribulan boleh patah pinggang dibuatnya.
Photobucket

Sampai sahaja di Airport, Kak Ina sudah tersedia berada di sana sambil beratur di kaunter Thai Airways yang sangat panjang! Jadi tidak perlulah Paan beratur mula dari belakang kerana Kak Ina sudah jadi wakil untuk beratur terlebih dahulu. Lama juga masa yang diambil oleh Paan untuk menyelesaikan urusan check-in di kaunter. Selesai saja urusan tersebut, boarding gate pun sudah hampir dibuka. Rushing jugalah ketika itu. Tak dapatlah Paan lepak lama sedikit di Airport sementara menunggu boarding gate dibuka.

Selepas selamat semua urusan di Airport, Jalak terus menaiki keretapi ke Frankfurt Main bersama-sama Kak Ina. Pada awalnya Kak Ina memberitahu Jalak bahawa Kak Rahmah yang tinggal di Friedberg, menjemput Jalak untuk singgah makan-makan di rumahnya. Selepas berfikir dua tiga kali, Jalak akhirnya bersetuju untuk mengikut Kak Ina ke rumah Kak Rahmah, daripada menunggu seorang diri keretapi ke Siegen yang hanya available selepas 1 jam 20 minit berikutnya. Lagipun sudah hampir seharian Jalak tidak menjamah nasi atau makanan berat. Teringat-ingat juga akan menu nasi kerabu untuk para tetamu di Siegen pada hari itu. Ditambah pula dengan tenaga yang sudah dihabiskan semasa membantu Paan mengemas dan mengangkut barang-barang ke airport. Kononnya bolehlah diibaratkan TRANSIT sebentar di rumah Kak Rahmah sejam dua untuk mengisi perut yang lapar. Kebetulan keretapi dari Frankfurt ke Siegen juga turut melalui stesen Friedberg.

Jalak tiba di Friedberg bersama Kak Ina sekitar jam 9.45PM. Perkhidmatan keretapi terakhir dari Friedberg ke Siegen adalah pada pukul 11.45PM. Jadi Jalak mempunyai masa kurang lebih 2 jam untuk TRANSIT di rumah Kak Rahmah. Setiba sahaja di rumah Kak Rahmah, Jalak begitu teruja melihat longgokan sate ayam bersaiz XL bersama kuah kacang dan hidangan nasi impit di atas meja. Wow, perut Jalak berbunga riang! Selain itu terdapat juga menu lain seperti nasi lemak, laksa, tiramisu serta kek sponge. Bak kata Kak Ina, ini sudah seperti transit di hotel mewah di Dubai! :D
Photobucket
Photobucket

Kebetulan ketika itu di rumah Kak Rahmah terdapat juga dua famili dari Malaysia yang datang untuk bercuti di Jerman. Jadi memang meriahlah satu pelosok rumah ketika itu. Dengan pelbagai aneka juadah serta aktiviti bermain mercunnya, terasa seperti suasana malam sebelum Hari Raya di tanahair pun ada! Layanan daripada tuan rumah juga memang 1st class! Tetamu-tetamu lain dari Malaysia juga ramah-tamah belaka. Memang unik sebenarnya cerita malam akhir untuk tahun 2009 ini. Jalak secara tidak sengaja berada dalam kelompok manusia yang baru Jalak kenali. Kekok juga rasa pada mulanya. Lama-kelamaan Jalak sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sampaikan Jalak terasa 'segan' pula untuk terus pulang ke Siegen pada malam itu,selepas Kak Rahmah dan Mr. Hailer mempelawa Jalak untuk tidur di rumahnya. Padahal rumah di Siegen juga ada tetamu yang perlu dilayan. Mujurlah warga Siegen yang lain ada saja di rumah.

Bukannya apa, Jalak berasa tidak sedap hati untuk pulang pada malam itu kerana Jalak hanya dijangka tiba di Siegen sekitar jam 1.30AM. Risau juga seorang diri apabila sampai di bandar Siegen pada malam sejurus selepas sambutan tahun baru. Macam-macam benda boleh berlaku. Perkhidmatan bas pun berkemungkinan besar sudah tiada lagi waktu itu. Satu lagi sebab utama yang mendorong Jalak untuk bermalam di Friedberg sahaja adalah kerana, JALAK TIDAK INGIN MENYAMBUT TAHUN BARU DENGAN HANYA MELIHAT PERCIKAN BUNGA API DARI DALAM KERETAPI SAHAJA! Ya, itu adalah fakta yang berlaku sekiranya Jalak menaiki keretapi pada pukul 11.45PM dari Friedberg ke Siegen. Oh, mungkin tidak! Ini saja peluang yang ada sebelum meninggalkan bumi Hitler yang gersang ini tidak lama lagi!



Malam itu Jalak hanya dapat masuk tidur sekitar jam 2.00AM. Sempat lagi makan laksa dan nasi lemak sebelum tidur. Gila! Esoknya pula tetamu-tetamu dari Malaysia berangkat pulang menuju ke Airport seawal jam 8.30AM. Jalak pun terpaksa bergegas pulang kerana Kak Rahmah dan suami serta anaknya juga turut menghantar tetamu mereka ke Airport. Mereka menghantar Jalak ke stesen Friedberg sebelum menuju ke Airport.
Aduh..penat! Berat juga beg yang Paan suruh bawa pulang ni selepas diisi dengan barang-barang dari dapurnya. Connection keretapi juga sangat memualkan pada hari tahun baru. Jalak terpaksa menunggu selama 1 JAM di stesen Dillenburg untuk mendapatkan keretapi ke Siegen. Jalak hanya berjaya tiba di rumah dengan selamatnya pada jam 12.00 tengahari. Ketika itu, tetamu dari Aachen dan Luebeck sedang bersiap-siap untuk pulang. Isk! Serba-salah Jalak dibuatnya. Tetapi jauh di sudut hati Jalak berharap mereka puas hati dengan layanan orang-orang di Siegen :)

Begitulah ceritera yang berlaku dalam hidup Jalak sepanjang hari pada penghujung tahun 2009 ini. Ada suka, ada duka yang bercampur-aduk antara satu sama lain. Yang baik itu datang daripada Allah, yang buruk itu berpunca daripada KECUAIAN Jalak sendiri :-I

Jalak: Tahun baru tanpa PENGENALAN DIRI...syabas!!!!!!!!!!

7 comments:

  1. tunggu kami sekeluarga dari KL pula datang kesana.

    ReplyDelete
  2. best sungguh hg ekk... dpt mkn sedap2..

    ReplyDelete
  3. mmg bz si jalak..
    kwn yg setia.. sbb sume kawan yg balik mesia.. sume dihantarnya ke epot..hehehe..

    meriah sungguh!

    ReplyDelete
  4. Ajzie:
    akan kutungguu..detik tiba saat itu..lalala~

    baizah:
    mmg best sebnaqnya dok obesi ni, lebih menghargai makanan msia...

    iurf:
    mesti le..member kamceng!

    ReplyDelete
  5. Rumah kak Rahmah tuh dimana? Ingin juga berkenalan... hihihi

    ReplyDelete
  6. Ajzie:
    kat Friedberg..20mins from Frankfurt Main.

    ReplyDelete
  7. tahun baru yang sentiasa dalam ingatan :)

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin