Monday, August 31, 2009

Air Mata Merdeka

Seumur hidup, inilah kali pertama Jalak menitiskan air mata menjelang detik kemerdekaan negara. Malah bukan sekali malah berulang-ulang kali. Selama ini, tidak tergambar betapa peritnya perjuangan para pejuang kemerdekaan pada masa lalu. Catatan buku sejarah sahaja tidak cukup untuk membicarakan segala-galanya kerana di situ tidak dijelaskan dengan lebih lanjut bagaimana penerimaan keluarga serta sahabat terdekat pejuang yang diceritakan. Lalu apabila kesemuanya dirangkum lalu digarap dengan kemas menerusi layar kaca, maka tercapailah sudah apa yang ingin disampaikan kepada generasi baru pewaris bangsa.

Sejak dari semalam lagi Jalak sudah mengikuti episod demi episod drama bersiri Warkah Terakhir:Rosli Dhoby. Ternyata ia sebuah drama yang berjaya mengangkat kembali semangat perjuangan yang dipikul oleh arwah Rosli Dhoby, bersama Morshidi Sidek, Awang Rambhli Md Deli dan Bujang Suntong serta ahli-ahli Rukun 13 yang lain.
Walaubagaimanapun drama ini lebih tertumpu kepada kehidupan peribadi Rosli Dhoby bersama keluarga serta kawan-kawannya.

Di sini Jalak ingin berkongsi antara moment-moment yang begitu menyentuh hati dan sanubari Jalak secara peribadi..

Video yang pertama ini menceritakan peristiwa yang berlaku sebelum dan semasa pembunuhan Gabenor Sarawak pada ketika itu. Rosli Dhoby tidak pernah memberitahu keluarganya tentang niat untuk membunuh Gabenor Sarawak kerana memahami sikap ayahnya yang kurang bersetuju beliau terlibat dengan gerakan anti-penyerahan terhadap kerajaan British. Pagi itu merupakan kali terakhir beliau menatap wajah ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain. Akan tetapi, ternyata begitu kuatnya naluri seorang ayah dan ibu seakan merasa ada sesuatu bakal terjadi ke atas anaknya.



Video ini pula ketika perbicaraan terakhir sebelum Rosli Dhoby dan ahli-ahli Rukun 13 dijatuhkan hukuman masing-masing. Hari itu merupakan kali pertama keluarga Rosli hadir ke mahkamah kerana sebelum ini ayah beliau berkeras hati untuk melawat anaknya di mahkamah mahupun di penjara. Biarpun mereka sedikit kecewa dengan tindakan yang telah dilakukan oleh anak sulong mereka, akhirnya mereka dapat juga menerima hakikat darah pejuang yang mengalir di dalam tubuh Rosli Dhoby.

AL-FATIHAH buat mereka semua..

Video terakhir ini pula menceritaka detik-detik terakhir Rosli Dhoby sebelum dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Beliau seakan-akan menyesal selepas membaca keratan akhbar yang bertajuk "Rosli Dhoby: Pejuang atau Pembunuh?" Namun setelah diberi nasihat dan dorongan oleh pegawai penjara, beliau yakin apa yang beliau telah lakukan adalah pengorbanan, bukannya penyesalan. Mungkin satu dunia menganggap beliau pembunuh, tapi bagi rakyat negeri Sarawak, beliau adalah pejuang yang akan dikenang! Permintaan terakhir beliau sebelum ke tali gantung hanyalah pen, kertas dan surah Ya'sin. Ketika itulah beliau mencoretkan warkah terakhir untuk ayah, ibu dan keluarga tercinta (Sangat sedih!)


Dalam cerita ini, Rosli mempunyai kekasih hati yang bernama Ani. Menurut info di pengakhiran cerita, Ani masih lagi tidak berkahwin sehingga sekarang. Mungkin cintanya terhadap Rosli masih belum terpadam.



Kesempatan ini, Jalak ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-52 kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana pun kalian berada. Renungkan sejenak pahit getir perjuangan perajurit terdahulu untuk kita sama-sama memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan. Usah cepat melatah dengan apa yang diperkatakan oleh orang-orang di LUAR sana sejak kebelakangan. Apa yang penting, negara kita Malaysia adalah bumi yang paling bertuah, tiada peperangan dan rakyat hidup dengan penuh harmoni. Syukur pada Ilahi kerana kita dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. MERDEKA!!

Jalak: Menuntut ilmu pun satu perjuangan!

Friday, August 28, 2009

Kenangan Terindah Bulan Ramadan

Note: Entri ini ditulis pada 7 Oktober 2006. Maaf kerana ketika itu masih menggunakan bahasa 'orang muda-muda'


Sg. Tapah, Ipoh

Could not recall anything sebab masa tu still budak kecik lagi..apa yang aku tau aku tak puasa la hehe



Kuarters RISDA, Padang Rengas


Start bermastautin kat sini sejak zaman tadika lagi. Bila dah duduk kat kuarters nie, semangat kejiranan sangatlah tinggi. Ramai kengkawan sepermainan lak tu. Bila tiba bulan puasa, masing2 tak lokek bertukar2 juadah berbuka. Walaupon dalam quantity yang tak banyak at least dapat la gak merasa apa yang jiran2 seblah nikmati semasa berbuka. Favourite aku ialah nasi goring Paktam seblah umah aku. Sedap yang amat..giler kentang!

Tarawikh surau tak sampai 100 meter jalan kaki je. Tapi maklumlah zaman budak2 nie..pegi tarawikh sekadar nak memeriahkan suasana je. Maklumlah belom akil baligh lagi time tu hehe. Sebab ada moreh la yang suke sangat tu agaknya. Malam2 ramadhan very happening. Masa tu mercun2 especially paling glemer mercun papan mudah didapati di mana2. tapi kalo rase nak bakar mercun kena la main jauh2 skit kang tak pasal2 je kena marah. Slalu kitorang main kat taman. Ada gak yang budak2 skolah menengah tahap otai main meriam tanah kat ladang getah belakang umah..giler kentang!Power tak ingat..

Satu lagi permainan tak leh lupa dan unik ialah bakar ‘bintang’. Taktau la sapa2 yang familiar ngan menda alah ni tapi basically ‘Bintang’ ni diperbuat dari kertas surat khabar lama je.Surat khabar hari ni pon bley hehe. Kan paper tu ada 4 bucu, so cantumkan kesemuanya cucuk ngan lidi jadilah ‘bintang’ pastu bakar 4 penjuru serentak pastu naiklah ia terbang ke udara. Kira canggih la ala2 hikmat api terbang gitu. Tiap kali malam raya ada takbir rumah ke rumah tapi rumah aku tak pernah orang datang sebab memang tiap2 tahun kitorang sekeluarga dah balik kampong masa tu.



Soksek 1995-1999


Berpuasa kat asrama ni pon seronok gak.Walaupon time bulan puasa tiap2 minggu dibenarkan pulang bermalam tapi aku tak la balik tiap2 minggu. Kalau dah rase muak lauk masak dalam kawah baru la rindu nak balik umah. Sepanjang bulan Ramadhan, sekolah abis awal pukul 1.10 petang. Semua diwajibkan terus ke masjid (takleh singgah2 balik dorm) sebab ada kuliah Zuhur. Tapi paham2 la time2 macam ni ramai la yang terlebih kusyuk sampai baik punya lentok tak ingat dunia. Buka puasa lak of course la mana lagi kalau bukan dewan makan. Pukul 6.30 dah kena turun maklumlah kena beratur. Pastu nak pilih ayam beso2 lak. Kalo lambat, jangan la harap nak dapat kecuali kalau dah kawtim ngan makcik dewan makan suh reserve awal2 hehe tulah untungnya jadik ahli biro dewan makan.

Lepas berbuka semua wajib ke masjid bertarawikh secara jemaah. Time tarawikh ni ustaz gilir2 jadi imam. Kalau kena tang ustaz Mahmud..lama la skit nak abis hehe. Maklumlah lain ustaz lain bacaan lagunya. Students buat 8 rakaat je sebab ada prep malam. Lepas prep malam ada moreh kat dewan makan tapi kalo tak kenyang lagi tepaksa la beli burger Pak Ya. Kalau bab2 fly ni aku tak biasa buat. Aku rasa batch aku la first time paper SPM time bulan puasa. Tak silap aku satu paper je kot..entah la tak brapa nak ingat.



Kg. Talang, Kuala Kangsar


Kat Kg. Talang ni aje aku pernah tinggal 3 rumah yang berbeza. Maknanya 2 kali la pindah umah tapi still kat area yang sama. Bulan Ramadhan aku yang paling terisi ialah masa lepas abis spm tu. Aku ikut abah aku join tadarus kat Masjid Kg Talang. Dapat la kenal ramai orang2 kampung situ. Nak pulak ex-student SBP perghh..orang pandang tinggi tu. Ingat lagi sorang atuk ni (bukan datuk K) baik sangat ngan aku. Slalu je amik berat pasal aku. Lepas majlis khatam sebelom nak raya tu ada la dia hadiahkan baju batik ada lagi aku simpan tapi tak pernah pakai. Sikit je la kenangan aku berpuasa kat sini sebab tak lama lepas tu dah dapat offer masuk UIA and family aku lak pindah ke N9. Apa2 pon paling tak lupa kalau kat Kuala Kangsar ni malam 7 likur dia meriah ngan ‘panjut’ berwarna warni beraneka bentuk. Nilah trademark KK yang takde kat tempat lain rasenye.


UIA 2000-2006

6 tahun belajar kat UIA..masa yang sangat panjang. Jadinya paling banyak la kenangan berpuasa masa kat UIA ni. Paling best berbuka ngan kawan2 la. Ala2 orang bujang gitu..walopun dok kat hostel. Kalau nak save budget untuk hari raya, rajin2 la berbuka kat masjid hehe. Tapi kena datang awal la skit takut kehabisan stok. Tapi kalau weekend tu berlebih2an la plak sampai bleh bawak balik hostel tapau untuk sahur. Selain tu slalu la gak ada Ifthar jamaie anjuran society macam enginius, pkpim, anak2 negeri dan paling meriah camne ntah leh tersesat join ifthar GPMS kat umah MB selangor. Selain masjid uia, pernah gak pegi masjid wilayah kat jalan duta berbuka kat sana. Ramai la gak budak2 uia buat port kat situ.

Aku ni jenis tak bangun sahur. Malam before tidur makan siap2 so no wonder la bertambah ‘sihat’ bulan puase sekalipon. Ada gak tahun2 yang final exam jatuh time bulan puasa. Kalau petang esoknya ada paper, stay up la sampai pagi so dapat la gak merasa bersahur tapi bukan la bangun sahur dalam erti kata yang sebenar. Kalau buat study group lak pernah gak la berlarutan sampai wkatu berbuka. So dapat la berbuka sama2 kat kulliyyah. Lagi tragis nak abiskan final exam before raya punya pasal, ada yang kena paper waktu malam. Memang dasatt..nasib baik tak kena kat kepala aku.

Satu lagi kalau semester tu jatuhnya bulan puasa, masa register online subject tu kalo leh sedaya upaya elakkan amik class pukul 5. So boleh la jalan2 pegi paso ramadhan. Selain paso ramadhan kat dalam UIA, ade gak pegi paso kat wangsa maju, taman melawati, greenwood, Sri gombak tak lupa jugak Sg Pusu kalau dah terdesak hehe. Pastu kena la alert ngan info kat masjid uia sebab taknak terlepas hari memasak bubur lambok. Part ni aku slalu je miss al maklumlah asyik naik motor je tak lalu pon kat masjid. Member2 yang dah amik buat dek je tak sms ciss2..


Present - Kg Kondok, Nilai

Walopun dah lebih 3 tahun dok Nilai, tahun ni lah dapat merasa berpuasa sepenuhnya sebagai orang nogori. Nak pulak first time berpuasa di alam pekerjaan. Kalau dah keje nie, puasa rasa macam kejap je maklumlah banyak benda yang kena buat. Tapi alhamdulillah la time puasa ni tak pernah lagi balik malam. Kira dapat la berbuka kat umah. So far takde la kena berbuka kat kilang lagi. Make sure before 6.30 tu mesti dah bertolak balik ke umah sampai umah dalam pukul 7 juadah semua dah siap terhidang. Ni la untung duduk umah. Kalau hidup membujang tu sure terkial2 gak la kot.

Sebenarnya bulan puasa ni staff Muslim dibenarkan balik seawal 4.45 petang. Tapi aku tak pernah lagi balik seawal itu. Itu yang kata puasa macam kejap je sebab rasa masa tu singkat sangat. Malam dalam pukul 11 aku dah light off sebab mata dah penat. But before that makan dulu apa yang patut sebab kitorang satu family tak sahur. Iyelah dah 3 orang je ahlinya termasuk aku. Bila dah keje bercampur ngan orang nogori ni baru lah tahu pasal Hari Mantai yang orang N9 sambut pada 30 Syaaban. Kalau kat K. Pilah tu paling meriah. Merata tepi jalan orang jual daging untuk dimakan dengan lemang. Macam nak raya la gak.

Actually memang tiap2 tahun uwan aku sambut perayaan ni tapi baru ni je aku tahu pasal Hari Mantai ni. Nak2 pulak this year Hari Mantai jatuh pada hari Sabtu, aku pon tak kerja so dapat la involve gotong royong bakar lemang, masak rendang ngan sup tulang. Kali ni buat kat ‘challet’ seblah umah je. Sedang elok cuaca masak lemang tiba hujan pulak. Cepat2 la selamatkan apa yang patut. Rendang sambung masak kat dapur. Lemang lak dah bolek dikatakan masak cuba santan belom cukup kering tapi still boleh dimakan. Lepastu ujan dah reda, sambung letak balik lemang kat bara sampai la ngam2 masak. Petang tu ada la skit upacara doa selamat.

Hmm..gitulah rentetan pengalaman berpuasa dari kecik sampei la ke beso. Dan tahun ni lak aku dah pikir nak bayar zakat..selama ni abah yang tanggung. Pastu kena mula siap2kan duit raya untuk bagi kat mak abah n sedara mara..boleh jadik tahun ni aku dah tak dapat duit raya uwaaaaaaaa…


Jalak: So far, till last year masih lagi dapat duit raya daripada kedua-dua abang, dapat la pulang modal duit untuk beri pada budak-budak kecil :)

Friday, August 21, 2009

Terakhir Ramadan

Syukur Alhamdulillah kerana kita semua masih dipanjangkan umur untuk dipertemukan dengan bulan Ramadan. Umat Islam di Jerman Jerman dan Eropah akan mula berpuasa pada esok hari, yakni 21 Ogos 2009 (Jumaat). Nampaknya sesiapa yang mahu pulang berhari raya di Malaysia, akan berpuasa lebih dari sebulan. Tahniah! (Ekstra 1 hari je pun..)

Jalak sedikit terkejut sebenarnya apabila mendapat tahu bahawa esok sudah mula berpuasa! Maklumlah, bangun tidur pun sudah tengahari. Menjengah sahaja laman sosial Facebook, sudah berderet status rakan-rakan di Jerman yang memaklumkan tentang berita itu. Oh ya, selepas ini mungkin tabiat bangun lewat ini akan berterusan memandangkan mata tidak mungkin terlelap sehingga saat-saat akhir sebelum tamatnya waktu untuk bersahur. Risau benar jika terlepas waktu sahur. Adakah ini strategi? Terpulang pada penilaian individu. Yang penting, Jalak harus banyak minum air kosong (di sini air paip sudah..)pada waktu malam hingga menjelangnya waktu Subuh kerana cuaca pada siang hari sekarang ini boleh tahan panasnya!

Ramadan ini merupakan kali terakhir Jalak berpuasa di Jerman (harap-harapnya lah). Terasa seperti waktu beredar begitu pantas. Boleh jadi juga, puasa kali ini adalah yang paling mencabar dari segi tempoh masa yang lebih panjang dan juga cuaca yang panas. Tahun lepas pun agak mencabar juga kerana Jalak menghadapi peperiksaan pada bulan Ramadhan. Apa yang mencabarnya? HeHe Sebab terpaksa bangun pagi untuk ke dewan peperiksaan. Maklumlah body clock bulan puasa dah lari sedikit..

Oh ya, tahun pertama pun tidak kurang mencabarnya kerana Jalak tiba di sini ketika pertengahan bulan Ramadan. Perlu mencari rumah dan berpindah-randah mengangkat barang ketika berpuasa. Mujur juga ketika itu cuaca dingin dan nyaman! Waktu siangnya pula tidaklah terlalu lama.
Photobucket
Ketibaan di Airport Frankfurt sekitar jam 6 pagi. Boleh niat musafir sebenarnya tapi Jalak dah tersahur semasa dalam flight. Rugi betul HeHeHe :P

Photobucket
Rumah tumpangan tempat kami tidur dan bersahur. Makan apalah sangat, semuanya lauk paket segera saja..

Photobucket
Ifthar di kedai kebap berhampiran. Rasanya masa ni DD dan Nazrin berbuka di rumah tumpangan sebab kaki DD terseliuh..

Walaubagaimanapun, kita semua patut lebih bersyukur kerana setiap dugaan yang kita hadapi ketika berpuasa, maka akan berlipat gandalah pahala amalan puasa kita, insyaAllah.

Baiklah, di sini Jalak ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Berpuasa sambil menunaikan ibadat yang sepatutnya kepada pembaca-pembaca blog, saudara dan saudari seagama Islam walau di mana anda berada. Maafkan andai ada kesilapan yang pernah Jalak lakukan selama ini. Ahlan wasahlan ya Ramadhan..

**Sekadar makluman: Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-4, ejaan sebenar ialah RAMADAN. (Tapi untuk sebutan, kita masih boleh menyebut 'RAMADHAN')


Jalak: Menanti sambungan siri Pertama Ramadan musim kedua di TV3

Monday, August 17, 2009

Hari Mantai & Perasmian Rumah Kebun

Menarik sungguh aktiviti yang telah berlaku pada hari minggu yang lalu di kampung. Jalak sedari awal lagi sudah dimaklumkan tentang perkara ini namun apakan daya, buat kesekian kalinya jarak memisahkan antara Jalak dan mereka. Cukuplah dengan titipan beberapa keping gambar buat Jalak berkongsi kegembiraan dan kebahagian bersama mereka.

Hari Mantai begitu sinonim dengan adat dan budaya masyarakat minangkabau di Negeri Sembilan. Namun begitu, hanya sebilangan sahaja yang masih mengamalkan adat resam sebegini. Syukur kerana keluarga besar Jalak masih mengamalkannya saban tahun dan diharap akan dapat diteruskan oleh legasi baru yang bakal mewarisi adat dan budaya kita sendiri.

Kebiasannya Hari Mantai disambut sehari sebelum bermulanya hari pertama umat Islam berpuasa. Oleh kerana 1 Ramadhan dijangkakan jatuh pada hari Sabtu, tidak dapat tidak, Hari Mantai tahun ini disambut seminggu lebih awal memandangkan hari Jumaat merupakan hari kerja. Tahun ini agak special sedikit kerana buat pertama kalinya lemang jagung diperkenalkan. Maklumlah tengah musim menuai jagung sekarang...

Photobucket
Mak Lang yang sentiasa cool dan relaks..

Photobucket
Sampai ke titisan yang terakhir..

Photobucket
Mak Mbong menyiapkan pisang untuk digulai masak lomak cili api..

Photobucket
Rendang ayam kampung yang masih belum mempamerkan rupa sebenar..

Photobucket
Bapak borek anak rintik :)

Photobucket
Rupa rendang yang sebenar. Tak sah kalau tak podeh ni..

Photobucket
Banyak ni tapi kurang sebatang sebab tak cukup lagi sorang uhuk2..

Photobucket
Lomang tumbang adalah perkara biasa.Tapi kalau 1 tumbang, yang lain akan ikut serta hahaha..

Photobucket
Quality inspection..make sure betul2 dah masak.


Pada keesokan harinya iaitu hari Ahad, Abah Jalak menganjurkan majlis doa selamat sempena rumah baru di kebun yang telah siap dibina untuk dihinggapi. Menurut kata Abah, doa selamat ini sebagai tanda syukur kerana sepanjang kerja-kerja pembinaan, tiada sebarang kemalangan serius yang berlaku. Maklumlah kerja-kerja pembinaan ini bukannya mudah. Alhamdulillah semuanya selamat.. :D

Simple sahaja majlisnya. Mak Jalak menyediakan santapan nasi lemak sebagai breakfast. Breakfast di kebun sambil berkebun HeHeHe. Ini barulah dinamakan Malaysian Breakfast! Budak-budak bujang pula tidak melepaskan peluang memancing ikan di kolam Abang Sandy (abang sulong Jalak). Hishh..seronok la hai!

Photobucket
Menjamu selera di kawasan luar rumah..

Photobucket
Nasi lemak beralaskan daun pisang..masyukk je!

Photobucket
Mak: Sedy, baliklah..mak buat kuih apam gula hangus kegemaran Sedy ni..

Photobucket
Makcu: Shidi, tak payah balik, biar kami yang habiskan kuih ni..

Photobucket
Deq Li, Ajim dan Sudin layan makan dalam rumah..Pink color?!

Photobucket
'Faizal Tahir' pon ada!

Photobucket
Budak bujang paling hot..pancing lah puas2, tak lama lagi UPSR!

Photobucket
Pancing 3 orang, dapat ikan tak lah sebesar mana..HaHaHa

Photobucket
Abang Sandy dapat ikan besar..Haishh selipar Jalak dah jadi selipar kebun!

Photobucket
Pak Teh kenduri pisang!

Photobucket
Nak buat apa jagung-jagung ni?

Photobucket
Bakar pon sodap!

Begitulah kisahnya yang berlaku pada hujung minggu lepas. Sedikit sebanyak ia dapat menguatkan lagi semangat Jalak untuk tidak menyesali di atas keputusan telah Jalak buat. InsyaAllah, mudah-mudah berbaloi la hendaknya..amin!

Foto kredit oleh Norhana Nawawi


Jalak: Tahniah Akhil dan Waheeda..bulan madu nanti jangan lupa singgah Jerman ye..

Thursday, August 13, 2009

Mungkinkah Terjadi?

Mungkinkah terjadi,

Tiada lagi memborong itu ini,
Tiada lagi makan angin ke sana ke mari,
Tiada lagi cenderamata buat famili,
Tiada lagi duit raya untuk tahun ini?!

Hanya telur dan sardin melengkapkan nasi,
Memadai cuma sekadar sebungkus mi Maggi,
Tiada lagi ayam mahupun KFC,
Apatah lagi Doner Kebap di kedai Turki?!

Berhijrah dari reban sekarang ini,
Ke reban baru yang lebih mini,
Malah lebih dasyat lagi,
Belajar ilmu mengghaibkan diri?!

Melupakan hasrat menyambung PhD,
Berangan-angan menjadi KJ di FKE,
Mahupun menjadi fellow yang disukai,
Berjalan kaki ke pejabat setiap hari?

Menyeludup masuk iPhone 3G,
Menyeludup masuk set permainan Wii,
Mencari pembida yang bermurah hati?
.
.
.
.

Aduh! SERIUS benar GURAUAN petang tadi,
Nantikan saja keputusan MEREKA selepas ini,
Moga itu hanyalah gurau senda dari hati,
Mengharap sinar di kemudian hari,
Kasihanilah kami di sini!


Jalak: Tak akan berhenti berharap..

Friday, August 7, 2009

Seriau

Bertambah seriau Jalak selepas membaca perutusan daripada Pejabat Penasihat Pendidikan & Latihan (PPPL) di Frankfurt tentang kebarangkalian gelombang kedua wabak H1N1 yang bakal berlaku dalam tempoh masa terdekat. Ditambah pula dengan rentetan kes kematian hari demi hari yang terpapar di dada akhbar serta penutupan beberapa buah sekolah dan IPT di Malaysia. Terbaru, sekolah lama (Soksek) dan tempat bekerja Jalak (UTeM) khabarnya sudah pun ditutup buat sementara waktu.

Itu di Malaysia. Jalak yang berada di Jerman ini pula sudah agak keberatan untuk ke gymnasium memikirkan risiko jangkitan yang boleh berlaku. Maklumlah, kesemua perkakas senaman di sana turut dikongsiguna oleh pengunjung yang semestinya Jalak tidak kenali. Kali terakhir Jalak ke sana adalah pada Rabu lepas. Selepas itu barulah Jalak terfikir tentang perkara ini.

Sekarang ini walaupun cuaca sangat baik untuk bersenam (mudah berpeluh), Jalak seriau untuk ke gym lagi. Namun bila terfikirkan yuran bulanan yang sudah dibayar, dan akan terus dibayar sehingga Mac tahun depan, apa sebenarnya yang Jalak harus lakukan? Buat masa ini Jalak masih buntu. Mungkin dalam masa terdekat ini Jalak perlu beranikan diri bertanya pada orang yang menjaga di kaunter berkenaan. Adakah mereka melakukan sesuatu sebagai precaution untuk menjaga kebajikan dan kesihatan pelanggan-pelanggan mereka? (Kena susun ayat dalam bahasa Jerman, inilah kekangannya!).
Harapnya begitulah. Jika sebuah sekolah (di Malaysian) pon boleh ditutup, inikan pula gym yang sekangkang kera itu? Fasal yuran (duit), belakang kira..


Jalak: Bukan prejudis tetapi berjaga-jaga!

Self-Titled



Versi Tok Pah dan Tan Sri SM Salim. Enjoy~


Jalak: Sudah wujud sejak zaman semasa belajar di UIA lagi..

Sunday, August 2, 2009

Berbaloi-baloi !

Sudah jumpa ! Tak sangka kepergian Jalak ke Cologne menjelang petang semalam benar-benar membuahkan hasil. Hajat di hati memang mahu mencari beg yang sesuai untuk diletakkan set lengkap permainan konsol Wii supaya mudah untuk dibawa ke mana-mana ketika berada di tanahair nanti. Majlis rumah terbuka tentu lebih meriah jika dapat bermain Wii beramai-ramai.

Bercerita sedikit tentang perjalanan menjelang petang semalam ke Cologne, ramai sungguh penumpang berasak-asak menaiki tren kerana mahu menonton perlawanan bolasepak. Sampai ada yang berdiri malah ada juga yang dinasihatkan untuk menaiki tren lain untuk ke Cologne. Jalak perhatikan, orang-orang Jerman ni memang jenis calm dan serius saja pada hari-hari biasa. Tetapi tidak pada hari perlawanan bolasepak! Berdentam-dentum satu gerabak tren dek penangan penyokong-penyokong fanatik ini. Yang sedihnya, perjalanan yang sepatutnya memakan masa 1 jam 30 minit dipanjangkan menjadi lebih 2 jam gara-gara masalah yang timbul di setiap stesen di mana penumpang yang menunggu sungguh ramai!

Lupakan saja pengalaman itu, yang penting Jalak selamat berada di dalam tren. Syukur alhamdulillah kedai-kedai masih dibuka. Jalak tergerak hati untuk masuk ke Galeria Kaufhof kerana pernah membeli sling bag di situ. Memang banyak pilihan tetapi untuk beg menyimpan Wii, susah juga sebenarnya untuk dipilih kerana tiada beg khas untuk Wii yang dijual di sini.

Mujur Jalak terjumpa sebuah travel cabin bag yang kapasitinya agak sesuai untuk diisikan dengan satu set lengkap Wii. Pada masa itu, Jalak juga cuba membayangkan sekiranya ruang hadapan beg tersebut muat atau tidak untuk diisikan dengan Netbook Jalak yang kecil anak itu.

Memandangkan harga yang ditawarkan juga sangat murah selepas diskaun, Jalak berkeputusan untuk terus membeli beg tersebut. Di Jerman ini, jikalau sudah ada diskaun, betul-betul punya diskaun. Tarak main-main wa cakap lu! Selain itu, Jalak juga tertarik dengan kombinasi warna dalam dan luar beg tersebut.
Photobucket
Jenama Packeasy Switzerland. Swiss memang terkenal dengan aneka jenama beg. Kebetulan, ini merupakan beg Jalak yang ke-3 berjenama .... Swiss.

Setiba sahaja di rumah, Jalak terus memasukkan semua kelengkapan Wii serta Netbook ke dalam beg itu seperti yang Jalak sudah bayangkan ketika mahu membeli.
Photobucket
Erm..muat ke tidak ni?

Photobucket
Deng..Just nice! Boleh masuk lagi beberapa keping CD games Wii dan kamera. Berat kesemuanya 5kg. Masih dibenarkan dibawa masuk ke dalam kabin, yes!

Oh ya, jika ke Cologne, tidak sah kalau tidah singgah di Dunkin Donuts. Aduhai, semalam baru Jalak perasan dan terjumpa lagi satu cawangan yang lebih dekat dengan main train station. Juga berdekatan dengan restoran KFC. Sebut pasal KFC, ketika Jalak beratur membeli kentang putar, Jalak ternampak sebuah meja yang diduduki oleh wanita-wanita bertudung. Jalak yakin mereka ini orang Islam. Jalak ternampak juga sisa-sia tulang ayam di meja berkenaan. Lantas terfikir pula Jalak, mungkin betul desas-desus yang mengatakan ayam goreng di cawangan KFC tersebut halal untuk dimakan. Malangnya Jalak tidak rajin pula untuk bertanya ish ish ish! Jika betul, tidak perlu bersusah payah lagi membayar tiket keretapi ke Frankfurt untuk menikmati ayam KFC halal.


Jalak: Suka menonton iklan Celcom terbaru menampilkan Fahrin, ibu Fahrin dan juga Scha!
Blog Widget by LinkWithin