Seumur hidup, inilah kali pertama Jalak menitiskan air mata menjelang detik kemerdekaan negara. Malah bukan sekali malah berulang-ulang kali. Selama ini, tidak tergambar betapa peritnya perjuangan para pejuang kemerdekaan pada masa lalu. Catatan buku sejarah sahaja tidak cukup untuk membicarakan segala-galanya kerana di situ tidak dijelaskan dengan lebih lanjut bagaimana penerimaan keluarga serta sahabat terdekat pejuang yang diceritakan. Lalu apabila kesemuanya dirangkum lalu digarap dengan kemas menerusi layar kaca, maka tercapailah sudah apa yang ingin disampaikan kepada generasi baru pewaris bangsa.
Sejak dari semalam lagi Jalak sudah mengikuti episod demi episod drama bersiri Warkah Terakhir:Rosli Dhoby. Ternyata ia sebuah drama yang berjaya mengangkat kembali semangat perjuangan yang dipikul oleh arwah Rosli Dhoby, bersama Morshidi Sidek, Awang Rambhli Md Deli dan Bujang Suntong serta ahli-ahli Rukun 13 yang lain.
Walaubagaimanapun drama ini lebih tertumpu kepada kehidupan peribadi Rosli Dhoby bersama keluarga serta kawan-kawannya.
Di sini Jalak ingin berkongsi antara moment-moment yang begitu menyentuh hati dan sanubari Jalak secara peribadi..
Video yang pertama ini menceritakan peristiwa yang berlaku sebelum dan semasa pembunuhan Gabenor Sarawak pada ketika itu. Rosli Dhoby tidak pernah memberitahu keluarganya tentang niat untuk membunuh Gabenor Sarawak kerana memahami sikap ayahnya yang kurang bersetuju beliau terlibat dengan gerakan anti-penyerahan terhadap kerajaan British. Pagi itu merupakan kali terakhir beliau menatap wajah ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain. Akan tetapi, ternyata begitu kuatnya naluri seorang ayah dan ibu seakan merasa ada sesuatu bakal terjadi ke atas anaknya.
Video ini pula ketika perbicaraan terakhir sebelum Rosli Dhoby dan ahli-ahli Rukun 13 dijatuhkan hukuman masing-masing. Hari itu merupakan kali pertama keluarga Rosli hadir ke mahkamah kerana sebelum ini ayah beliau berkeras hati untuk melawat anaknya di mahkamah mahupun di penjara. Biarpun mereka sedikit kecewa dengan tindakan yang telah dilakukan oleh anak sulong mereka, akhirnya mereka dapat juga menerima hakikat darah pejuang yang mengalir di dalam tubuh Rosli Dhoby.
AL-FATIHAH buat mereka semua..
Video terakhir ini pula menceritaka detik-detik terakhir Rosli Dhoby sebelum dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Beliau seakan-akan menyesal selepas membaca keratan akhbar yang bertajuk "Rosli Dhoby: Pejuang atau Pembunuh?" Namun setelah diberi nasihat dan dorongan oleh pegawai penjara, beliau yakin apa yang beliau telah lakukan adalah pengorbanan, bukannya penyesalan. Mungkin satu dunia menganggap beliau pembunuh, tapi bagi rakyat negeri Sarawak, beliau adalah pejuang yang akan dikenang! Permintaan terakhir beliau sebelum ke tali gantung hanyalah pen, kertas dan surah Ya'sin. Ketika itulah beliau mencoretkan warkah terakhir untuk ayah, ibu dan keluarga tercinta (Sangat sedih!)
Dalam cerita ini, Rosli mempunyai kekasih hati yang bernama Ani. Menurut info di pengakhiran cerita, Ani masih lagi tidak berkahwin sehingga sekarang. Mungkin cintanya terhadap Rosli masih belum terpadam.
Kesempatan ini, Jalak ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-52 kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana pun kalian berada. Renungkan sejenak pahit getir perjuangan perajurit terdahulu untuk kita sama-sama memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan. Usah cepat melatah dengan apa yang diperkatakan oleh orang-orang di LUAR sana sejak kebelakangan. Apa yang penting, negara kita Malaysia adalah bumi yang paling bertuah, tiada peperangan dan rakyat hidup dengan penuh harmoni. Syukur pada Ilahi kerana kita dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. MERDEKA!!
Jalak: Menuntut ilmu pun satu perjuangan!
Monday, August 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment