Saturday, October 31, 2009

Orang Baru

Semalam Jalak sempat mencuri masa untuk ke Majlis Cukur Jambul cahaya mata pertama kepada Matt, kenalan lama Jalak semasa belajar di Soksek dulu, serta isterinya Liza. Biarpun kediaman mereka terletak di Frankurt, Jalak tidak dapat menolak peluang kali kedua untuk menghadiri majlis sebegini di Jerman. Peluang pertama dahulu iaitu majlis cukur jambul untuk Irfan dan Mariah, anak kepada kenalan Jalak di Aachen, Jalak tidak berksempatan untuk hadir kerana baru sahaja pulang dari Manchester pada ketika itu.

Majlis kali ini berlangsung dengan suasana yang cukup simple, maklumlah bayi yang bernama Liya Raihany Binti Mohd Razif ini baru sahaja berusia 7 hari! Tambahan pula ia hanyalah sebuah majlis mencukur jambul. Jalak ada terbaca, sekiranya majlis itu diadakan sekali dengan majlis akikah, barulah perlu diadakan jamuan. Oh ya, lebih menarik lagi, namanya turut diumumkan kepada jemaah yang hadir pada hari tersebut sebelum bacaan Yaasin dimulakan.

Sedikit renungan untuk dikongso bersama,
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

Photobucket
Liya diberi minum air zam zam oleh kedua-dua orang tuanya..

Usai majlis membaca surah Yaasin beramai-ramai, jemaah yang hadir diberi peluang untuk menyertai upacara cukur jambul. Boleh dikatakan yang mencukur kesemuanya muda-muda belia belaka. Bukan senang untuk mendapat peluang sebegini di sini. Jika di Malaysia, sudah tentu upacara ini dipelopori oleh warga tua, seperti kebiasaannya.
Photobucket
Lebat rambut Liya ni, jealous uncle!

Terima kasih kepada Matt & Liza di atas undangan ke majlis ini. Dapat juga Jalak peluang untuk menggendong bayi sekecil ini. Sangat kekok juga sebenarnya kerana tidak biasa. Tambahan pula anak orang lain, baru lahir lagi. Mujurlah ada yang sudi memberi tunjuk ajar. Bila lagi mahu mencuba? InsyaAllah jika sudah ada anak sendiri nanti, bukan masanya lagi untuk mencuba!
Photobucket
Kekok!

Kesempatan ini Jalak ingin mengucapkan sekalung tahniah buat Matt & Liza atas kelahiran permata yang ditunggu-tunggu selama ini. Semoga Liya Raihani menjadi seorang anak yang solehah dan sentiasa mendatangkan keharuman ke dalam kehidupan kedua orang tuanya, seperti maksud yang tertulis di sebalik namanya yang sungguh indah itu.

Kredit Foto: Zulfadli

Jalak: Suka pada kanak-kanak..

Tuesday, October 27, 2009

Kejutan?

Secara rasionalnya, bukan mudah sebenarnya untuk membuat kejutan kepada orang lain. Kejutan yang Jalak maksudkan adalah kejutan sambutan harijadi. Apalah ertinya sebuah kejutan andai kita terlalu berahsia sehinggakan tuan punya badan yang ingin dikejutkan itu tidak hadir ke majlis tersebut atas sebab-sebab peribadi?

Jumaat lepas merupakan hari lahir seorang sahabat Jalak yang bernama Paan. Kebetulan pula pada hari itu, rombongan kecil dari Frankurt bercadang untuk bermalam di Siegen bersempena dengan lawatan mereka ke beberapa buah bandar yang berhampiran. Orang yang mula-mula mencetuskan idea tentang kejutan harijadi ini adalah Zul. Yang pastinya, perkara ini mesti dirahsiakan dari pengetahuan tuan punya harijadi.

Photobucket

Malangnya sehari sebelum itu, Paan memberitahu bahawa beliau tidak dapat turut serta menyertai rombongan dari Frankfurt ke Siegen pada hari Jumaat, sebaliknya pada hari Sabtu, iaitu keesokan harinya. Memandangkan bahan-bahan untuk membuat kek sudahpun dibeli oleh Didie, Jalak terpaksa memberi hints kepada Paan seolah-olah akan berlangsungnya 'sesuatu' pada hari Jumaat sempena dengan harijadinya. Ternyata pendekatan tersebut begitu berkesan lalu berjaya mendorong beliau untuk berubah fikiran. Jadinya tiada lagi kejutan!

Photobucket
Walaupun tiada lagi elemen kejutan, kadang-kala sebagai manusia biasa kita tidak boleh terlepas dari berasa terharu atas apa yang telah dilakukan oleh orang di sekeliling kita, yakni teman-teman yang benar-benar menghargai kita sebagai seorang insan yang bergelar sahabat. Jalak yakin serta dapat merasai apa yang berlegar di kotak fikiran Paan tatkala orang di sekelilingnya beramai-ramai menyanyikan lagu standard harijadi. Mungkin ramai yang berpendapat, situasi sebegini lebih sinonim dengan kanak-kanak namun sebagai orang dewasa yang sudah mengenal erti sebenar sebuah persahabatan, kesan yang ditinggalkan lebih mendalam..percayalah!
Photobucket

Photobucket
Siegeners & Frankfurters yang hadir..

Sekarang terpulanglah pada anda semua bagaimana caranya mahu membuat sesuatu kejutan. Samada terlalu berahsia sehingga anda sendiri yang 'terkejut' di akhir cerita atau membenarkan sedikit ruang kepada kejutan itu untuk diuar-uarkan dengan kadar yang seminimum mungkin! Susah, bukan?

Foto belas ihsan oleh Zulfadli Mohamad

Jalak: Tahniah buat Matt & Liza atas kelahiran cahaya mata sulong mereka pada Sabtu lepas!

Monday, October 19, 2009

Berlabuh Tirai Lebaran di Homburg

Sabtu lepas Jalak telah menghadiri rumah terbuka Kak Iu & Abang Arip di kediaman mereka di Homburg. Meskipun baru 3 hari mendarat di Bumi Hitler ini, Jalak tidak dapat menolak pelawaan mereka kerana ini sudah kali kedua mereka mengundang Jalak untuk datang ke Homburg. Lagipun mereka sekeluarga sudi datang beraya di rumah Jalak ketika berada di Malaysia tempoh hari.

Meskipun perjalanan dari Siegen ke Homburg mengambil masa selama 6 jam, lamanya tidaklah terasa sangat kerana perlu bertukar tren sebanyak beberapa kali. Jalak bersama Matnur dan Dylla sampai sehari lebih awal atas niat untuk menghulur tangan bergotong royong menyediakan apa yang patut. Selain kami, terdapat lagi sebuah keluarga iaitu keluarga Kak Azie yang turut bermalam di sana untuk meringankan beban tuan rumah pada malam sebelum berlangsungnya rumah terbuka. Malam itu kami bersama-sama meriuhkan ruang sisi dapur sambil 'membuli' tuan rumah dengan meminta itu dan ini. Ada yang ada, ada yang tiada. Yang tiada akan dibeli keesokan harinya. Ada pula menu yang ditukarganti pada saat akhir (Heheh pecah rahsia!) Mujurlah tuan rumah sporting. Layan~

Menjelang larut malam, ruang tamu yang berbentangkan tilam dan selimut pula menjadi ruih rendah dengan pelbagai cerita yang dibualkan. Jalak yang pada mulanya sudah terbaring di atas tilam terpaksa membatalkan niat untuk tidur awal selepas melihat tuan rumah mengeluarkan kerepek dan biskut raya bersama teh O panas di atas meja. Sebenarnya itulah malam pertama Jalak tidur lewat semenjak tiba dari tanahair. Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu di Jerman ini. Namun daya ketahanan mata Jalak ada batasnya. Sedang mereka yang lain masih rancak berbual, Jalak berjaya juga melelapkan mata. Terdengar jugalah sayup-sayup suara orang-orang Malaysia yang tak habis-habis bersembang.

Keesokan paginya kami semua kembali sibuk menyambung kerja-kerja yang masih belum selesai. Menjelang tengahari semua menu telah tersedia untuk dihidangkan kecuali sate dan ayam barbeku yang baru hendak mula dibakar. Berasap jugalah seantero rumah. Cuaca sejuk tidak mengizinkan pula untuk membakar sate dan ayam di luar halaman rumah. Selain sate dan ayam barbeku, antara menu lain yang disediakan termasuklah rendang daging, nasi kerabu, mi hun sup, nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh, bubur kacang durian serta cheese cake.

Tanpa segan silu, Jalak berjaya 'merasa' kesemua menu yang disediakan. Lupakan sebentar berat Jalak yang sudah naik sebanyak 5kg dek penangan hari raya tempoh hari. Sungguh kenyang tidak terkata. Itulah nikmatnya hari raya. Terima kasih kepada tuan rumah atas hidangan yang menyelerakan. Secara rasminya inilah satu-satunya rumah terbuka hari raya yang Jalak sempat hadiri di Jerman dan yang terakhir untuk sambutan hari raya pada tahun ini, adanya.

Untuk tatapan gambar, sila berkunjung ke blog tuan rumah. Jalak tak bawa kamera, melenggang bawa perut kosong saja :D

Jalak: Berat mata memandang berat lagi lemak yang dipikul.

Sambil Menyelam Minum Air

Beberapa hari sebelum pulang ke Jerman, Jalak telah dikhabarkan oleh pihak Gulf Air tentang pembatalan penerbangan dari Bahrain ke Frankfurt. Dengan secara automatiknya penerbangan Jalak telah ditunda pada keesokan harinya. Durasi transit di Bahrain tidaklah sepenuhnya 1 hari yakni bersamaan 24 jam, cuma 12 jam sahaja. Namun itu sudah cukup bagi melayakkan Jalak untuk menginap di sebuah hotel bernama Al-Safir, sepenuhnya di bawah tanggungan pihak Gulf Air.

Sejujurnya Jalak tidak merancang langsung untuk keluar bersiar-siar ke bandar Manama, ibu kota Bahrain kerana memikirkan lokasi hotel tersebut yang mungkin terletak di dalam kawasan Airport. Ternyata jangkaan Jalak meleset sama sekali! Perjalanan dari Airport ke hotel mengambil masa kurang lebih 20 minit. Mujurlah pengangkutan ke hotel disediakan percuma oleh pihak hotel. Namun hampir sejam jugalah Jalak menunggu van hotel untuk sampai menjemput Jalak di Airport. Traffic jam katanya..

Tanpa menghiraukan badan yang agak letih selepas berjam-jam di dalam flight, Jalak gagahkan juga diri untuk mendapatkan teksi untuk ke pusat bandar Manama melalui pertolongan oleh pihak hotel. Jika difikirkan, entah bila lagi dapat peluang untuk menjejakkan kaki ke negara Bahrain ini. Jalak meminta pemandu teksi tersebut untuk membawa Jalak ke Bab Al-Bahrain seperti yang disarankan oleh receptionist hotel. Tambangnya murah sahaja, hanya 5.00 Bahrain Dinar (BD). Tetapi mengenangkan sekeping nota RM50 bersamaan dengan 5.60 BD, mahal jugalah tambang teksi itu! Tambang itu dikira melalui meter yang tertera di dashboard pemandu. Tiada kompromi..

Sepanjang perjalanan menaiki teksi, Jalak sempat snapped beberapa keping gambar dari dalam kereta.
Photobucket
Al Fateh Grand Mosque

Photobucket
Erm, bangunan ini benar-benar membuat Jalak teruja untuk explore dengan lebih dekat usai turun dari teksi nanti..

Seperti yang dijanjikan, Jalak telah diturunkan di Bab Al-Bahrain. Sekilas pandang persis berada di Pasar Seni KL. Sekitar kawasan ini terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan juga makanan. Namun tidak pula Jalak hadap akan semua itu memikirkan nilai matawang BD yang sangat tinggi! Tambahan pula dinner turut disediakan oleh pihak hotel. Simpan sajalah wang dan perut jawapnya..
Photobucket
Bab Al-Bahrain

Tidak lama berjalan di sekitar Bab al-Bahrain, azan Maghrib berkumandang. Malam sudah menjelma. Sebenarnya Jalak cukup fobia untuk berjalan seorang diri pada waktu malam apatah lagi di tempat yang baru Jalak kunjungi. Akan tetapi disebabkan nafsu yang membuak-buak untuk melihat sendiri dari jarak dekat, menara berkembar yang kelihatan dari dalam teksi sebentar tadi, Jalak beranikan diri berjalan kaki. Mujurlah menara itu sudah boleh kelihatan dari pandangan jauh, maka mudahlah bagi Jalak untuk menyusuri jalan untuk sampai ke menara tersebut.
Photobucket
Makin hampir ke destinasi. Namun ini adalah dari pandangan belakang..

Photobucket
Akhirnya berjaya sampai betul-betul di hadapan menara berkembar berkincir angin ini yang turut dikenali sebagai Bahrain World Trade Centre

Photobucket
Terpaksa melintas jalan utama yang sangat sibuk dengan kenderaan untuk sampai ke sebuah dataran luas berhampiran laut untuk mendapatkan angle seperti ini..fuhh~

Alhamdulillah tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang rondaan Jalak di sekitar bandar pada waktu malam. Mungkin juga disebabkan rakyatnya kaya-raya, jadi tiadalah kes ragut atau yang sumpama dengannya.

Pada malam tersebut, dinner buffet di hotel pula betemakan seafood. Lapar..memang Jalak tersangat lapar! Kenyang juga akhirnya..Alhamdulillah~

Photobucket
Bahrain: Kingdom of the Two Seas

Jalak: Sambil menyelam minum air tapi jangan sampai tersedak!

Friday, October 9, 2009

Umpan Jinak Di Air Tenang

Pada hujung minggu lepas abang Sandy mengajak Jalak ke kebun untuk memancing ikan di kolamnya. Kami ke sana agak lewat. Sekitar jam 11 pagi. Matahari pun sudah hampir tegak di atas kepala. Memikirkan hari itu adalah kali terakhir Jalak dapat memancing di kolam tersebut, Jalak turuti sahaja. Hujung minggu ini pula sudah sarat dengan undangan rumah terbuka sebelum berangkat pulang ke bumi Hitler.

Abang Sandy cakap Jalak ada bakat terpendam. Mungkin juga kerana tak sampai beberapa minit tali joran dicampak ke dalam air, umpan Jalak terus disambar! Nah..boleh tahan jugalah besarnya. Boleh digoreng lalu mendapat isinya.
Photobucket
Ikan keli pertama untuk hari ini..

Huhu. Tercabar abang Sandy dibuatnya. Tak lama lepas itu, umpan dia pula yang menjadi. Namun ikan Jalak masih lagi lebih besar HaHaHa! Aduh, panas terik yang amat pada hari itu. Ikan-ikan pula seolah tidak berminat dengan cengkerik yang menjadi umpan. Menurut abang, waktu tengahari ikan-ikan menjadi sangat malas kerana mereka sudah kekenyangan memakan lumut-lumut yang terdapat di sekitar kolam.

Tunggu punya tunggu, sampai payung Jalak pun ditiup angin jatuh ke dalam kolam. HAHAHA! Abang mensasarkan untuk kami berdua mendapat 5 ekor ikan untuk hari ini. Setelah penat berusaha akhirnya kami berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan. Jalak mendapat 2 ekor, manakala abang Sandy mendapat 3 ekor. Hmm, kalau tidak, boleh cair Jalak dibuatnya bertenggek lama-lama di bawah terik matahari! Sudahlah reaksi Jalak ketika mata kail disentap ikan menjadi bahan ketawa abang dan juga mak Jalak. Ermm, Jalak rasa Jalak kena kurangkan sikit tabiat 'terkejut' dengan riak muka yang over ini.
Photobucket
Air tenang jangan disangka tiada ikan..


Jalak: Puas menonton filem Papadom siang tadi. Filem Terbaik lah katakan...

Tuesday, October 6, 2009

Tanpa

Selepas DUA insiden yang berlaku pada hujung minggu lepas, barulah Jalak sedar akan hakikat bahawa susahnya hidup sebagai pemandu tanpa GPS mahupun Google Map terutamanya ketika meredah jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan juga Lembah Klang. Sebetulnya kedua-dua insiden tersebut amat berbeza sekali jalan ceritanya.

Insiden pertama berlaku ketika Jalak berkunjung ke rumah seorang sahabat di Kota Damansara. Sebelum bertolak, sedari awal lagi Jalak sudah mendapatkan alamat destinasi yang bakal Jalak kunjungi daripada sahabat tersebut. Ternyata apa yang tertera di Google Map ada 99% betulnya. Walaupun memandu keseorangan pada waktu malam, Jalak akhirnya berjaya sampai ke destinasi yang sepatutnya. Tidak dinafikan, ada beberapa kali Jalak tersilap masuk jalan namun berjaya juga kembali ke landasan yang betul dengan merujuk kembali panduan yang tertulis pada kertas yang dibawa di dalam kereta. Bahaya juga sebenarnya kerana Jalak memandu sambil membaca panduan pada kertas tersebut. Mujur tiada sebarang perkara buruk yang berlaku.

Photobucket
Menikmati ABC yang marvelous di Shah Alam!

Insiden kedua pula berlaku pada malam keesokannya. Dari Kota Damansara, Jalak perlu menghadiri sebuah majlis Reunion di Bora Ombak, Ampang. Jujurnya acapkali juga Jalak mendengar tentang tempat itu namun belum pernah lagi Jalak berkunjung ke situ sebelum ini. Setelah melihat Google Map, Jalak dapati restoran tersebut terletak berdekatan kurang lebih 0.3km sahaja dari Ampang Point. Jadi, tidak pula Jalak merajinkan diri print direction ke sana. Malangnya setibanya di Ampang Point, Jalak berlegar-legar hampir sejam mencari-cari di manakah letaknya Bora Ombak. Ditambah pula dengan kesesakan lalulintas pada waktu perdana, ternyata ia lebih merumitkan keadaan. Jalak bersama dua orang lagi teman yang masing-masing memandu kereta yang berasingan saling berbalas panggilan untuk mengetahui di manakah letaknya Bora Ombak. Kelakar juga sebenarnya kerana masing-masing sebenarnya tidak tahu di mana letaknya restoran itu. Maka, tidak kemana-manalah apa yang kami bualkan di telefon. Lebih teruk, kredit Jalak kehabisan! Mujur teman yang lain masih lagi sudi untuk menelefon.

Selepas beberapa ketika, kami membuat keputusan unuk berjumpa di hadapan Hospital Ampang Puteri untuk sama-sama bergerak mencari Bora Ombak. Malah seorang daripada teman Jalak itu seakan fed up lalu meletakkan sahaja keretanya di kawasan parking Ampang point lalu menaiki kereta bersama Jalak. Mujurlah ketika berhenti menunggu di hadapan hospital tersebut, ada seorang awek sedang berjalan kaki menuju ke arah kerata Jalak. Tanpa segan silu Jalak bertanya kepadanya di manakah letaknya Bora Ombak. Kebetulan Bora Ombak terletak tidak jauh dari situ. Akhirnya kami berjaya sampai ke destinasi.

Acara sebenarnya bermula pada jam 8.00 malam namun kami hanya tiba sekitar jam 10.00 malam! Lauk-pauk serta hidangan lain pun sudah hampir kehabisan. Tidak mengapa kerana Jalak sudah seakan hilang selera untuk menjamah makanan pada waktu itu selepas terperangkap dalam perjalanan. sebelum itu, terdetik juga hati untuk patah balik sahaja pulang ke rumah tanpa menghadiri majlis tersebut tetapi mengenangkan Jalak tidak berseorangan, lalu digagahi jua usaha mencari sehingga berjaya.

Terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menunggu Jalak dan teman-teman yang lain untuk tiba sebelum mengadakan sesi bergambar beramai-ramai. Jika tidak, tak merasalah Jalak untuk di'tag' di dalam Facebook pada keesokan harinya.
Photobucket
Kredit foto oleh Mat Pi

Majlis berakhir pada jam 11.00pm. Sekejap sangat rasanya masa untuk berbual dengan sahabat-sahabat UIA yang sudah lama tak berjumpa. Ada pula yang terpaksa pulang awal kerana membawa anak kecil. Tak mengapalah, insyaAllah ada rezeki boleh kita berjumpa lagi. Next time, Jalak berharap kereta Jalak suda mempunyai Navigator!


Jalak: Menunggu t-shirt FT Rocks My World yang tak kunjung tiba..
Blog Widget by LinkWithin