Monday, October 19, 2009

Berlabuh Tirai Lebaran di Homburg

Sabtu lepas Jalak telah menghadiri rumah terbuka Kak Iu & Abang Arip di kediaman mereka di Homburg. Meskipun baru 3 hari mendarat di Bumi Hitler ini, Jalak tidak dapat menolak pelawaan mereka kerana ini sudah kali kedua mereka mengundang Jalak untuk datang ke Homburg. Lagipun mereka sekeluarga sudi datang beraya di rumah Jalak ketika berada di Malaysia tempoh hari.

Meskipun perjalanan dari Siegen ke Homburg mengambil masa selama 6 jam, lamanya tidaklah terasa sangat kerana perlu bertukar tren sebanyak beberapa kali. Jalak bersama Matnur dan Dylla sampai sehari lebih awal atas niat untuk menghulur tangan bergotong royong menyediakan apa yang patut. Selain kami, terdapat lagi sebuah keluarga iaitu keluarga Kak Azie yang turut bermalam di sana untuk meringankan beban tuan rumah pada malam sebelum berlangsungnya rumah terbuka. Malam itu kami bersama-sama meriuhkan ruang sisi dapur sambil 'membuli' tuan rumah dengan meminta itu dan ini. Ada yang ada, ada yang tiada. Yang tiada akan dibeli keesokan harinya. Ada pula menu yang ditukarganti pada saat akhir (Heheh pecah rahsia!) Mujurlah tuan rumah sporting. Layan~

Menjelang larut malam, ruang tamu yang berbentangkan tilam dan selimut pula menjadi ruih rendah dengan pelbagai cerita yang dibualkan. Jalak yang pada mulanya sudah terbaring di atas tilam terpaksa membatalkan niat untuk tidur awal selepas melihat tuan rumah mengeluarkan kerepek dan biskut raya bersama teh O panas di atas meja. Sebenarnya itulah malam pertama Jalak tidur lewat semenjak tiba dari tanahair. Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu di Jerman ini. Namun daya ketahanan mata Jalak ada batasnya. Sedang mereka yang lain masih rancak berbual, Jalak berjaya juga melelapkan mata. Terdengar jugalah sayup-sayup suara orang-orang Malaysia yang tak habis-habis bersembang.

Keesokan paginya kami semua kembali sibuk menyambung kerja-kerja yang masih belum selesai. Menjelang tengahari semua menu telah tersedia untuk dihidangkan kecuali sate dan ayam barbeku yang baru hendak mula dibakar. Berasap jugalah seantero rumah. Cuaca sejuk tidak mengizinkan pula untuk membakar sate dan ayam di luar halaman rumah. Selain sate dan ayam barbeku, antara menu lain yang disediakan termasuklah rendang daging, nasi kerabu, mi hun sup, nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh, bubur kacang durian serta cheese cake.

Tanpa segan silu, Jalak berjaya 'merasa' kesemua menu yang disediakan. Lupakan sebentar berat Jalak yang sudah naik sebanyak 5kg dek penangan hari raya tempoh hari. Sungguh kenyang tidak terkata. Itulah nikmatnya hari raya. Terima kasih kepada tuan rumah atas hidangan yang menyelerakan. Secara rasminya inilah satu-satunya rumah terbuka hari raya yang Jalak sempat hadiri di Jerman dan yang terakhir untuk sambutan hari raya pada tahun ini, adanya.

Untuk tatapan gambar, sila berkunjung ke blog tuan rumah. Jalak tak bawa kamera, melenggang bawa perut kosong saja :D

Jalak: Berat mata memandang berat lagi lemak yang dipikul.

4 comments:

  1. eikk.. 5 kg jek ke rusdy..??? releks laa.. ok lagi tuh.. kot 10kg jek bru la leh gabra2..ehehehhe

    eh.. raya last ke..? raya haji ade lagi...ha ha ha

    p/s : thanx sbb sudi berjalan jauh melepasi hutan belantara utk menuju bumi homburg yg aman permai...hehehe..

    ReplyDelete
  2. ops lupa plak ade raye haji..ade openhaus lagi ke? menariks tuu..tumbang lembu seko buat sate!

    ReplyDelete
  3. wahhhh semua citer pasal jamuan raya rumah puan Iu kita... seronok seronok..

    ReplyDelete
  4. 'wartawan' dah kenyang n puas hati..dapatla liputan meluas. kalah umah terbuke artis hehe

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin