Tuesday, October 6, 2009

Tanpa

Selepas DUA insiden yang berlaku pada hujung minggu lepas, barulah Jalak sedar akan hakikat bahawa susahnya hidup sebagai pemandu tanpa GPS mahupun Google Map terutamanya ketika meredah jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan juga Lembah Klang. Sebetulnya kedua-dua insiden tersebut amat berbeza sekali jalan ceritanya.

Insiden pertama berlaku ketika Jalak berkunjung ke rumah seorang sahabat di Kota Damansara. Sebelum bertolak, sedari awal lagi Jalak sudah mendapatkan alamat destinasi yang bakal Jalak kunjungi daripada sahabat tersebut. Ternyata apa yang tertera di Google Map ada 99% betulnya. Walaupun memandu keseorangan pada waktu malam, Jalak akhirnya berjaya sampai ke destinasi yang sepatutnya. Tidak dinafikan, ada beberapa kali Jalak tersilap masuk jalan namun berjaya juga kembali ke landasan yang betul dengan merujuk kembali panduan yang tertulis pada kertas yang dibawa di dalam kereta. Bahaya juga sebenarnya kerana Jalak memandu sambil membaca panduan pada kertas tersebut. Mujur tiada sebarang perkara buruk yang berlaku.

Photobucket
Menikmati ABC yang marvelous di Shah Alam!

Insiden kedua pula berlaku pada malam keesokannya. Dari Kota Damansara, Jalak perlu menghadiri sebuah majlis Reunion di Bora Ombak, Ampang. Jujurnya acapkali juga Jalak mendengar tentang tempat itu namun belum pernah lagi Jalak berkunjung ke situ sebelum ini. Setelah melihat Google Map, Jalak dapati restoran tersebut terletak berdekatan kurang lebih 0.3km sahaja dari Ampang Point. Jadi, tidak pula Jalak merajinkan diri print direction ke sana. Malangnya setibanya di Ampang Point, Jalak berlegar-legar hampir sejam mencari-cari di manakah letaknya Bora Ombak. Ditambah pula dengan kesesakan lalulintas pada waktu perdana, ternyata ia lebih merumitkan keadaan. Jalak bersama dua orang lagi teman yang masing-masing memandu kereta yang berasingan saling berbalas panggilan untuk mengetahui di manakah letaknya Bora Ombak. Kelakar juga sebenarnya kerana masing-masing sebenarnya tidak tahu di mana letaknya restoran itu. Maka, tidak kemana-manalah apa yang kami bualkan di telefon. Lebih teruk, kredit Jalak kehabisan! Mujur teman yang lain masih lagi sudi untuk menelefon.

Selepas beberapa ketika, kami membuat keputusan unuk berjumpa di hadapan Hospital Ampang Puteri untuk sama-sama bergerak mencari Bora Ombak. Malah seorang daripada teman Jalak itu seakan fed up lalu meletakkan sahaja keretanya di kawasan parking Ampang point lalu menaiki kereta bersama Jalak. Mujurlah ketika berhenti menunggu di hadapan hospital tersebut, ada seorang awek sedang berjalan kaki menuju ke arah kerata Jalak. Tanpa segan silu Jalak bertanya kepadanya di manakah letaknya Bora Ombak. Kebetulan Bora Ombak terletak tidak jauh dari situ. Akhirnya kami berjaya sampai ke destinasi.

Acara sebenarnya bermula pada jam 8.00 malam namun kami hanya tiba sekitar jam 10.00 malam! Lauk-pauk serta hidangan lain pun sudah hampir kehabisan. Tidak mengapa kerana Jalak sudah seakan hilang selera untuk menjamah makanan pada waktu itu selepas terperangkap dalam perjalanan. sebelum itu, terdetik juga hati untuk patah balik sahaja pulang ke rumah tanpa menghadiri majlis tersebut tetapi mengenangkan Jalak tidak berseorangan, lalu digagahi jua usaha mencari sehingga berjaya.

Terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menunggu Jalak dan teman-teman yang lain untuk tiba sebelum mengadakan sesi bergambar beramai-ramai. Jika tidak, tak merasalah Jalak untuk di'tag' di dalam Facebook pada keesokan harinya.
Photobucket
Kredit foto oleh Mat Pi

Majlis berakhir pada jam 11.00pm. Sekejap sangat rasanya masa untuk berbual dengan sahabat-sahabat UIA yang sudah lama tak berjumpa. Ada pula yang terpaksa pulang awal kerana membawa anak kecil. Tak mengapalah, insyaAllah ada rezeki boleh kita berjumpa lagi. Next time, Jalak berharap kereta Jalak suda mempunyai Navigator!


Jalak: Menunggu t-shirt FT Rocks My World yang tak kunjung tiba..

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin