Aduh..nikmat sungguh lebaran kali ini di rumah Wan di Kampung Felda LBJ. Semestinya saban tahun seluruh keluarga belah abah Jalak akan pulang ke kampung untuk berkumpul beramai-ramai menyambut lebaran bersama-sama. Saban tahun jugalah masalah bekalan air melanda Felda LBJ apatah lagi pabila tibanya musim perayaan kerana masing-masing pulang ke kampung untuk berhari-raya.
Bayangkanlah, sempena musim perayaan ini, pelbagai jenis juadah tercerna di dalam perut maka ketiadaan bekalan air adalah sesuatu yang azab! Selalunya kami semua akan ke surau terdekat untuk menyempurnakan hajat, malah ada juga yang membawa tuala dan sabun untuk mandi!(Pelik juga, surau tak pernah putus bekalan airnya). Dek kerana permasalahan ini juga, ramai cucu Wan termasuklah Jalak memilih untuk pulang bermalam di rumah masing-masing pada malam pertama mahupun kedua raya. Memanglah tak jauh, tapi agak leceh juga perlu berulang-alik padahal waktu malam lah paling best untuk lepak beramai-ramai bersama saudara-mara yang lain.
Ajaibnya, lebaran kali ini TIADA langsung masalah bekalan air yang melanda! Bekalan air sentiasa ada 24 jam. TIADA lagi rungutan makcik-makcik untuk memasak serta membasuh pinggan. TIADA lagi rungutan cucu-cucu Wan yang mengadu susah nak mandi serta melepaskan hajat. TIADA lagi cucu-cucu Wan yang ALIM kerana kerap ke surau. Juga TIADA lagi kelibat Wan yang terjaga pada malam hari semata-mata untuk menadah air ke dalam tangki besar di belakang rumah. (Ironinya bekalan air selalu ada pada waktu tengah malam sahaja)
Selesai sudah masalah air. Satu lagi rungutan oleh cucu-cucu Wan saban tahun; TIADA hiburan di rumah Wan. Jangankan ASTRO, siaran TV biasa pun susah nak dapat! Sebenarnya rumah Wan Jalak ini sudah bolehlah dikategorikan sebagai rumah tinggal. Kami semua pulang ke sini pada musim perayaan sahaja. Bukan apa, sudah tidak selamat lagi untuk Wan tinggal di sini berseorangan. Rumah Wan pun sudah beberapa kali dimasuki pencuri. Dek kerana itulah tiada lagi peralatan hiburan seperti televisyen di dalam rumah. Rumah sebelah pula sudah macam hutan belantara. Sudah tiada lagi penghuni.
Untuk lebaran tahun ini, cucu-cucu Wan masing-masing membawa gadgets sendiri untuk mengisi kebosanan yang melanda tatkala berhari-raya di rumah Wan. Ada yang membawa Apple Mac, PSP, iPod 3G serta TV. Jalak pula membawa set lengkap Wii serta longgokan filem-filem Melayu yang dimuaturun ke dalam cakera keras Netbook. (Macam mana orang Jerman lebih advance tengok filem Melayu daripada orang Malaysia ni?)Kebetulan pula tahun ini siaran televisyen langsung tidak kedapatan. Maka terasinglah kami dari sebarang rancangan menarik sempena hari raya di kaca televisyen. Mujurlah gadgets yang dibawa berjaya mengisi masa kualiti kami semua di sini. Bagaikan tidak percaya, kami berjaya menetap di rumah Wan sehingga hari raya yang ketiga tanpa pulang ke rumah masing-masing pada malam harinya! Sememangnya pencapaian yang harus dibanggakan. Terasa masa berlalu begitu cepat! Wan pun nampak happy tatkala melihat cucu-cucu tersayang sentiasa berada di sisi :D
Seperti biasa, usai solat Raya dan menziarah kubur, kami semua bersiap sedia untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan antara satu sama lain sambil menghulurkan duit raya. Sementara menanti semua ahli keluarga tiba, kami sempat mengadakan sesi fotografi ringkas.
Famili Hj Yaacob dan Hjh. Ruslia
cucu-cucu yang kuat menyakat Wan!
cucu-cucu yang rajin di dapur
Seperti biasa juga, sesi bermaaf-maafan ini dimulakan dengan ahli keluarga yang lebih berusia kepada yang lebih muda hinggalah ke peringkat kanak-kanak. Paling seronok pada waktu ini tentulah cucu-cucu Wan yang akan terisi poket masing-masing dengan duit raya. Zaman Jalak untuk menikmati saat-saat itu sudah lama berlalu. Namun Jalak masih menerima angpau daripada kedua-dua abang Jalak.
Menariknya tahun ini Jalak sempat merakam sedikit aksi ketika sesi bermaaf-maafan bersalam-salaman dan juga berpeluk-pelukan sedang baru bermula. Jangan terkejut, inilah kenyataan yang berlaku setiap tahun pada pagi raya. Jalak pun mudah tersentuh pabila tibanya sesi sebegini tetapi Jalak sudah bijak mengawal emosi. Mungkin juga kerana Jalak sudah bisa berdiri di atas kaki sendiri tanpa menyusahkan mak dan abah terutamanya dari aspek kewangan. Jika dahulu, air mata Jalak akan berjuraian tatkala bersalaman dengan mak dan abah pabila mengenangkan pahit jerih mereka menanggung Jalak ketika masih belajar. Sayu jugalah pabila berada dalam dakapan mak dan abah..
Pada ketika inilah masing-masing bersedia untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati..perihal keluarga, perihal anak-anak :(
Lain pula kisahnya dengan rakaman video yang seterusnya ini. Tanpa disedari, sepupu Jalak turut membuat rakaman menggunakan kameranya yang kecil. Usai sesi bersalam-salaman, beliau menunjukkan rakaman tersebut kepada semua ahli keluarga yang lain. Maka riuhlah satu rumah dengan hilai ketawa pabila melihat gelagat masing-masing ketika dirakamkan. Sepatutnya sesi ini serius, alih-aih kelakar pula jadinya!
Ada yang cakap Jalak macam tok kadi. Betul ke? LOL
Demikianlah berahirnya kisah lebaran penuh kenikmatan pada tahun ini sepanjang berada di kampung. Walaupun sebentar, namun kenangannya akan terus terpahat sampai bila-bila. Semoga tradisi yang mulia ini akan berkekalan sehingga ke generasi yang seterusnya, amin!
Jalak: Puas tergelak apabila ada yang mengadu lenguh tangan bermain Wii muahaha!
Friday, September 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wah, besar n meriahnya keluarga jalak...-neny
ReplyDeletebeso beso..kalo wat makan2 mau seperiuk beso..
ReplyDelete