Hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa. Mulai hari ini juga, Jalak akan mulai sibuk mempersiapkan diri untuk berhari raya. Semalam pula Jalak sempat ke Nilai 3 untuk memborong beberapa jenis biskut raya. Tak banyak pilihan sebenarnya tapi nak buat macam mana, mahu ke Jalan TAR malas lah pula. Lagipun Jalak dah beli baju Melayu di sana pada tahun lepas, jadi alasan membeli biskut raya saja tak cukup kuat untuk menggagahkan diri Jalak mengharungi kesesakan lalulintas di jalan TAR itu. Oh ya, tahun ini Jalak akan pakai baju Melayu tahun lepas saja.
Hari ini pula kami sekeluarga serta saudara mara terdekat akan bergotong royong membakar lemang dan memasak rendang untuk hidangan pada pagi raya nanti. Kesemuanya akan berkumpul di rumah makcik yang terletak bersebelahan dengan rumah Jalak saja. Tidak seperti tahun lepas, kami hanya akan pulang ke kampung selepas selesai kerja-kerja memasak di sini. Lagipun bukan jauh mana pun Felda LBJ tu, tak sampai 20 minit perjalanan.
Raya tahun ini lebih bermakna kerana semua ahli keluarga Jalak beraya di sini bersama-sama. Tahun lepas abang Jalak beraya di rumah mertua di Perak, kali ini dia dan isteri beraya di sini pula. Seronok! :D
Malam ini Jalak akan sibuk mengisi duit raya ke dalam angpau. Jujurnya Jalak masih belum membuat list lagi. Duit tukar (keping RM1) pun Jalak hanya akan dapat hari ini daripada pakcik Jalak yang bekerja di Bank Negara. Angpau kosong pun belum cari lagi. Kesimpulannya Jalak akan sibuk sakan lah pada hari ini. Sandal raya pun masih belum dibeli. Semalam di Nilai 3 ada juga tengok-tengok dan ada juga yang berkenan di hati. Tapi harganya bukan kecil anak. Petang nanti jika ada masa Jalak mahu ke kedai kasut Jukebox di pekan Nilai untuk membeli sandal baru. Yang murah sudahlah, tak mahu membazir.
Baiklah, pada kesempatan ini Jalak dengan penuh rendah diri ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf andai kata Jalak pernah terkasar bahasa atau mengguris hati sesiapa sahaja dalam Jalak berbicara. Juga di atas sebarang kekhilafan yang berlaku samada sedar atau pun tidak. Semgoa lebaran ini memberikan seribu pengertian dan mendekatkan lagi diri kita kepada Yang Maha Esa.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR & BATIN
Jalak: Masih terjaga dari waktu sahur tadi. Tak sabar nak masak lemang serta menanti hari esok!
Saturday, September 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment