Thursday, April 9, 2009

Di Kayangan Kita

Seolah-olah berada di puncak kayangan! Itulah perasaan yang terdetik apabila buat kali pertama Jalak menjejakkan kaki ke Schloss Neuschwanstein, Fussen yang jauhnya kurang lebih 2 jam menaiki kerata api dari bandar Munich. Tatkala menjejakkan kaki ke kaki gunung yang seolah-olah 'dimahkotakan' oleh istana persis yang terdapat dalam 'fairy tale' ini, mata terkedu sambil hati melonjak kegembiraan. Tidak sabar rasanya untuk terbang ke puncak.
Photobucket
Pilihan yang disediakan untuk sampai ke puncak adalah dengan menaiki bas, kereta kuda atau pun berjalan kaki. Disebabkan kesuntukan masa dan kasihankan si kecil Aina (alasan kukuh untuk tidak menapak), Jalak dan teman-teman memilih untuk menaiki bas. Akan tetapi, bas hanya berhenti di perhentian Mary's Bridge di mana selepas itu Jalak terpaksa menapak selama 15 minit untuk sampai betul-betul di hadapan pintu istana.
Dalam perjalanan menyusuri denai kecil ke pintu istana, Jalak dapat melihat pemandangan yang sangat cantik. Kelihatan sebuah tasik yang dilindungi oleh banjaran Alps Bavaria yang setia berdiri. Keadaan yang bersalji sedikit sebanyak menambah perasa pada gambar di bawah ini. Begitu indah ciptaan Maha Pencipta seisi alam!
Photobucket
Di sini Jalak ingin berkongsi satu fakta yang menarik terutama jika anda pernah ke Disneyland. Rekebentuk Schloss Neuschwanstein pernah menjadi sumber inspirasi kepada pembinaan 'Sleeping Beauty Castle' yang tesergam indah di Disneyland. Istana ini dibuka untuk lawatan pelancong pada tahun 1886 selepas kematian King Ludwig II, orang yang bertanggungjawab terhadap idea pembinaan istana ini. Malah beberapa filem hebat juga pernah menjalani penggambaran di sini.
Photobucket
Rekabentuk dalaman istana ini juga sangat menarik terutamanya bilik-bilik pernah digunakan oleh King Ludwig II. Malangnya pelancong tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar atau video ketika lawatan di dalam ruang istana. Apa boleh buat,itu saja hak eksklusif mereka.
Satu lagi tempat menarik untuk dilawati jika ke sini ialah Mary's Bridge yang terletak tidak jauh dari perhentian terakhir bas itu tadi.
Photobucket
Ini kali pertama Jalak dapat berjalan di atas jambatan yang menghubungkan dua buah gunung dan di bawahnya terdapat sungai yang mengalir berpunca dari air terjun dari kawasan tadahan gunung.
Photobucket
Meskipun pada awalnya perasaan gayat menghantui diri, Jalak gagahi jua memikirkan bilakah lagi agaknya Jalak akan dapat merasai pengalaman seperti ini pada masa hadapan. Ternyata keberanian Jalak berbaloi kerana Jalak dapat menikmati sebuah lagi pemandangan yang cukup menarik dari atas jambatan ini. Dapat dilihat di sini ialah bahagian istana yang tidak sempat untuk disiapkan selepas kematian King Ludwig II. Sememangnya pembinaan istana ini tidak sempurna sehingga sekarang dan mungkin juga pada masa akan datang untuk mengekalkan nilai sejarahnya yang tersendiri.
Photobucket
Untuk ke bawah, Jalak dan teman-teman mengambil keputusan untuk menunggang kereta kuda. Bayarannya tidaklah semahal tambang untuk naik ke atas. Jalak sempat merakam video ini khas untuk diabadikan dan dikongsi bersama anda semua. Jika anda datang ke Jerman atau sedang berada di negara ini, Jalak syorkan anda untuk menjejakkan kaki ke sini kerana Jalak pasti hati anda akan terpaut dengan nilai estetikanya yang tersendiri. BENAR..!


Jalak: harapan setinggi gunung..

1 comment:

Blog Widget by LinkWithin