Thursday, April 30, 2009

Laskar Pelangi

Dalam perjalanan pergi dan balik dari Frankfurt siang tadi, Jalak sempat menghabiskan masa menonton sebuah filem yang telah mencetuskan fenomena LUAR BIASA di negara jiran iaitu Laskar Pelangi. Sebenarnya sudah lama Jalak menantikan kewujudan filem yang diadaptasikan dari novel nukilan Andrea Hirata ini di alam cyber. Walaupon tidak dihidangkan dengan subtitle, ia tidak menghalang Jalak untuk menghayati setiap watak dan babak di sebalik cerita ini.

Filem ini mengisahkan liku-liku kehidupan sekumpulan kanak-kanak dari keluarga yang sangat miskin menuntut hak mereka untuk menimba ilmu tanpa perlu disogok dengan unsur-unsur materialistik seperti rakan-rakan mereka yang lain di sekolah yang lebih elit. Turut memaparkan cabaran 2 orang guru yang ikhlas menabur bakti untuk kanak-kanak yang malang ini tanpa mengenal erti kebendaan. Kumpulan kanak-kanak ini digelar LASKAR PELANGI.

Dalam filem ini Jalak tertarik dengan watak 3 orang kanak-kanak yang mempunyai keistimewaan dalam bidang yang berbeza. Ikal, seorang yang sentimental dan romantik serta pandai berpuisi. Lintang, seorang cerdik pandai dalam matematik manakala Mahar, seorang yang berbakat dalam bidang seni. Mahar menambahkan perisa jenaka pada filem ini menerusi idea-ideanya yang gila-gila itu.

Bagi Jalak, banyak sekali babak-babak yang memberi kesan mendalam pada diri Jalak. Kadang-kadang Jalak tersenyum sendiri, ketawa terkekeh-kekeh dan tidak kurangnya hampir-hampir menitiskan air mata.

Sememangnya Jalak tidak menyesal untuk menantikan filem ini setelah sekian lama. Memang berbaloi untuk ditonton terutamanya bagi sesiapa yang mengerti apa itu seni di sebalik nilai komersil dalam sesebuah filem.



Jalak: InsyaAllah akan turut bergelar pendidik suatu hari nanti

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin