Sengaja Jalak samakan tajuk entri kali ini dengan artikel yang pernah dipaparkan dalam akhbar Berita Mingguan beberapa bulan yang lalu mengenai bandar Salzburg yang juga dikenal sebagai "The Mozart's City", tanah tumpahnya darah pemuzik lagenda ini. Tidak dinafikan Jalak tergerak hati untuk bercuti ke Salzburg selepas terbaca artikel tersebut memandangkan jaraknya tidak jauh dari bandar Munich yang bakal Jalak kunjungi ketika itu. Tambang keretapinya pun amat berpatutan jika berjalan dalam kumpulan seramai 5 orang dengan menggunakan "Bayern Ticket" berharga Euro 28 sahaja!
Mungkin di sini sahaja salji yang tertinggal memandangkan musim sejuk sudah berlalu memberi laluan kepada musim bunga. Walaubagaimanapun, pemandangannya tetap menarik!
Jalak cadangkan untuk mereka yang bakal menjejakkan kaki ke Salzburg untuk mendapatkan "Salzburg Card" yang melayakkan mereka untuk masuk ke tempat-tempat menarik dan menggunakan pengangkutan awam dengan PERCUMA! Akan tetapi, sayang sekali kerana ketika kunjungan Jalak ke sana, perkhidmatan kereta kabel dan "sightseeing boat" belum lagi bermula atau sedang dalam proses maintenance. Perkhidmatan kedua-duanya dijadualkan berjalan seperti biasa mulai 4 April 2009 sedangkan Jalak berada di Salzburg pada 2 April 2009. Sayang sayang sayang~~...
Walaubagaimanapun, pembelian "Salzburg Card" tetap berbaloi memandangkan tempat-tempat lain pun tidak kurang menariknya.
Hohensalzburg Fortress" yang terletak di atas bukit. Jalak berpeluang menaiki "Festung Bahn"(cable railway) untuk naik ke atas.
Menjejakkan kaki ke sini menggamit memori Jalak ketika berada di Alhambra. Bezanya,"Hohensalzburg Fortress" tidaklah sebesar dan segah Alhambra namun Jalak tetap dapat menikmati panorama indah kota Salzburg dari puncak bukit.
Terima kasih kepada kamera digital Jalak yang dilengkapi dengan tilted LCD kerana merealisasikan angle view seperti ini.
Satu lagi pemandangan dari sisi lain, sebuah rumah kecil di tengah-tengah padang. Unik!
Jalak juga sempat menjejakkan kaki ke "Hellbrunn:Palace and Trick Fountains". Disebabkan kesuntukan masa, Jalak terpaksa mengorbankan kunjungan ke istana dan memberi tumpuan ke "Trick Fountains" kerana ia lebih menarik dan sesuatu yang agak baru dalam profil lawatan Jalak setakat ini. Disebabkan faktor ini juga, Jalak akan membuat satu entri khas untuk "Trick Fountains" ini. Tatapi gambar ini dahulu.
Salah satu trick fountain yang terdapat di sini.
Dalam pada itu, sementara menunggu giliran untuk melihat sendiri persembahan trick fountain, Jalak meluangkan masa menikmati pemandangan indah sebuah taman berdekatan. Terdetik persoalan di fikiran, apakah yang dimaksudkan dengan simbol-simbol yang dibentukkan ini??
Anda sendirilah yang tafsirkan menggunakan imaginasi anda sendiri.
Terdapat juga sebuah zoo yang letaknya tidak jauh dari Hellbrunn. Hanya dengan berjalan kaki sahaja sudah sampai. Antara binatang pelik yang Jalak sempat 'berkenalan' ialah sejenis kambing yang berasal selatan Amerika ini.
Memang lain daripada kambing-kambing yang pernah Jalak lihat! Senang cakap, lebih comel lah. Jalak turut sempat pegang bulu kambing ini, tebal dan macam karpet!
Satu lagi fakta yang Jalak perolehi daripada lawatan di zoo ini adalah mengenai sikap pelik burung Flamingo. Cuba anda lihat gambar di bawah ini dan teka apa yang sedang cuba dibuktikan oleh burung ini?
Bagi yang teka "Tidur", ya betul! Trivia: Burung Flamingo tidur sambil mengangkatkkan sebelah kakinya!
Satu lagi yang Jalak perasan, selepas berendam di dalam air, warna pink pada bulu Flamingo akan lebih teserlah.
Akhir sekali, tidak sah sekiranya tidak berkunjung ke "Mozarts Geburtshaus", tempat lahirnya pemuzik tersohor ini. Walaupun tidak dapat masuk ke rumah ini, cukuplah sekeping gambar di luar sahaja buat bingkisan pada kemudian hari.
Demikian berakhirnya rentetan tempat-tempat menarik yang sempat Jalak kunjungi ketika berada di Salzburg. Jika diikutkan, lebih banyak lagi tempat-tempat menarik yang harus Jalak kunjungi tetapi memandangkan masa seringkali cemburu, terpaksalah Jalak buat-buat pejam mata sahaja kerana terpaksa bergegas pulang ke Munich sebelum malam menjadi lebih kelam.
Jalak: Sudah melihat banjaran Alps dari Germany, Switzerland dan Austria. Italy bila lagi?
Sunday, April 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment