Monday, June 8, 2009

Rehlah Kubra (Hari ke-6)

Hari ini merupakan hari kedua di Mersa Matrouh. Kami keluar agak lewat sedikit pagi ini kerana malam tadi kepenatan berjalan hingga ke larut malam.

Destinasi pertama hari ini adalah Agiba Beach manakala motif utama pula tidak lain tidak bukan, untuk mandi manda sepuas-puasnya. Sedari awal lagi Jalak sudah pukul canang untuk melepaskan gian mandi laut di sini.
Photobucket

Subhanallah, setibanya Jalak di lokasi tersebut, mata terpegun, hati bergoncang melihat keindahan lautan yang sungguh jernih diselaputi pelbagai warna! Tidak tergambar betapa terujanya perasaan Jalak ketika itu. Terasa perjalanan berbatu-batu jauhnya dari Bandar Kaherah sungguh tidak sia-sia.
Photobucket

Kami terpaksa menyusuri denai di sepanjang tebing bukit untuk mencari lokasi yang sesuai untuk mandi-manda.
Photobucket

Setelah penat berjalan merentasi pasir yang agak jerlus serta permukaan bumi yang berbatu-batu, akhirnya kami menjumpai sebuah kawasan yang cun untuk dijadikan sasaran. Malang sekali, apabila beg pakaian dibuka, ada sesuatu yang penting ketinggalan!! Aduh mak, Jalak tertinggal seluar pendek yang diletakkan di dalam beg plastic berasingan di dalam kereta! Lantas Jalak mencapai kunci kereta daripada Ustaz Li lalu tangkas berlari menuju ke kereta. Jalak mengambil jalan singkat dengan tidak melalui laluan yang dibuat untuk para pengunjung sebaliknya mendaki tebing bukit yang berbatu-batu.

Huh, akhirnya sampai balik Jalak ke tempat mandi tersebut. Tanpa mengendahkan nafas yang masih tercungap-cungap, Jalak terus menyalin pakaian dan terjun ke dalam air. Perghh..air yang jernih jangan disangka cetek! Turun sahaja dari batu, sudah tahap dada! Mujur Jalak tahu berenang.
Photobucket

Lagipun terdapat sekumpulan orang Arab yang turut mandi-manda di situ. Ya, seperti biasa mereka sangat peramah. Siap ajak Jalak untuk main terjun-jerun dari atas batu di kawasan yang satu lagi. “Ta’al..ta’al,” katanya. “Ba’da..ba’da,” jawab Jalak.
Photobucket
Mereka inilah yang Jalak maksudkan tadi. Pakcik itu menepuk bahu Jalak sambil berkata "hebat budak ni main terjun-terjun tadi" hahah begitulah lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu.


Kawasan ini juga sebenarnya turut dikenali sebagai 7 Layers Sea. Mungkin dek kerana 7 lapisan warna yang kelihatan pada permukaan laut ini.


Setelah puas bermain, kami terpaksa berangkat pulang memandangkan masih ada lagi tempat lain yang harus dikunjungi untuk hari ini. Sesudah menyalin pakaian, barulah Jalak tersedar yang tapak tangan Jalak sudah tercalar.
Photobucket
Sungguh tidak Jalak sedari bila dan di mana kemalangan itu berlaku. Mungkin kerana terlalu asyik menikmati kejernihan dan kesejukan air laut ketika mandi-manda sebentar tadi.

Destinasi kedua pula adalah Cleopatra Beach di mana turut terletaknya Hamam Cleopatra, tempat beliau mandi di tepi laut.
Photobucket
Tidak ramai lagi pelancong yang berkunjung ke sini pada waktu itu memandangkan air laut masih lagi surut.
Photobucket

Jalak dikhabarkan pengunjung lebih gemar datang ke sini selepas Asar memandangkan panasnya matahari tidaklah terlalu terik dan air laut mulai pasang.
Photobucket

Hamam Cleopatara betul-betul terletak di kawasan persisiran pantai. Di kala air laut sudah mulai pasang, air akan mula membanjiri kawasan Hamam tersebut.




Kami melupakan hasrat untuk mandi-manda di sini kerana destinasi seterusnya juga merupakan sebuah pantai yang sangat molek untuk aktivit mandi-manda. Jika tidak, boleh hitam legam kulit Jalak mandi laut TIGA kali di TIGA tempat yang berbeza dalam satu hari! Silap haribulan boleh demam.

Tempat mandi yang Jalak maksudkan adalah Pantai El-Gharam. Pantai ini paling sesuai dan selamat untuk mandi-mandi bagi segenap lapisan umur termasuk kanak-kanak. Airnya bersih lagi kehijauan dan dalamnya juga boleh tahan jika makin ke tengah.
Photobucket

Di sini juga terdapat pelbagai aktiviti sukan air seperti bot kayuh, jet ski dan juga bot laju. Bagi melengkapkan profil kunjungan kami ke sini, kami berpeluang menaiki sebuah bot laju selama 30 minit.


Kebiasaannya bot seperti ini membawa penumpangnya memacu laju sehingga ke kawasan berhampiran Cleopatra Beach tetapi memandangkan kami sudah pon ke sana sebentar tadi, pemandu bot itu membawa kami menyusuri kawasan berhampiran pantai yang terdekat sahaja. Dapatlah melihat pelancong-pelancong lain yang sedang mandi-manda di tepi pantai sambil kami melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Perasan macam 'Amr Diab lah pula, penyanyi kelahiran Mesir yang tersohor itu.


Photobucket
Masjid ini dinamakan "Floating Mosque" kerana ia seakan-akan terapung jika dilihat dari tengah laut

Sebelum pulang ke apartment, kami singgah di restoran KFC untuk membeli Family Meal (12 pieces) yang berharga Cuma LE 84. Sengaja Jalak sebutkan harga di sini kerana 1 Euro = LE 7.74 HeHe murah kan?! Nampaknya kami makan malam bersama lauk ayam KFC sahajalah malam ini.
Photobucket

Selepas Maghrib, kami berkunjung ke Pasar Libya’ yang terletak tidak jauh dari pekan Matrouh. Jalak tidak membeli barang lain kecuali beberapa kotak kurma yang berintikan coklat dan badam sahaja.
Photobucket
Sememangnya kurma berintikan coklat sangat terkenal di pasar ini manakala kurma yang lain pula harganya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan yang dijual di Kaherah.

Sebelum pulang, Jalak masih lagi sempat meneguk segelas air tebu di kedai berhampiran kawasan parking. Aduh..badan sudah mulai rasa sengal-sengal dan kulit Jalak sudah makin kehitaman.

Jalak: Biar hitam kulit, jangan gelap hati

4 comments:

  1. ko membuat chenta aku pada mesir dan trip ke mesir membuak2.. ko memang penulis yang bagus! aku kalau nak menulis memang poyo nanti jadinya.. hehehe.. (ntah bila)

    btw, aku belum baca betul2 lagi smua rehla kubra ni.. on the way.. :D

    ReplyDelete
  2. tempat2 kat Mesir memang dah best, so mudahlah kerja aku nak mencantikkan laporan aku kali ni :D

    ReplyDelete
  3. Cantiknya Mesir..rasa mcm nak pegi jugak la..

    ReplyDelete
  4. disyorkan sangat2 pergi..memang tak rugi.macam2 pengalaman berbeza2 di setiap tempat dalam Mesir.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin