Hari ini merupakan hari terakhir untuk berjalan-jalan di bumi Mesir ini. Kami terpaksa keluar seawal 7.30 pagi kerana OBAMA berada di Kaherah hari ini. Dek kehadiran pemimpin berpengaruh itu, Mesir diisytiharkan cuti sehinggakan exam penuntut-penuntut Al-Azhar pun ditangguhkan. Tahniah!
Kelihatan banyak polis di setiap penjuru jalan di Bandar Kaherah. Mujurlah perjalanan ke Fayoum agak lancar kerana jalan-jalan tertentu masih belum ditutup kepada kenderaan awam.
Setibanya di pekan Fayoum, Jalak dibawa melihat replika kincir air Nabi Yusuf a.s. Pada zaman dahulu, Nabi Yusuf a.s telah mencipta ratusan kincir air di serata Fayoum ini untuk menyalurkan air ke daerah yang lebih tinggi.
Jalak berasa sedikit murka melihat sampah sarap yang melekat di celah-celah kincir air tersebut. Sungguh memalukan! Walaubagaimanapun Jalak beruntung kerana kincir air ini masih beroperasi dengan baik kerana sebelum ini ada pelajar yang pernah ke sini mendapati kincir air tersebut tidak lagi berpusing.
Kemudian Jalak dipandu oleh Ustaz Li ke satu tempat di mana terletaknya 7 mata air.
Jalak dimaklumkan bahawa sumber air ini mengandungi zat-zat yang bagus untuk kesihatan. Malah saintis dari Singapura turut mengambil sample air ini untuk dibawa pulang bagi membuat analisis dalam bidang perubatan.
Jalak turut berpeluang untuk minum air ini, rasanya biasa sahaja. Malangnya bukan bidang Jalak untuk bereksperimentasi tentang perkara seperti ini.
Di Fayoum juga terdapat berekar-ekar ladang penanaman mempelam. Keterujaan Jalak tersekat apabila mengetahui bahawa musim buah-buahan ini masak ranum adalah pada bulan Julai! Aduh..hati terasa berkecamuk. Apa boleh buat? Jalak beli sahaja mempelam muda yang ada dijual sebanyak 3 kilo. Jadilah daripada tiada..
Destinasi seterusnya adalah Qasr Qaroun yang telah ditelan bumi. Bayangkan sebuah kota yang gah telah bertukar menjadi seperti padang jarak padang tekukur. Itulah akibatnya bagi yang angkuh serta tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah.
Masih boleh dilihat kesan-kesan timbunan
Yang kelihatan di kawasan ini hanyalah sebuah istana di mana Qaroun pernah menyimpan harta benda serta emas-emasnya. Akan tetapi, hanya separuh daripada istana ini yang kelihatan manakala separuhnya lagi berada di bawah genggaman tanah.
Perjalanan pulang dari Qasr Qarun terdapat ladang anggur di sepanjang kiri dan kanan jalan. Kami singgah sebentar di salah satu daripadanya untuk melihat sendiri gugusan buah anggur yang tergantung di pokok.
Niat di hati ingin juga membeli buah ini segar dari ladang, malang sekali lagi 2 minggu barulah anggur-anggur ini boleh dipetik. Kecewa lagi lah nampaknya.
Meninggalkan ladang anggur, kami meneruskan perjalanan ke Wadi El Rayan, kawasan berair di tengah-tengah padang pasir. Bayangkan selepas 16 km jauhnya perjalanan merentasi padang pasir, terdapat sebuah kawasan tadahan air yang sangat luas persis laut yang tidak berombak.
Subhanallah..inilah bukti kehebatan Maha Pencipta. Setibanya di sini, kami menyewa sebuah meja berbumbung untuk makan tengahari yang dibekalkan oleh Ustaz Li.
Sambal belacan terbaek tetap ada!
Bertambah menariknya di Wadi El Rayan ini kerana terdapat air terjun yang mengalir menuju ke kawasan tadahan itu tadi. Air terjun di padang pasir?!
Jalak benar-benar teruja tetapi berasa sedikit ralat kerana tidak membawa baju dan seluar ekstra untuk mandi-manda.
Bukannya apa, melihatkan pengunjung-pengunjung lain enjoy sakan sambil main terjun-terjun, hati siapa yang tidah luluh bukan? Sabar saja lah. Air terjun tetap ada di Malaysia, cuma uniknya di sini kerana ia terletak di kawasan padang pasir.
Letih Jalak melihat gelagat yang berseluar oren itu. Bab tolak orang nombor satu, tunggu punya lama baru dia betul-betul terjun! HAHAHA
Walaupun kami mula berjumpa di atas jalan raya on the way ke sini, mereka masih cam lagi muka kami. Patutlah mereka bersikap ramah dengan kami.
Dalam perjalanan keluar dari Wadi Al-Rayan, kami singgah sebentar di pinggir jalan untuk merasai pengalaman berada di atas padang pasir yang mempunyai pasir yang sangat halus.
Tatkala angin bertiup, maka beterbanganlah pasir-pasir itu ke badan dan muka Jalak. Mujurlah ada sunglasses.
Kami turut singgah sebentar di tepi jalan raya utama untuk melihat dengan lebih dekat Tasik Qarun yang masin seperti air laut itu. Hanya Allah WST sahaja yang tahu di sebalik masinnya air tasik ini.
Setelah puas menikmati pemandangan indah di sini, kami berangkat pulang ke Kaherah. Sebelum itu, kami singgah di kedai yang berhampiran untuk meneguk air sejuk memandangkan bahang berada di padang pasir masih lagi terasa.
Alangkah nikmatnya Jalak apabila dapat meneguk dua botol kecil jus mangga yang sejuk! Ikutkan mahu membeli botol yang besar tetapi tiada pula dijual di kedai itu.
Tibanya di Kaherah, Ustaz Li menghantar Jalak ke kawasan berdekatan pasar Khan Khalili. Memandangkan esok hari Jalak sudah mahu berangkat pulang ke Jerman, masih ada lagi item-item dalam senarai yang masih belum dibeli. Jalak turut ditemani oleh Huzir dan Syakir.
Sebelum ke pasar, kami menziarah serta bersolat di Masjid Al-Azhar yang terletak berdekatan.
Perpustakaan kecil di dalam Masjid Al-Azhar
Di pasar Khan Khalili, Jalak membeli jubah buat mak, abah serta abang Jalak. Tidak dilupakan untuk Jalak sendiri. Mujurlah wang tunai masih lagi berada di tangan. Di sini rasanya tiada perkhidmatan kredit kad. Selesai membeli item-item yang diperlukan, Jalak sempat menikmati air tebu buat kali terakhir sebelum bertolak balik ke Malaysia Hall.
Setibanya di Malaysia Hall, Jalak turun ke café untuk menikmati mi goreng mamak juga buat kali terakhir di sini. Jalak cuba membayar harga untuk sepinggan mi tadi, tetapi ditolak dengan baik oleh pekerja di kaunter pembayaran. Alhamdulillah rezeki jangan ditolak. Sebenarnya pekerja yang Jalak maksudkan itulah yang menumpangkan Jalak bermalam di biliknya sepanjang berada di Kaherah ini.
Selepas mandi dan solat, Jalak turun sekali lagi ke café tetapi kali ini terus ke bahagian dapur untuk berjumpa dengan Jusoh, bos café ini yang merupakan kenalan lama En. Marzuki dan Kak Misna. Dia dan isterinya ada mengirimkan sedikit barang untuk diberikan kepada En. Marzuki dan Kak Misna.
Selepas selesai mengemas semua barang, Jalak masuk tidur sempena malam terakhir Jalak di Kaherah.
Jalak: Rindu bunyi hon kenderaan di bandar Kaherah
Tuesday, June 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment