Hari ini Jalak terpaksa meninggalkan barang-barang yang tidak diperlukan bersama bagasi yang besar di bilik asrama Malaysia Hall kerana mahu pergi ke St. Catherine yang terletak jauhnya 500 km di wilayah Sinai, bahagian selatan Mesir. Rombongan seramai 4 orang dengan menaiki Proton Persona yang dipandu oleh Ustaz Li. Kami bertolak seawall jam 8.00 pagi dan tiba ke destinasi sekitar jam 4.00 petang. Satu perjalanan yang sangat panjang merentasi jalan di antara gunung-ganang dan ada ketikanya menyusuri pantai serta lautan nan membiru. Sangat menarik dari pandangan!
Lebih mengujakan apabila terdapat beberapa tempat menarik yang Jalak singgah semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi terakhir. Pertama sekali apabila melalui terowong Hamdi di bawah laut.
Kemudian kami singgah di Oyoun Mousa, sebuah kawasan berair yang dikatakan tempat Nabi Musa a.s pernah berehat. Di sini tedapat sebuah telaga di tengah-tengah padang pasir. Jernih dan bersih rupa airnya.
Tempat menarik seterusnya yang Jalak sempat singgahi adalah Hamam Firaun. Kawasan berpantai ini tedapat sebuah gua semulajadi yang di dalamnya bersuhukan cuaca yang sangat panas. Semasa kunjungan Jalak, ramai orang arab sedang melepak di dalam gua tersebut untuk mengeluarkan peluh seolah-olah seperti berada di dalam spa! Kawasan pantai yang berdekatan dengan gua tersebut juga turut dikatakan tempat di mana Nabi Musa a.s membelah laut semasa baginda dikejar oleh bala tentera Firaun. Patutlah pasir di kawasan pantai itu Jalak dapati agak kehitaman serta berbau agak busuk.
Setibanya di St. Catherine, kami menginap di Fox Camp, sebuah kem yang terletak betul-betul di bawah kaki gunung. Unik sungguh rekabentuk serta binaan kem tersebut.
Selepas solat Asar, kami melawat bekas patung lembu Samiri yang pernah disembah oleh kaum Bani Israel. Ketika itu Nabi Musa a.s sedang bermunajat kepada Allah di atas gunung bernama Jabal Mousa. Sekembalinya baginda ke bawah, dihalaunya Samiri yang telah membuat patung tersebut daripada emas serta berjaya membuatkan lembu itu boleh “bercakap” untuk mengaburi mata kaum Bani Israel. Begitulah serba sedikit sejarah tentang patung lembu tersebut.
Turut terdapat bedekatan kawasan ini adalah sebuah tempat di atas bukit di mana Nabi Harun a.s menyeru kaum Bani Israel supaya tidak menyekutukan Allah dengan menyembah patung lembu itu tadi. Semasa ketiadaan Nabi Musa a.s, baginda mengamanahkan abangnya Nabi Harun a.s untuk menjaga umatnya.
Sebelum pulang semula ke kem, kami singgah di sebuah pekan kecil yang berhampiran untuk membeli sedikit barang keperluan sebagai bekalan untuk menawan puncak Sinai pada sebelah malamnya nanti.
Jalak: Gerun melihat kereta kebal dan askar bersenjata di tepi jalan!
Monday, June 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment